KEUNIKAN Malaysia dengan budaya berbilang kaum, seleksi makanan yang mengiurkan dan khazanah warisan memukau sudah dikenali seantero dunia.
Padanlah negara kita antara destinasi di Asia yang menjadi pilihan pelancong asing khususnya dari Eropah untuk menghabiskan cuti musim panas mereka.
Lebih membanggakan, data statistik yang dikongsikan platform pelancongan digital, Agoda mendedahkan, Malaysia tersenarai antara lima negara yang mempunyai carian tertinggi.
Percaya atau tidak, Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Redang antara destinasi yang mendapat jumlah carian paling banyak oleh pelancong Eropah.
Sedikit fakta penting, destinasi yang disenaraikan tersebut mempunyai kelebihan aktiviti liburan pelbagai, pengembaraan dan kebudayaan yang unik yang berjaya menarik pengunjung untuk terus datang.
Carian tertinggi bagi penginapan di Malaysia pula dilakukan oleh kebanyakan pelancong dari Perancis, diikuti Itali, United Kingdom, Sepanyol dan Belanda.
Apa lagi menarik, destinasi di Asia bukan saja berada di kedudukan paling popular di luar Eropah, malah populariti semakin meningkat berbanding tahun lepas.
Jika merujuk data yang dikongsikan Agoda, sebanyak 52 peratus peningkatan dalam jumlah carian penginapan oleh pelancong Eropah yang mahu bercuti di Asia.
Pengarah Negara Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, peningkatan jumlah carian berbanding tahun lepas menunjukkan populariti Asia yang semakin mencanak naik.
"Kesan trend itu dapat dilihat terutamanya di Asia Tenggara, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Jepun juga berjaya disenaraikan di beberapa kedudukan teratas.
"Kami teruja apabila melihat lebih ramai pelancong Eropah mempertimbangkan Asia sebagai destinasi percutian mereka,” katanya.
Sebagai orang Eropah yang telah menjejak dan mengembara Asia sejak 15 tahun yang lalu, Fabian melihat potensi yang pelbagai pada rantau Asia yang saban tahun semakin memberangsangkan.
"Ini kerana beratus-ratus tempat menarik untuk dikunjungi. Seronok melihat lebih ramai orang Eropah menerokai destinasi Asia yang menakjubkan ini semasa tempoh percutian mereka."
Menurut data Agoda, destinasi paling popular di Asia ialah Thailand, Indonesia dan Jepun, diikuti oleh Malaysia dan Filipina.
Itu menunjukkan daya tarikan destinasi Asia untuk para pelancong Eropah dengan pelbagai minat yang berbeza.
Sama ada mereka mahu menerokai jalan-jalan yang meriah dan tapak bersejarah di Bangkok atau meluncur ombak di pantai Bali, pelancong Eropah bersedia untuk mempertimbangkan apa yang ditawarkan di Asia.
Pasaran Eropah dengan jumlah carian tertinggi untuk percutian ke Asia ialah United Kingdom, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Belanda.
Fabian menambah, Agoda sentiasa membantu mereka yang mahu mengembara dunia dengan bajet lebih murah dan berbaloi melalui tawaran hebat.
Mana tidaknya, lebih empat juta tempat penginapan di seluruh dunia tersedia di hujung jari, selain tiket penerbangan dan senarai aktiviti liburan.
Terbaiklah Malaysia! Tersenarai dalam top five negara paling popular untuk dikunjungi pelancong asing.
Tak salah kalau kita bercuti dalam negara demi merancakkan pelancongan lokal. Tak perlu nak terbang jauh-jauh, sekadar cukup di sekitar ibu kota untuk staycation.
Nak dekat dengan alam semula jadi, banyak tempat di negeri yang mempunyai hidden gems yang boleh kita terokai.
Okey! Selamat berhujung minggu.