Awas! Miopia anak bukan sekadar masalah penglihatan kabur, ibu bapa wajib fahami risiko pemanjangan bola mata yang berbahaya

Iklan

PERNAHKAH anda perhatikan si kecil sering duduk terlalu dekat dengan televisyen, memiringkan kepala, atau menunduk rapat ketika membaca buku? Ramai ibu bapa menganggap tindakan tersebut sekadar tabiat biasa kanak-kanak.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi Kanak-Kanak dan Pembedahan Juling, Dr Norazah Abdul Rahman, rabun jauh atau miopia sebenarnya kerap berlaku tanpa disedari oleh anak-anak itu sendiri.

Iklan
Iklan

"Kanak-kanak menganggap penglihatan kabur itu sesuatu yang normal kerana mereka tiada pembanding. Mereka akan menyesuaikan diri secara spontan dengan menggunakan sebelah mata secara dominan atau duduk lebih dekat dengan papan putih," jelas pakar itu.

Situasi tersebut menyebabkan masalah penglihatan mudah terlepas pandang jika tidak dipantau dari awal melalui pemeriksaan mata secara berkala.

Iklan

Sumber gambar: PEXELS

Satu salah faham popular dalam kalangan ibu bapa adalah kepercayaan memakai cermin mata menyebabkan mata menjadi 'lemah'.

Iklan

Ada juga yang beranggapan bahawa cermin mata biasa mampu menghentikan kuasa rabun daripada terus melonjak. Hakikatnya, kedua-dua tanggapan ini tidak benar. Cermin mata biasa sekadar mencerahkan penglihatan kabur, bukannya merawat atau menghentikan proses perkembangan fizikal mata.

Apabila miopia bertambah, bola mata anak mengalami proses pemanjangan dari bahagian hadapan ke belakang yang dikenali sebagai pemanjangan aksial. Keadaan fizikal tersebut menyebabkan cahaya yang masuk tidak jatuh tepat pada permukaan retina, sebaliknya terfokus di hadapan retina. Akibatnya, kuasa cermin mata perlu ditambah dari masa ke masa apabila bola mata terus memanjang.

Menurut Dr Norazah lagi, tempoh usia persekolahan merupakan fasa paling kritikal. Semakin muda usia anak ketika rabun mula berlaku, semakin panjang tempoh untuk kuasa rabun tersebut terus meningkat.

Jika dibiarkan berterusan tanpa langkah kawalan khas, keadaan ini berisiko tinggi menjadi rabun jauh tinggi apabila dewasa. Isu ini bukan sekadar masalah penglihatan kabur yang boleh diatasi dengan kanta tebal, malah meningkatkan risiko komplikasi serius seperti kelekangan retina, glaukoma, katarak dan kerosakan makula (myopic maculopathy).

Dr Norazah

Langkah kawalan miopia moden

Selain peranti digital, aktiviti jarak dekat yang berpanjangan seperti membaca buku, melukis, dan menyiapkan kerja sekolah turut mempengaruhi perkembangan miopia. Bagaimanapun, ini bukan alasan melarang anak belajar kerana aktiviti tersebut amat penting untuk perkembangan minda mereka.

Kuncinya terletak pada kebolehan mengimbangi gaya hidup seharian anak. Menghabiskan masa di luar rumah terbukti secara saintifik menjadi pelindung semula jadi yang sangat berkesan.

"Pendedahan kepada cahaya semula jadi dan persekitaran visual luar rumah membantu memperlahankan risiko miopia. Dua kanak-kanak yang mempunyai masa skrin yang sama boleh menunjukkan risiko berbeza jika salah seorang kerap meluangkan masa di luar," kata Dr Norazah.

Sumber gambar: PEXELS

Justeru, anak-anak digalakkan meluangkan sekurang-kurangnya dua jam sehari di luar rumah, selain mengamalkan rehat berkala semasa aktiviti jarak dekat.

Ibu bapa perlu mengubah fokus utama, daripada sekadar menukar cermin mata lebih tebal, kepada mencari langkah kawalan miopia secara aktif. Apabila kuasa rabun anak meningkat cepat, pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan merangkumi penilaian panjang aksial bola mata, kesihatan retina, fungsi penglihatan binokular, kadar peningkatan lalu, serta sejarah keluarga.

Sumber gambar: PEXELS

Kaedah rawatan kawalan miopia yang terbukti secara saintifik termasuk:

  • * Kanta cermin mata atau kanta lekap khas: Direka khas memperlahankan pemanjangan bola mata.
  • * Orthokeratology (Ortho-K): Kanta lekap khas sewaktu tidur untuk membentuk semula permukaan kornea secara sementara.
  • * Titisan mata atropin dos rendah: Rawatan farmaseutikal di bawah pemantauan ketat pakar.
  • * Terapi lampu merah tahap rendah berulang: Pilihan teknologi terkini untuk merangsang kesihatan struktur mata.

Setiap anak mempunyai profil mata yang unik. Usah tunggu sehingga anak mengadu kabur. Jadualkan pemeriksaan mata berkala bagi memastikan penglihatan mereka kekal terpelihara.