REKAAN busana minimalis, versatil dan chic, cerminan estetika bagi Nuria untuk memikat hati wanita bagi semua peringkat umur.
Menurut pengasasnya, Zaznuriah Zahir, jenama pakaian wanita kontemporari itu lahir di Kuala Lumpur pada tahun 2015.
"Konsep dan tema rekaan Nuria menekankan kepada chic minimalis.
"Setiap produk yang dihasilkan mengutamakan kesederhanaan yang elegan, menampilkan pakaian yang ringkas namun tetap bergaya," ujar anak jati Kuala Lumpur itu.
Penampilan bersahaja namun pesona anggun dan bebas bergaya diadaptasi menerusi setiap perincian pada busana yang dihasilkan itu.
Pun demikian, beliau tetap menitikberatkan fesyen ikutan masa kini supaya tidak lari daripada trend semasa.
"Pada saya, trend kini lebih menjurus ke arah fesyen yang ringkas dan chic dan itu yang kami praktikkan sejak awal penubuhan jenama Nuria ini. Maka ia selaras dengan etos (sifat) atau prinsip dan nilai-nilai yang ditawarkan menerusi setiap helaian busana kami," ujarnya sambil memberitahu, nama Nuria merupakan singkatan daripada namanya yang membawa erti, wanita bercahaya.
Menjawab satu soalan dilontarkan SinarPlus, beliau yang juga Pengarah Kreatif jenama berkenaan memberitahu, selain rekaan, pilihan warna juga menjadi fokus utama beliau dalam menghasilkan satu-satu karya.
"Pada kadar kebiasaannya, saya memilih dua aspek kumpulan warna bagi setiap koleksi iaitu pastel dan muted atau terang dan bold. Pemilihan ini dibuat menerusi kajian yang dilakukan dan soal selidik kepada para pelanggan.
"Daripada situ, saya tahu apa kesukaan atau tarikan terutama pelanggan iaitu pilihan warna. Pada masa sama, saya turut memberikan pengimbangan pada pilihan untuk mereka membuat suai padan antara produk," ujar beliau lagi.
Menyentuh mengenai penggunaan fabrik, sebagai pereka, semestinya soal keselesaan menjadi kunci utama dalam satu-satu rekaan.
"Jika diteliti, bukan hanya kemasan dan elemen gaya yang dihasilkan sahaja memainkan peranan malah kombinasi warna, fabrik juga tak kurang pentingnya.
"Demikian juga dengan sentuhan atau jenis material atau fabrik untuk satu-satu rekaan. Antara yang biasa kami gunakan adalah jenis kapas, linen, sutera satin, renda, sulaman renda, lycra, brocade dan jacquard," jelasnya."Menyentuh mengenai masa untuk menyiapkan satu-satu koleksi terbaharu, biasanya lebih kurang dua atau tiga bulan untuk setiap rekaan. Sementara untuk koleksi hari raya pula katanya akan mengambil masa dalam enam bulan.
Memasuki tahun kelapan berkecimpung dalam bidang perniagaan tersebut, wanita yang mesra disapa Zaza itu melahirkan rasa syukur dan terharu kerana jenama yang beliau hasilkan mendapat sambutan yang baik.
"Saya bermula daripada bawah dengan membina jenama Nuria sedikit demi sedikit. Syukur, sehingga kini, ia telah menunjukkan kemajuan yang bagus. Pun begitu, masih banyak ruang untuk penambahbaikan yang boleh kami usahakan," ujar ibu kepada sepasang cahaya mata itu lagi.
Lukisan seni
Tidak dapat dinafikan, persaingan sentiasa wujud dalam setiap bidang kerjaya. Namun, wanita berumur 39 tahun itu menganggap ia sebagai satu persaingan sihat atau konstruktif.
Pada masa sama, ia membantu menaiktaraf dan memperbaiki produk keluaran syarikatnya.
"Di Nuria, kami mengakui kewujudan persaingan, namun sebagai sebuah perniagaan yang masih dalam peringkat awal, kami melihatnya sebagai peluang untuk belajar dan memahami selok-belok perniagaan dengan lebih mendalam.
"Cuma, kesukaran yang paling jelas adalah untuk menghasilkan produk pada skala dan kualiti yang kami inginkan pada kadar harga yang berpatutan," ulas beliau dengan panjang lebar.
Ditanya bagaimana satu-satu rekaan dihasilkan? Ini jawapan tuan punya badan."Saya mendapat ilmu dari pelbagai sumber inspirasi, kadang-kala daripada lukisan-lukisan seni bermotifkan abstrak atau geometri. Malah ada juga daripada tekstil atau seni bina bangunan yang dilihat pada hari biasa atau ketika melancong." ungkapnya lagi.
Namun, apa yang benar-benar menginspirasi dirinya adalah dengan mereka dan memilih pakaian yang beliau sendiri ingin pakai.
Justeru, beliau berharap, pelanggan Nuria jugak akan menyukai setiap satu produk yang diilhamkan atau diketengahkannya.
Sebagai penutup perbualan bersama, penulis meminta Zaznuriah berkongsikan pencapaian yang telah diperoleh Nuria setakat ini.
"Kejayaan paling manis yang dikecapi kami adalah apabila muncul sebagai salah satu jenama di Asia Tenggara yang dikemukakan dalam majalah Vogue Singapore sebagai Best Southeast Asian brands to shop from this Hari Raya Aidifitri,"ungkap Zaznuriah dalam nada terharu.