CAMPSITE & Chalet Kampung Gapeh Hulu yang berdiri gah di pinggir sungai Kampung Gapeh Hulu, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak menjadi tersohor sekelip mata.
Sejak dibuka pada tahun 2017, pemiliknya, Johari Pandak sekeluarga berkata, lokasi itu terus menjadi pilihan untuk pengunjung sama ada yang membawa keluarga atau sahabat-handai beriadah.
Beritahu Johari ketika dihubungi penulis, Campsite & Chalet Kampung Gapeh Hulu itu dibangunkan selepas perkampungan Orang Asli di sana menerima bekalan elektrik pada tahun 2016.
"Sebelum ini, saya memang ada rancangan nak buat tapak khemah dan chalet sebab pemandangan dan sungai memang cantik. Cuma, susahlah sebab tiada kemudahan elektrik. Jadi, segala impian itu terpaksa dipendam dahulu.
"Bila kerajaan sudah menyediakan bekalan elektrik, kami orang kampung mula sepakat untuk membina penempatan untuk pengunjung yang mahu bermalam,” katanya kepada SinarPlus.
Uniknya mengenai 17 chalet yang ditawarkan oleh usahawan berusia 47 tahun itu, setiap unit diperbuat daripada batang buluh, rotan dan beratapkan daun bertam.
Desain setiap binaan juga tidak ubah seperti rumah tradisional Orang Asli dan setiap kamar dilengkapi dengan tilam, bantal, kain selimut serta plug elektrik.
Kata Johari lagi, pihaknya mahu mengekalkan suasana sebenar perkampungan suku Temiar kepada orang luar supaya mereka dapat merasai kelainan bermalam di kawasan yang masih terpelihara daripada sebarang pembangunan.
"Dinding dan lantai chalet diperbuat daripada sumber hutan sekali gus memberi pengudaraan secara semula jadi. Oleh itu, jangan terkejut kalau masuk ke dalam kamar tiada kipas kerana suhu sangat sejuk terutamanya pada waktu pagi.
"Setiap unit juga ditawarkan dengan empat saiz pada harga berbeza iaitu bermula RM60 hingga RM120, manakala untuk rumah inap desa, hanya RM150 sahaja untuk satu malam,” ujarnya.
Tidak hanya reka bentuk premis menjadi tarikan, kawasan hulu sungai yang merupakan pertembungan dari dua negeri iaitu Kelantan dan Pahang menjadikan Sungai Pos Kuala Mu itu tampak lebih istimewa.
"Airnya jernih dan batu-batuannya cantik. Ditambah panorama perkampungan Orang Asli dan Gunung Yong Yap. Jadi, ramai yang suka datang ke sini untuk berkhemah dan berkelah bersama rakan serta keluarga,” katanya.
Bagi pengunjung yang mahu merasai sendiri bermalam dalam khemah, tapak yang luas berhampiran tepi sungai ditawarkan bermula pada kadar sewa serendah RM10 hingga RM60.
Soal makanan bukanlah satu masalah besar kerana fasiliti seperti kantin sudah disediakan kepada pengunjung, selain kedai runcit berhampiran.
Jika mahu masak sendiri, ruangan berkenaan juga tersedia dengan kelengkapan asas.
Sebagai nilai tambah, kawasan riadah tersebut juga mempunyai kawasan air terjun yang terletak kira-kira 3 kilometer dari tapak khemah. Jarak pendakian pula mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja.
"Jika orang ramai datang tepat pada waktunya, mereka berpeluang untuk menikmati buah-buahan tempatan seperti durian pada harga murah,” katanya.