Derma darah merupakan satu amalan mulia kerana darah yang diderma boleh menyelamatkan nyawa seseorang yang memerlukannya. Amalan derma darah dapat memupuk nilai murni dalam diri dan boleh dijadikan sebagai tanggungjawab sosial.
Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mewartakan tarikh 14 Jun pada setiap tahun sebagai Hari Penderma Darah Sedunia bagi meraikan serta menghargai para penderma darah dan penganjur kempen derma darah.
Menurut Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr Siti Rahayu Abd Samad,derma darah adalah satu proses menderma darah secara sukarela oleh seseorang pada orang yang lebih memerlukan. Derma darah ini penting kerana ia boleh menyelamatkan nyawa orang lain, di mana bagi seorang penderma darah sebenarnya mampu untuk menyelamatkan tiga orang pesakit.
Contohnya, pesakit yang mempunyai kadar hemoglobin yang rendah perlu menerima darah untuk menstabilkan badannya.
Selain itu, darah yang didermakan penting untuk pesakit yang mengalami kemalangan atau mereka yang menjalani pembedahan besar yang mengalami pendarahan teruk.
Oleh itu, bekalan darah yang diambil oleh orang ramai sangat penting demi menyelamatkan nyawa yang lain.
Tambah Dr Ayu yang merupakan penulis buku 'Penulis Resus, Harapan Masih Ada!', bagi individu yang hendak menderma darah, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk menjadi penderma darah yang layak.
Antara syaratnya adalah seperti berikut:
- Sihat tubuh badan
- Berumur dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun
- Mempunyai berat badan 45kg ke atas
- Tidur sekurang-kurangnya lima jam
- Tiada masalah kesihatan
- Tidak berpuasa dan makan sebelum menderma darah
- Telah menderma darah tiga bulan lepas
- Tidak mengandung
- Tidak datang haid
- Tidak menyusukan anak untuk perempuan
- Tidak terlibat dengan aktiviti seks bebas atau bertukar pasangan
Manfaat derma darah
Menderma darah bukan sahaja memberikan manfaat kepada penerima, tetapi juga kepada penderma itu sendiri dan kesihatannya.
Salah satunya, menderma darah dapat membakar sehingga 650 kalori setiap kali menderma.
Selain itu, penderma juga akan melalui saringan kesihatan sebelum menderma darah, yang membolehkan mereka mengetahui status kesihatan mereka.
Proses menderma darah juga membantu melancarkan aliran darah, mengurangkan deposit kolesterol di salur darah dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.
Menurut kajian, penderma darah yang menderma sekali setahun dapat mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 88 peratus.
Seseorang individu boleh menderma darah sebanyak empat kali setahun dengan selang masa tiga bulan antara setiap sesi derma. Ini memberikan masa yang mencukupi bagi tubuh badan untuk menghasilkan semula sel darah merah yang baru dan mengekalkan tahap kesihatan yang optimum.
Kenali jenis darah
Terdapat beberapa mitos yang sering dikaitkan dengan pendermaan darah, seperti kepercayaan bahawa boleh menyebabkan kehabisan darah, menjadi kurus dan lesu.
Namun, fakta sebenar adalah sebaliknya. Proses tersebut sebenarnya merangsang sel-sel dalam tubuh untuk menghasilkan lebih banyak sel darah merah yang baru, yang penting untuk kesihatan tubuh badan.
Berikut adalah jenis-jenis darah dan penerima darah yang bersesuaian:
Darah Jenis A
Penderma kepada: A, AB
Penerima daripada: A, O
Darah Jenis B
Penderma kepada: B, AB
Penerima daripada: B, O
Darah Jenis AB (Penderma Universal untuk Plasma)
Penderma kepada: AB sahaja
Penerima daripada: A•,B,AB,O (penerima universal untuk sel darah merah)
Darah Jenis O (Penderma Universal untuk Sel Darah Merah)
Penderma kepada: A, B, AB, O (penderma universal)
Penerima daripada: O sahaja
Ini bermakna, seseorang dengan darah jenis O boleh menderma kepada semua jenis darah, manakala seseorang dengan darah jenis AB boleh menerima darah dari semua jenis darah.
Darah jenis O adalah jenis darah yang paling diperlukan kerana individu dengan darah jenis ini boleh menderma kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jenis darah penerima.
Ini kerana darah mereka tidak mengandungi antigen yang boleh menyebabkan reaksi penolakan dalam tubuh penerima.
Darah yang didermakan akan melalui beberapa proses sebelum boleh digunakan oleh penerima. Pertama, darah tersebut akan diuji untuk menentukan kumpulan darahnya.
Kemudian, darah tersebut akan melalui ujian saringan serologi untuk penyakit seperti HIV, hepatitis dan sifilis.
Langkah-langkah ini diambil untuk mengurangkan risiko penyebaran penyakit berjangkit melalui transfusi darah, memastikan keselamatan dan kesihatan penerima.
Dalam pada itu, portal MYHEALTH menerusi tulisan Dr. Yessy Octavia Misdi ada berkongsi keistimewaan yang diperoleh penderma darah:
1. Diberikan rawatan pesakit luar dan perubatan serta wad secara percuma di hospital atau klinik kerajaan. Tempoh sah perkhidmatan rawatan percuma adalah dikira dari tarikh terakhir pendermaan darah sehingga tempoh yang ditetapkan, iaitu 4 bulan hingga 10 tahun.
Pun begitu, ia bergantung kepada bilangan pendermaan darah yang telah dilakukan dan kekerapan pendermaan.
2. Suntikan vaksin terhadap penyakit Hepatitis B secara percuma
Sekiranya menderma sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh 12 bulan. - Penderma darah boleh berhubung dengan pusat darah kerajaan terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Penderma darah perlu membawa buku Sijil Perkhidmatan Permindahan Darah Kebangsaan, iaitu Buku Derma Darah, bersama ke pusat kesihatan, hospital atau pusat darah dan menunjukkan buku tersebut kepada pihak berkenaan sebelum mendapatkan rawatan.
3. Diraikan dalam sambutan Hari Penderma Darah Sedunia••Diraikan pada tarikh 14 Jun setiap tahun. Ini bagi bagi menunjukkan penghargaan masyarakat terhadap sumbangan mereka yang tidak ternilai ini.
Anugerah diberikan kepada penderma darah dari segenap lapisan sebagai tanda penghargaan.