IJN menjadi pusat perubatan pertama di Asia Tenggara cipta sejarah baru dalam dunia kardiologi

Iklan

Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini mencatat satu lagi kejayaan besar dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan prosedur implan perentak jantung dwiruang tanpa wayar pertama di Asia Tenggara.

Kejayaan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan IJN sebagai pusat rawatan kardiologi terkemuka di rantau ini, malah membuka lembaran baharu dalam dunia rawatan penyakit jantung yang lebih selamat, efektif dan inovatif.

Iklan
Iklan

Prosedur terbaharu yang menggunakan sistem perentak jantung canggih dikenali sebagai AVEIR™ DR Leadless Pacemaker System keluaran syarikat perubatan global, Abbott telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada tahun 2023. IJN kini antara institusi terawal di dunia yang berjaya melaksanakannya dengan jayanya.

Iklan

Apa Itu perentak jantung dwiruang tanpa wayar?

Secara ringkasnya, perentak jantung atau pacemaker adalah sejenis peranti elektronik kecil yang ditanam pada tubuh pesakit untuk membantu mengawal degupan jantung, terutama bagi mereka yang mengalami degupan jantung perlahan atau tidak teratur (bradikardia).

Iklan

Lazimnya, perentak jantung tradisional menggunakan wayar yang disambungkan dari peranti ke jantung dan ia ditanam di bawah kulit, biasanya berhampiran bahu.

Namun, teknologi terkini hanya menggunakan dua peranti kecil berasingan yang diimplan secara langsung ke dalam dua ruang jantung utama, atrium dan ventrikel kanan, tanpa sebarang wayar.

Ia membolehkan kedua-dua ruang jantung berfungsi secara seiring dan selaras dengan bantuan teknologi komunikasi tanpa wayar antara dua peranti tersebut yang dikenali sebagai i2i™ (implant-to-implant communication).

Teknologi tersebut direka bentuk agar tahan lama, menggunakan kuasa rendah dan boleh ditarik keluar semula jika perlu, menjadikannya lebih fleksibel serta mesra rawatan jangka panjang.

Antara kelebihan utama yang ditawarkan oleh sistem perentak jantung tanpa wayar dwiruang ini termasuk:

1. Tiada wayar, tiada poket bawah kulit

Ini mengurangkan risiko jangkitan, luka bernanah dan komplikasi lain yang lazim berlaku pada pesakit yang menggunakan perentak jantung tradisional.

2. Prosedur kurang invasif

Proses implan dilakukan melalui salur darah menggunakan kateter kecil tanpa perlu pembedahan besar. Pesakit juga boleh pulih lebih cepat dan kurang mengalami kesakitan pasca prosedur.

3. Sesuai untuk pesakit buah pinggang kronik

Peranti AVEIR DR membolehkan pesakit buah pinggang kronik mendapatkan rawatan jantung sebaiknya tanpa mengganggu rawatan sedia ada.

4. Kualiti hidup lebih baik

dengan saiz peranti yang kecil dan pemasangan yang tidak menyakitkan, pesakit boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa dengan lebih yakin dan selesa.

Implan perentak jantung dwiruang tanpa wayar yang dilaksanakan IJN bukan sekadar pencapaian teknologi. Ia adalah harapan baharu untuk ribuan pesakit jantung di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Revolusi terbaharu itu merupakan antara usaha berterusan IJN untuk memajukan rawatan jantung di negara ini.