AIDILFITRI bakal menjelang persiapan bukan sekadar juadah dan hiasan rumah, tetapi juga soal gaya yang mencerminkan jiwa dan kebersamaan.
Tahun ini, jenama Qhiam tampil dengan naratif fesyen lebaran yang lebih matang, santai namun penuh makna, selari dengan semangat kekeluargaan yang menjadi nadi musim perayaan.
Bagi koleksi Raya 2026, jenama fesyen tempatan itu terus mengangkat konsep gaya moden yang berakar pada tradisi.
Lebih istimewa, Qhiam melangkah setapak ke hadapan dengan pembukaan showroom pertamanya di Shah Alam, diikuti cawangan baharu di Bangi, serta perancangan pembukaan di IOI City Mall, Putrajaya.
Kehadiran butik fizikal tersebut bukan sekadar ruang membeli-belah, tetapi pengalaman gaya hidup buat pencinta fesyen Raya.
Untuk tahun kedua berturut-turut, Noh Salleh kembali sebagai wajah jenama, membawa aura autentik dan nilai kekeluargaan menerusi koleksi Nohstalgia Galur 2026.
Koleksi berpasangan ini direka untuk seisi keluarga untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, menjadikan momen pagi raya lebih bermakna dengan gaya yang seiring dan serasi.
Koleksi Galur hadir dengan fabrik lebih ringan, sesuai untuk cuaca tropika, tanpa mengorbankan kualiti premium dan potongan kemas.
Kurta Teman pula diberi nafas baharu dengan enam rekaan dan pilihan fabrik terkini, menggabungkan siluet moden dengan elemen tradisional yang versatil.
Tidak ketinggalan, Artisan Teras Collection memperlihatkan keindahan jahitan klasik seperti pesak, kolar teluk belanga dan lengan tiga suku, menggunakan fabrik campuran kapas-linen.
Dipersembahkan oleh Amy Search, koleksi berkenaan menjadi penghormatan kepada seni pertukangan Melayu yang kekal relevan.
Melengkapkan gaya Raya 2026, Qhiam turut memperkenalkan sembilan rekaan samping eksklusif serta koleksi Sendja untuk gadis muda, dengan 13 rekaan segar yang mudah digayakan dari kasual ke formal.