PEMERGIAN orang tersayang sekelip mata tentunya memberikan kesan yang mendalam, apatah lagi melibatkan tiga cahaya mata sekali gus.
Menyelak kembali memori setahun lalu, Baizura Mustaffa, 35, mengimbas kenangan tatkala tiga anaknya disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Pekan, Pahang.
Ketika kejadian berlaku pada tanggal 24 Jun 2023, Baizura sedang menggoreng lauk ayam yang diminta anak-anaknya.
Ibu penyayang itu melayani selera permata hati dan tidak berkira untuk berhabisan demi mereka.
"Tiba-tiba anak perempuan saya, Nik Nur Faqihah, 12, dan Nik Ikram Nuqman, 6, teringin makan aiskrim. Jadi mereka minta izin untuk keluar bersama abangnya, Nik Ikram Idwan, 16.
"Ketika itu saya hanya mempunyai RM20 sahaja dan memberikan kepada mereka. Saya berkeras tidak membenarkan adik yang bongsu ikut, tapi tindakan mereka menuju ke motor terlalu pantas. Tak sangka itu permintaan terakhir sebelum saya kehilangan tiga anak serentak," katanya.
Katanya, kejadian tersebut sangat mendalam kepada mental dan perasaannya.
Setiap hari sehingga kini ibu itu terbayangkan tiga arwah terbaring tidak bernyawa sehinggakan dirinya trauma untuk menunggang motosikal. Malah memorinya terganggu menyebabkan dia selalu terlupa.
"Bagi mengelakkan perkara berkenaan, saya selalu mohon kepada ALLAH untuk mengambil kembali daya ingatan dan nyawa saya.
"Saya kini menjadi sedikit pelupa, kekadang jiran sendiri saya boleh tak ingat. Namun kejadian ngeri itu sentiasa di ingatan saya. Perit sangat kehilangan mereka.
"Hanya yang mengalami akan faham perasaan tersebut. Alhamdulillah saya masih ada dua anak, suami, keluarga dan kawan-kawan. Ada insan tidak dikenali pun tampil beri pelbagai kata semangat," katanya.
Baca juga: ‘Mereka nak baju raya hitam.’ Ibu 4 anak maut kebakaran hiba tak sempat beli, baju tadika ubat rindu
Baca juga: Sayu tatapan terakhir anak bongsu Cikgu Hasnatul Adilah. 'Wajahnya bersih seperti sedang tidur'
Mengakui belum pulih daripada tragedi, ibu itu mengakui adakala dirundung kekesalan setiap kali terkenangkan tiga arwah.
"Saya masih tidak okey sebenarnya, lagi-lagi bila rindu mereka. Penuh penyesalan. Teringat saya selalu marah-marah apabila mereka menunggang motosikal tanpa kebenaran saya.
"Sehingga satu tahap saya ingin membakar motosikal tersebut biarpun ia dibeli menggunakan wang hasil kerja separuh masa arwah anak yang bertujuan ke sekolah," katanya.
Melalui pemergian tragis tiga cahaya mata, Nur Baizura sempat berpesan agar yakin ALLAH menguji seseorang mengikut kemampuan, selain berusahalah memenuhi kehendak anak-anak selagi termampu.
"Bahagiakan anak, jangan pernah membezakan mereka. Ajal maut tak kira masa dan tempat. Kalau ALLAH dah takdirkan ia tidak awal atau lewat sesaat pun, sentiasa bersedia. Jangan pernah lupa pada Sang Pencipta," katanya.
Sumber: Sinar Harian (Siti Nor Faezah Muda)