Daripada lakaran kepada busana, 14 pelajar Kolej Komuniti Arau hasilkan rekaan fesyen kreatif

Iklan

KREATIVITI dalam dunia fesyen tidak terhad kepada kebolehan mencantum fabrik atau menghasilkan pakaian yang cantik dipandang. 

Sebaliknya, setiap helaian busana mempunyai cerita tersendiri yang bermula daripada cetusan idea, penelitian terhadap sesuatu subjek sehinggalah proses menterjemahkan imaginasi kepada rekaan yang mempunyai identiti.

Iklan
Iklan

Itulah yang dibuktikan oleh 14 pelajar Semester Akhir Program Sijil Fesyen dan Pakaian Kolej Komuniti Arau menerusi penghasilan 14 rekaan berbeza sempena Sambutan Jubli Perak kolej berkenaan pada 10 Oktober 2026.

Menariknya, setiap busana yang dihasilkan bukan sekadar memenuhi tugasan akademik, sebaliknya memperlihatkan keberanian pelajar meneroka idea, bereksperimen dengan bahan serta mengolah elemen seni menjadi sebuah karya fesyen tersendiri.

Iklan

Di sebalik setiap rekaan, pelajar terlebih dahulu menjalankan kajian terhadap subjek pilihan masing-masing sebelum mengenal pasti elemen seperti bentuk, tekstur dan karakter yang boleh diketengahkan.

Hasil penelitian itu kemudiannya dikembangkan melalui lakaran tangan, pemilihan fabrik dan teknik hiasan bersesuaian dengan konsep yang ingin disampaikan.

Iklan

Penggunaan fabrik seperti chiffon, organza, shantung dan bridal satin turut memberikan karakter berbeza kepada setiap busana. Begitu juga perincian manik yang disusun bukan sekadar sebagai hiasan, tetapi menjadi sebahagian daripada penceritaan visual setiap rekaan.

Menurut Ketua Program Sijil Fesyen dan Pakaian Kolej Komuniti Arau, Mohd Iskandar Mohd Yatim, proses menghasilkan koleksi berkenaan memberi peluang kepada pelajar menggabungkan kreativiti dengan pengetahuan serta kemahiran teknikal yang dipelajari.

“Setiap pelajar diberikan ruang untuk meneroka idea dan menghasilkan interpretasi mereka sendiri. Hasilnya, kita dapat melihat 14 rekaan yang berbeza dengan identiti dan pendekatan masing-masing,” katanya.

Pendekatan itu turut memperlihatkan kepentingan prinsip seni reka dalam membentuk sesebuah busana agar tidak sekadar menarik dari segi penampilan, malah mempunyai kesinambungan dengan konsep asal.

Pensyarah program berkenaan, Azlan Othman berkata, pelajar didedahkan kepada penggunaan elemen seni seperti garisan, bentuk, tekstur, warna, ruang dan hiasan sepanjang proses pembangunan rekaan.

Menurutnya, pendedahan tersebut membantu pelajar memahami bagaimana setiap elemen boleh digabungkan untuk menghasilkan busana yang mempunyai nilai estetika tersendiri.

“Pelajar bukan hanya belajar menghasilkan pakaian. Mereka belajar bagaimana sesuatu idea boleh dikembangkan melalui proses reka bentuk sehingga menjadi sebuah produk fesyen yang lengkap,” ujarnya.

Lebih daripada hasil akhir yang dipertontonkan, projek tersebut turut menjadi pengalaman penting buat setiap pelajar dalam membina keyakinan serta mengenal pasti kecenderungan dan identiti kreatif masing-masing.

Malah, kesemua 14 rekaan itu boleh dijadikan portfolio yang memperlihatkan kebolehan mereka, sekali gus menjadi persediaan untuk melangkah ke dunia industri fesyen.

Pendekatan pembelajaran yang menggabungkan teori, seni dan latihan praktikal itu juga mencerminkan potensi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga kreatif yang mempunyai kemahiran khusus.

Daripada sehelai lakaran kepada busana lengkap, perjalanan 14 pelajar ini membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar soal penampilan. Ia turut menjadi medium untuk berkarya, menyampaikan idea dan memperlihatkan bagaimana ilmu serta kreativiti mampu menghasilkan sesuatu yang mempunyai nilai tersendiri.