PAKAIAN rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 bagi atlet Malaysia terus menerima kritikan. Masakan tidak, ramai mempertikaikan rekaan baju berkolar, baju T dan jaket yang ditampilkan.
Warganet mempersoalkan ke mana hilangnya belang Harimau Malaya yang menjadi inspirasi pada pakaian berkenaan.
Malah, Jalur Gemilang pada baju diwarnakan dengan warna kuning atau emas sedangkan bendera Malaysia perlu dihormati dengan mengekalkan warna asal.
Busana yang sepatutnya menjadi identiti Malaysia itu langsung tidak membawa jati diri jika dibandingkan dengan rekaan sebelum ini. Apatah lagi apabila ia akan dipakai atlet-atlet negara di sukan berprestij dunia Julai nanti.
Kebanyakan negara yang akan beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 sudah mendedahkan rekaan pakaian atlet mereka.
Jom kita lihat rekaan pakaian dari 10 buah negara yang SinarPlus sempat kompilasikan sebagai inspirasi:
1-Perancis
Menandatangani kontrak dengan jenama Le Coq Sportif untuk atlet Olimpik dan Paralimpik, Perancis mengambil tema warna biru dan rona-rona pada benderanya. Nampak elegan dan eksklusif kan?
2-Kanada
Nampak gah dan bertenaga, itu yang terpacul di fikiran penulis bila menatap pakaian atlet Olimpik Kanada ini. Mahu atletnya berbangga di atas podium, Kanada mengambil inspirasi corak daun maple dengan menggunakan material yang menyerap peluh. Lawa kan?
3-Amerika Syarikat
Mendapat kerjasama dari label terkenal Ralph Lauren, team Olimpik Amerika Syarikat tampil bergaya dengan busana yang ikonik diinspirasikan daripada bandar tuan rumah Paris yang dinamik dan bertenaga. Palet rona palet merah, putih dan biru daripdaa bendera pula menyatakan kekitaan dan semangat berpasukan.
Sekadar info, Ralph Lauren bertanggungjawab mereka pakaian untuk temasya itu sejak Olimpik Beijing 2008 lagi.
4-Sepanyol
Jenama Joma melancarkan koleksi pakaian rasmi yang akan dipakai oleh atlet Sepanyol di Olimpik Paris 2024.
Mengampil warna merah dan kuning daripada bendera sebagai warna utamanya, Joma turut menggunakan fabrik mesra alam seperti poliester yang dikitar semula dan kapas organik serta menggunakan teknik pewarna tanpa bahan kimia.
5-Afrika Selatan
Hijau dan kuning daripada benderanya menjadi warna asas pakaian atlet Olimpik dari Afrika Selatan. Rekaan eksklusif itu sebagai menampilkan beberapa mercu tanda negarannya, flora, fauna dan alam semula jadi yang terdapat di landskap Afrika Selatan.
6-Jepun
Jepun tidak hanya menampilkan pakaian yang indah buat atletnya, ia khabarnya dilengkapi ciri untuk menyekat kamera inframerah.
Jenama besar, Asics dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan rekaan yang tidak hanya eksklusif, malah selesa dan stailo.
Pakaian yang mengambil rona asas merah dan putih daripada benderanya itu diinspirasikan oleh Perancis sebagai pusat matahari terbit dengan menggunakan 34 peratus bahan kitar semula.
7-Korea Selatan
Mereka khas pakaian seragam terdiri daripada sejumlah 13 item, The North Face of Eternity Outdoor menyediakan busana yang ringan dan boleh bernafas yang sekali gus membantu atlet negara itu mempamerkan prestasi terbaik.
Menggunakan bahan kitar semula botol PET pada sesetengah helaian, ia menampilkan rona putih, biru, merah dan hitam pada benderanya.
8-Thailand
Stailo habis! Thailand menampilkan pakaian atlet Olimpik Paris 2024 yang sangat menawan.
Atlet badmintonnya, Sapsiree Taerattanachai, menggayakan rupa baharu pakaian yang menampilkan warna biru, putih dan merah.
9-Australia
Ringkas tapi nampak smart, boleh dikatakan busana atlet Australia ke Olimpik Paris 2024 ini sangat menyerlahkan identiti tanah air mereka!
Dilancarkan Mac lalu, Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) dan ASICS, rakan kongsi kasut mengetengahkan skema warna hijau dan emas, cetakan Orang Asli dan corak anak panah yang dikenali sebagai Japonism yagasuri.
10-Great Britain
Team Great Britain telah mendedahkan pakaian rasmi bagi Olimpik Paris 2024 yang direka oleh jenama sukan terkenal, Adidas.
Pakaian ini telah menampilkan rekaan simple tapi masih menunjukkan semangat patriotik dengan memaparkan lambang bendera Union Jacks di bahagian lengan.
Baca juga: Potensi menyerlah! Jaguh muda 18 tahun layak ke Olimpik Paris 2024, 8 info menarik Ariana Nur Dania
Baca juga: Berbaloi berlatih di garaj Jasin, Melaka Hidilyn Diaz raih emas pertama Filipina