Di Malaysia, masyarakat lebih terdedah dengan pendermaan organ berbanding dengan pendermaan sel stem atau sumsum tulang.
Sel stem boleh didapati dengan dua cara, iaitu sumsum tulang dan darah tali pusat. Sel stem yang datang dari sumsum tulang dipanggil pemindahan sumsum tulang (BMT), manakala, sel stem datang dari darah tali pusat dipanggil pemindahan darah tali pusat.
Sekitar tahun 90-an pesakit di Malaysia terpaksa ke luar negara untuk menjalani prosedur pemindahan sumsum tulang (BMT), berbanding kemajuan yang ada masa kini mereka tidak lagi perlu berbuat demikian kerana didapati lebih 10 pusat transplantasi ada di seluruh Malaysia.
Menurut Pakar Hematologi di Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Alan Teh Kee Hean, antara kemajuan dalam bidang BMT, termasuk antibiotik yang lebih baik, sokongan pemindahan darah dan pemakanan, serta rejimen pengkondisian yang baru. Semua kemajuan ini telah membawa kepada kadar kematian yang lebih rendah dalam kalangan pesakit.
BMT melibatkan penggantian dan penyelamatan sel stem yang rosak (juga dikenali sebagai ‘sel induk‘) yang terdapat di dalam sumsum tulang. Proses ini adalah serupa dengan pemindahan darah yang mana darah yang kaya dengan sel induk diberikan kepada pesakit.
Setelah berada dalam aliran darah, sel stem ini akhirnya akan menemui jalan mereka ke sumsum yang cedera melalui reseptor homing semula jadi. Sel-sel ini kemudian akan mula menghasilkan sel darah baru setelah berasimilasi ke dalam sumsum tulang yang cedera dalam satu proses yang dikenali sebagai engraftment.
"Sumsum tulang berada di tengah-tengah bahagian tulang. Kebanyakan sumsum tulang orang dewasa berada di tulang pinggul, tulang dada dan tulang belakang.
"Sebelum wujudnya kecanggihan teknologi kini, sel stem diambil terus dari sumsum tulang, yang melibatkan beberapa ratus tusukan di tulang pelvis untuk mengumpul kira-kira 1 liter darah sumsum tulang. Ia menyakitkan bagi penderma atau pesakit dan biasanya memerlukan anestetik umum.
"Berbanding kini, BMT menggunakan sel stem darah periferal. Ini melibatkan mobilisasi sel stem melalui faktor pertumbuhan, yang mana mengembangkan sumsum dan menyebabkan sel stem tambahan keluar ke dalam peredaran darah sebelum dikumpulkan oleh mesin apheresis untuk pemindahan pada masa hadapan," tambah beliau ketika ditemui pada Malam Gala Pemindahan Sumsum Tulang.
Jenis pemindahan sumsum tulang
Malah, proses pemindahan ini juga adalah salah satu cara untuk merawat pesakit dengan kanser darah, penyakit darah, limfoma atau pesakit kanser sumsum tulang.
Jika sumsum tulang pesakit tidak menemui padanan yang sesuai dalam kalangan ahli keluarga terdekat, pesakit perlu menunggu penderma sukarela yang sepadan atau mencari penderma yang sesuai melalui bank sumsum tulang.
Dalam pada itu, menurut Pakar Hematologi di Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Ng Soo Chin, pemindahan sumsum tulang dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya, pemindahan allogeneik dan pemindahan sumsum tulang autologous.
- Pemindahan allogeneik
Didermakan oleh ahli keluarga yang genetik yang sama dan jika penderma tidak berkaitan dengan pesakit, keadaan ini dipanggil Matched Unrelated Donor (MUD) yang sesuai untuk pesakit berusia antara 60 hingga 65 tahun.
- Pemindahan autologous
"Kelebihan menerima pemindahan sumsum tulang autologous adalah kadar risiko kematian yang lebih rendah. Oleh itu, ia sesuai untuk pesakit yang lebih tua berusia antara 70 hingga 75 tahun. Pesakit tidak mengalami penolakan organ yang dipindahkan dan mereka juga tidak perlu menjalani rawatan untuk menekan sistem imun, selain risiko jangkitan adalah rendah.
"Pun begitu, jika organ yang dipindahkan tidak menunjukkan penolakan, ini juga bermaksud organ yang dipindahkan tidak menolak kanser darah. Justeru, risiko kanser darah berulang tetap ada," ujar pakar itu lagi.
Dalam kes tersebut, jika dibandingkan dengan pemindahan sumsum tulang allogeneik, risiko kanser darah berulang dalam pesakit pemindahan autologous akan tinggi. Ini kerana sel stem yang dipindahkan mungkin juga tercemar dengan sel kanser dan hanya sesuai untuk limfoma dan pelbagai kanser sumsum tulang.
"Selain itu, kaedah pemindahan sumsum tulang baharu, Pemindahan Sumsum Tulang Mini Autologous, boleh mengurangkan dos ubat kemoterapi yang digunakan sebelum pemindahan, dan keberkesanan antitumor adalah berdasarkan tindak balas sistem imun.
"Pemindahan sumsum tulang mini autologous telah menurunkan kumpulan umur pesakit kepada 60 tahun. Bagi sesetengah pesakit yang tidak dapat menahan dos tinggi kemoterapi sebelum pemindahan sumsum tulang, pemindahan sumsum tulang mini autologous ini memberikan peluang untuk menyelamatkan nyawa mereka," ujarnya.
Tambah beliau, semakin ramai doktor telah menggunakan kaedah pengambilan sel stem (PBSC) dari darah periferal. Prosesnya, sel stem digerakkan dalam sumsum tulang, kemudian dikumpulkan menggunakan pemisah sel darah. Ia mengambil masa empat hingga enam jam untuk memproses kira-kira dua kali jumlah darah untuk mengumpul cukup sel stem.
Sel stem yang diambil harus disimpan pada suhu rendah minus 196 darjah Celsius dan boleh digunakan sehingga 100 tahun.
Proses pemulihan selepas pemindahan sumsum tulang
Tambah Dr Ng lagi, proses pemulihan bagi pesakit pemindahan sumsum tulang jmemakan masa panjang. Bulan pertama selepas pemindahan, pesakit harus dimasukkan ke hospital untuk penjagaan dan mengambil pelbagai ubat dalam tempoh tersebut. Malah, sistem imun ditekan (suppressed) menjadikan pesakit mudah terdedah kepada jangkitan bakteria.
Selepas keluar dari hospital, mereka memerlukan masa sekurang-kurangnya setengah tahun untuk pulih sepenuhnya. Justeru, pesakit perlu menjaga pengambilan makanan dan menangguhkan sebarang aktiviti senaman. Jika mengalami demam, harus segera mendapatkan rawatan perubatan
Selain itu, pesakit juga harus jalani pemeriksaan susulan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas keluar daripada hospital. Ini kerana, kadar risiko jangkitan masih tinggi dalam tempoh ini. Ia mengambil masa kira-kira setahun untuk sistem imun pesakit pulih sepenuhnya daripada pembedahan.
Oleh itu, Dr Ng mencadangkan agar pesakit tidak kembali bekerja, kurangkan aktiviti di luar dan menjaga kesihatan dengan baik.
Kesimpulannya, pemindahan sumsum tulang adalah prosedur yang sangat rumit. Menemukan penderma yang sepadan adalah kunci kepada pemindahan yang berjaya dan kemajuan teknologi masa kini banyak beri kemudahan kepada semua pihak dalam urusan pemindahan sumsum tulang.