KEPUTUSAN permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 baru sahaja diumumkan manakala permohonan rayuan bermula 28 Jun hingga 7 Julai 2024.
Baru-baru ini tular di laman sosial Facebook luahan wanita yang tidak berpuas hati dengan tawaran diperolehi anaknya yang merupakan calon daripada paling top di Malaysia bagi SPM 2024 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) terendah.
Memperolehi keputusan cemerlang straight A dengan 98.5, namun asbab kesilapan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Ko Kurikulum (PAJSK) yang menyumbang 10 peratus daripada merit, pelajar berkenaan didakwa tidak mendapat tempat pada pilihan pertama UPU.
"Alhamdulillah dinobatkan sekolah terbaik Malaysia! Dengan GPS luarbiasa 1.07 dan lebih 50 peratus pelajar mendapat straight A! Seminggu kami tersenyum dijulang dan dilambung termasuklah anak saya.
"Selepas seminggu dan kini sebulan, berkejarlah semua anak-anak termasuk anak mencari tajaan dan berusaha menempatkan diri ke tempat-tempat yang terbaik. Berlumba dengan ramai calon lain yang tidak kurang hebat. Hinggalah minggu lepas.
Menyedari situasi itu, beliau cuba selidik punca dan mendakwa bahawa rata-rata lepasan SPM dari sekolah agama tahfiz swasta itu tidak memperolehi sebarang markah bagi PAJSK.
"Ketika sesi temu duga beberapa penajaan, saya dekati ibu-ibu lain dan rata-rata pelajar cemerlang ditawarkan universiti pilihan pertama. Hati ibu berasa ada sesuatu tidak kena, jadi saya cekalkan semangat untuk ke KPT minta pencerahan.
"Ternyata tidak lari naluri yang ALLAH kurniakan. Dipendekkan cerita, rupa-rupanya semua anak-anak sekolah terbaik Malaysia kosong markah PAJSK mereka. Kosong! Semua!
"Apabila markah kosong implikasinya besar kerana daripada merit 98.5, hanya tinggal 90 sedangkan ini faktor yang mempengaruhi peluang mereka ke universiti pilihan. Mereka dinilai dengan dua aspek ini keputusan peperiksaan SPM dan markah PAJSK," kongsinya.
Wanita tersebut turut meluahkan kekecewaan mengenangkan usaha lelah calon-calon SPM sekolah anaknya dan cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak terbabit.
"Saya gagahkan kaki ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan penjelasan dan diberikan berbagai cerita mengenai sistem-sistem yang orang biasa seperti saya tidak fahami.
"Akhirnya begitulah nasib anak-anak ini. Markah mereka memang kosong. KPM berjanji akan memasukkan markah mereka segera dan hantar ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Sayang semuanya sudah terlambat. KPT tidak boleh mengubah apa-apa lagi," katanya.
Dakwanya, berlaku tidak ketidakadilan dan penganiayaan kepada anaknya dan calon dari sekolah yang sama.
"Saya tidak mahu menidakkan usaha pihak sekolah atau mana-mana pihak yang terlibat. Terima kasih sekolah yang melakukan pelbagai usaha dan perbincangan untuk membela nasib anak-anak ini.
"Namun bagi saya, keadaan ini tetap tidak adil selagi tiada pihak yang mahu bertanggungjawab, semua hanya ingin melepaskan diri masing-masing. Kalau ikut fahaman saya, KPM dan KPT memang perlu bertanggungjawab! Bukan kami tidak reda, tapi ini bukan takdir seperti yang dikatakan oleh pegawai KPT"
"Ini takdir Puan, kalau rasa nak marah, Puan marahlah KPM, ini bukan salah kami. Kalau Puan rasa anak Puan cemerlang ramai lagi lebih cemerlang. Kalau Puan nak anak Puan ke Universiti Malaya, merit mesti 100 peratus," ujar wanita itu mengulangi kata-kata daripada pegawai terbabit.
Tidak berpuas hati dengan apa yang terjadi, ibu berkenaan berharap situasi yang berlaku itu menjadi pengajaran buat semua pihak.
"Saya catatkan semuanya di sini, meskipun tidak mungkin mengubah apa-apa sekurang-kurangnya jadi kenangan. Semoga terbelalah nasib anak-anak Sekolah Terbaik Malaysia SPM 2023. Mohon doa daripada semua," kongsinya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak sekolah sudah memasukkan markah ke dalam sistem dan berlaku kesilapan di peringkat kementerian.
Sekadar info, pelajar lepasan SPM yang ingin memohon melanjutkan pengajian melalui sistem UPU, pengiraan markah merit UPU merangkumi markah (10 peratus) kokurikulum.
PAJSK berfungsi merekod kemajuan murid dalam aktiviti luar bilik darjah dan memberikan penilaian atau markah yang merangkumi kegiatan kokurikulum sekolah iaitu aktiviti utama iaitu Kelab/Persatuan, Pasukan Badan Beruniform dan Sukan/Permainan.
Penyertaan dalam ketiga-tiga kegiatan ini merupakan sebagaian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah seperti termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997, berkuatkuasa 1 Januari 1998 (Akta Pendidikan 1996 – Seksyen18 dan 30).
Kepentingan aktiviti ini juga setara dengan aktiviti kurikulum dalam bilik darjah kerana peranannya sebagai penyumbang dan pelengkap kepada pengajaran dan pembelajaran murid serta pembentukan modal insan (murid) secara menyeluruh yang meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor.