Bapa Zulfarhan sanggup tangguh pembedahan demi nasib anak terbela. 'Saya sentiasa memaafkan.. tetapi perbuatan kejam enam tertuduh amat berat'

Iklan

SEDAR tak sedar, sudah 8 tahun kes Zulfarhan Osman yang meninggal dunia disebabkan kekejaman oleh rakan universitinya.

SEDAR tak sedar, sudah 8 tahun kes Zulfarhan Osman yang meninggal dunia disebabkan kekejaman oleh rakan universitinya.

Ibu mangsa, Hawa Osman menyatakan beliau menderita apabila terpaksa menanggung rasa sedih sejak hari pertama anak tersayang pergi menghadap Ilahi.

Iklan
Iklan

Begitu juga buat seluruh ahli keluarga beliau lebih-lebih lagi apabila mengetahui kecederaan yang dialami anaknya sewaktu bedah siasat dijalankan.

Ketika dalam sesi temu bual bersama Mingguan Wanita, beliau mengatakan mereka sekeluarga sukar untuk menerima bahawa kemaluan allahyarham Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu ditekap dengan seterika wap sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

Iklan

"Terlalu sukar untuk kami sekeluarga hadapi perkara ini. Paling saya nak tahu, siapa antara mereka yang seterika di kemaluan anak saya.

"Kalau disepak orang pun sakit, tekapan di kemaluan bagi saya adalah tindakan paling tak masuk akal,” kata Hawa.

Iklan

Oleh sebab itu, beliau berharap agar hukuman gantung yang dijatuhkan kepada enam tertuduh kes tersebut terus dikekalkan mahkamah kerana tindakan mereka lakukan sangat kejam.

Hawa juga menegaskan bahawa nyawa anaknya yang telah hilang seharusnya dibalas dengan nyawa juga kerana dia kehilangan seorang anak yang menjadi harapan buat keluarga.

"Cuba bayangkan 90 tekapan seterika di seluruh badan termasuk kemaluan. Ini perbuatan kejam dan bagaimana harus saya memaafkan mereka. Jadi, biarlah nyawa dibalas nyawa! Tambahnya lagi, ada dua dari keluarga tertuduh datang bertemunya dan meminta maaf atas apa yang terjadi.

"Mereka minta saya memaafkan dan melupakan semuanya. Walau ibu bapa mereka datang meminta maaf tapi ia takkan sama kalau anak mereka (tertuduh) mengungkapkan perkataan maaf itu. Saya kata pada mak ayah yang minta maaf ini, saya sentiasa memaafkan muslimin dan muslimah dalam doa solat saya tapi untuk memaafkan perbuatan kejam enam tertuduh ini, amat berat,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Hawa juga mengatakan mereka sekeluarga tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan keadilan buat Zulfarhan sehingga suami sanggup menangguhkan pembedahan pintasan jantung bagi memastikan sentiasa hadir pada perbicaraan kes tersebut.

"Suami sepatutnya perlu dibedah kerana ada saluran ke jantungnya tersumbat. Suami kata, dia tak mahu buat dulu pembedahan kerana takut terlantar berbulan-bulan, tak dapat bangun dan tak dapat mengikuti kes perbicaraan arwah kelak.

"Suami kata, biar selesaikan hal Along dulu. Lepas kesemua tuduhan ke atas enam tertuduh dikekalkan yakni gantung sampai mati, barulah dia mahu fikirkan kesihatannya,” jelasnya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan pada Selasa diberitahu bahawa sabitan serta hukuman mati terhadap enam bekas pelajar UPNM bagi kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, adalah tidak selamat dan seharusnya diketepikan.

Perkara ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai yang telah mengikuti perbicaraan kes berkenaan sejak awal lalu.