JIKA dahulu Alamanda Shopping Centre sekadar menjadi destinasi membeli-belah harian di Putrajaya, kini ia bangkit menjadi tarikan bukan hanya untuk jalan-jalan tetapi gaya hidup dan pelancongan bandar yang wajib singgah.
Dengan suntikan penjenamaan semula bernilai RM100 juta daripada Putrajaya Holdings Sdn Bhd, pusat beli-belah yang diuruskan oleh Suria KLCC Sdn Bhd itu tampil dengan wajah baharu yang lebih segar, moden dan meriah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis penjenamaan semula pusat tersebut berkata, Alamanda bukan sekadar ruang membeli-belah, tetapi nadi penting dalam lanskap gaya hidup dan komuniti, merapatkan hubungan antara penduduk dan pelawat dari pelbagai lapisan.
Antara keunikan baharu ialah ESCAPE Putrajaya yang terletak di Esplanade, kini menjadi tarikan unggul di bawah konsep baharu pusat beli belah itu.
Ia merupakan taman pengembaraan luar seluas 151,548 kaki persegi, hasil kerjasama bersama Sim Leisure Group Ltd, yang direka untuk menggabungkan unsur alam semula jadi dan pengembaraan.
Daripada Zip Coaster kepada Flying Lemur,
Banana Flip dan Coco Climb, setiap sudutnya menjanjikan pengalaman yang mengujakan untuk seisi keluarga.
Estetika moden
Selain itu, Alamanda kini menampilkan 10 dewan pawagam TGV Cinemas mesra keluarga dan pusat boling U-Bowl X dengan 26 lorong serta pusat karaoke, menjadikannya tempat yang menarik untuk aktiviti hujung minggu, percutian sekolah atau sekadar ‘me time’ bersama rakan-rakan.
Rangkaian hiburan tersebut memantapkan lagi konsep 'retailtainment', gabungan hiburan dan pembelian yang menjadi trend gaya hidupmasa kini.
Pembaharuan ini turut membawa peningkatan 27 peratus dalam Kawasan Bersih Boleh Disewa (NLA) dengan tambahan kira-kira 199,000 kaki persegi, termasuk ruang-ruang baharu yang kini menempatkan puluhan kedai dan jenama popular.
Selaras dengan tagline 'Easy, Vibrant Shopping', Alamanda memastikan pengalaman berjalan-jalan lebih meriah dan menyeronokkan.
Reka bentuk baharu destinasi ini bukan sekadar cantik, ia dirancang memberi pengalaman lebih selesa dan menarik. Lantai marmar bersinar, balustrad kaca dan kemasan keluli tahan karat memberi estetika moden yang menyegarkan mata.
Ditambah dengan landskap yang dilengkapi kawasan hijau, tempat duduk santai dan dek daripada bahan mampan.
Di Esplanade, kipas HVLS memastikan suasana makan luar tetap nyaman walaupun cuaca panas, sambil menyaksikan keletah pengunjung.
Selain kemudahan hiburan dan runcit, Alamanda mencipta sejarah dengan menempatkan Kiosk Sentuhan Madani, membolehkan orang ramai mengakses perkhidmatan kerajaan terpilih di luar waktu pejabat.
Inisiatif itu membuktikan komitmen pusat beli-belah tersebut terhadap kemudahan dan kepentingan komuniti.
Cipta memori manis
Dalam satu kenyataan yang menarik, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Francis Tan berkata, penjenamaan semula Alamanda bukan sekadar memperbaharui bangunan, tetapi membuka lembaran baharu bagi pengalaman membeli-belah dan hiburan di Putrajaya.
"Kami ingin menjadikan setiap langkah di Alamanda detik yang menyeronokkan dan bermakna, di mana keluarga, sahabat, dan komuniti dapat berkumpul, bersantai, dan menikmati hiburan moden.
"Dari ESCAPE Putrajaya hingga pawagam dan pusat boling, setiap elemen direka untuk menghidupkan nadi sosial bandar ini termasuklah kemudahan karaoke dan pelbagai F&B yang menampilkan pelbagai pilihan, daripada kegemaran tempatan seperti Oriental Kopi dan Cili Kampung,"ujarnya.
Dengan kemudahan parkir selesa, akses mesra Orang Kurang Upaya, surau dan Centre Court yang luas di bawah siling berkubah kaca, Alamanda kini bukan sahaja pusat membeli-belah, tetapi destinasi gaya hidup, hiburan, dan jalan-jalan lengkap di tengah-tengah Putrajaya.
Setiap kunjungan bukan sekadar membeli-belah, tetapi pengalaman membina memori manis bersama keluarga dan rakan-rakan.