Penyakit strok merujuk kepada penyakit cerebrovascular accident (CVA), iaitu keadaan di mana aliran darah ke sebahagian otak terjejas, sama ada disebabkan tersumbat atau pecahnya saluran darah yang mengakibatkan otak kekurangan oksigen dan nutrien.
Keadaan ini menyebabkan kerosakan tisu otak seterusnya boleh menjejaskan fungsinya. Gejala penyakit ini banyak, namun ia boleh dipecahkan kepada dua jenis, iaitu strok yang disebabkan darah beku atau darah tidak sampai ke otak dan strok yang disebabkan oleh pendarahan dalam otak.
Di Malaysia, strok merupakan penyakit ketiga tertinggi yang menyebabkan kematian. Oleh itu, penting untuk masyarakat mengetahui betapa pentingnya mengenali gejala penyakit ini dan segera mendapatkan rawatan awal di hospital.
Mengupas lanjut mengenai penyakit strok, Pakar Perubatan Dalaman, Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Fikri Nasir berkongsi pandangannya menerusi temu bual bersama SinarPlus baru-baru ini.
SOALAN 1
SINAR PLUS: Apakah gejala-gejala yang biasa dialami seseorang individu yang mengalami strok?
DR MOHD FIKRI: Gejala strok ini sebenarnya terlalu banyak kerana ia bergantung di bahagian otak mana yang terkesan tidak mendapat darah yang mencukupi disebabkan penyakit itu.
Bagi memudahkan pemahaman ramai mengenai gejala strok, saya menggunakan akronim singkatan B.E F.A.S.T iaitu;
B = Balance (keseimbangan)
- Masalah hilang daya keseimbangan badan yang menyebabkan susah bangun berdiri dan berjalan.
E = Eyes (penglihatan)
- Masalah hilang penglihatan yang berlaku secara tiba-tiba.
F = Face (wajah)
- Herotan pada sebelah muka.
A = Arms (anggota tangan dan kaki)
- Rasa lemah pada sebelah tangan atau kaki.
S = Speech (pertuturan)
- Masalah pertuturan yang tidak jelas secara tiba tiba. Pesakit juga boleh mengalami masalah mencari perkataan yang mahu disebut.
T = Time (masa)
Masa bukanlah simptom atau gejala, tetapi lebih kepada tindakan segera yang perlu dibuat. Masa sangat penting kerana gejala strok memerlukan rawatan segera supaya gangguan saraf kembali kepada asal.
SOALAN 2
Bagaimana cara untuk mengurangkan risiko strok?
Terdapat beberapa risiko untuk mendapat strok seperti penyakit ‘tiga serangkai’, iaitu kencing manis (diabetes), tekanan darah tinggi (hipertensi), dan penyakit kolesterol tinggi. Risiko lain adalah obesiti, umur, sejarah kesihatan keluarga dan tabiat merokok.
Untuk mengurangkan risiko strok, kita perlulah mengawal tekanan darah, diabetes dan juga tahap kolesterol kita. Ini dapat dicapai melalui pemilihan gaya hidup yang sihat seperti selalu bersenam dan makan makanan yang sihat dan seimbang.
Saya syorkan senaman aerobik minimum selama 150 minit seminggu atau 30 minit sehari. Jadikan senaman sebagai gaya hidup kita.
Dari segi pemakanan pula, kita seeloknya mengurangkan pengambilan gula dan mengurangkan makanan yang digoreng atau tinggi kolesterolnya. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran hijau dan buah buahan.
Bagi mereka yang sudah mengalami penyakit tiga serangkai, pastikan anda makan ubat seperti yang disarankan oleh doktor supaya penyakit kronik mereka berada dalam keadaan terkawal. Saya juga sarankan supaya elak tabiat merokok yang boleh meningkatkan risiko kesihatan seperti strok.
Lakukan pemeriksaan dengan pakar mengikut tempoh atau rutin pemeriksaan yang telah ditetapkan.
Strok ubah tingkah laku seseorang
Strok juga boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang. Terdapat kes yang mana seorang pesakit menjadi pemarah secara tiba-tiba dan melakukan perlakuan yang tidak senonoh, di luar kebiasaan perwatakannya.
Setelah diperiksa, pesakit ini sebenarnya telah mengalami strok di bahagian depan otak (frontal lobe). Bahagian depan otak ini bertanggungjawab menentukan perangai, sikap dan perwatakan seseorang.
Jadi, apabila pesakit tersebut terkena strok di bahagian tersebut, ia menyebabkan berlakunya perubahan perwatakan daripada seorang yang selalunya tenang, tiba-tiba suka marah dan melakukan tindakan yang tidak sepatutnya.
Oleh itu, penting untuk orang ramai tahu apa itu simptom strok. Jika melihat ada orang di sekeliling kita mengalami gejala sama ada daripada segi keseimbangan, penglihatan, muka senget, lemah sebelah badan ataupun kesukaran bercakap, jangan berlengah, perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.