TURKIYE antara destinasi pelancongan popular di dunia apabila menerima lebih 4.3 juta pengunjung yang direkodkan pada awal tahun ini.
Kebanyakan daripada mereka datangnya dari negara jiran seperti Iran, Bulgaria dan Rusia.
Selain terkenal dengan keindahan kota seperti Istanbul, Cappadocia, Pamukkale dan Bursa, negara republik itu juga memiliki keunikan Masjid Hagia Sophia yang kaya dengan sejarah tersendiri.
Asalnya, ia merupakan gereja Ortodoks Timur Byzantine sebelum dijadikan masjid selepas penaklukan Constantinople oleh Empayar Uthmaniyah.
Lagi menarik, Turkiye juga memperkenalkan laluan pendakian penuh epik untuk ke tamadun Anatolia yang memaparkan kehebatan empayar Lycian, Carian, Hittite dan Phrygia.
Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Turki dan Agenci Pembangunan dan Promosi Pelancongan Turkiye (TGA) memberitahu, bandar primitif tersebut menawarkan keajaiban arkeologi purba.
Padanlah ia mendapat gelaran tamadun paling indah dan eksotik di dunia!
Bayangkan, laluan pendakian meliputi kawasan pergunungan bermula dari Aegean ke Mediterranean dan Anatolia Tengah itu menawarkan pemandangan alam semula jadi yang mengagumkan.
Ditambah dengan Sagalassos yang terkenal dengan Air Pancut Antonine, Termessos, Pisidia Antioch, Kremna, Adada dan Selge yang sehingga kini masih menyimpan khazanah sejarah kuno.
Berikut lima keajaiban alam semula jadi yang menjadi tumpuan pelancong khususnya hikers seluruh dunia:
1. Laluan Lycian
- Kesatuan Lycian merangkumi 23 bandar. Antaranya Xanthos, Myra, Olympos, Aperlai dan Simena yang terletak di sepanjang perjalanan kira-kira 540 kilometer.
- Patara antara bandar purba Lycia yang sangat cantik terutamanya selepas matahari terbenam.
- Laluan Lycian juga mengetengahkan keajaiban alam semula jadi seperti Ölüdeniz, Butterfly Valley, Teluk Kabak, Kalkan, Kaş, Gunung Olympus, Rumah Api Gelidonya, Çıralı dan Göynük Canyon.
2. Laluan Caria
- Laluan kembara terpanjang di Türkiye yang merangkumi perjalanan sepanjang 800 kilometer.
- Jejak masyarakat Carian yang merentasi wilayah Aydın dan Muğla, dengan Semenanjung Bozburun yang berada di selatan Marmaris.
- Terkenal sebagai pusat pembuatan gulet dan bot bertiang kayu gaya Turki yang digunakan untuk pelayaran, selain ladang badam serta zaiton.
- Mempunyai pantai dan teluk terpencil yang jauh dari kawasan kediaman iaitu Teluk Gökova melalui Pulau Sedir.
- Pengunjung boleh berkayak di Terusan Dalyan berhampiran pusat Muğla yang menyediakan akses kepada makam batuan berusia 2,400 tahun di bandar purba Kaunos.
3. Rantau Pisidia
- Laluan yang mengetengahkan gabungan keajaiban arkeologi purba dan pemandangan alam semula jadi yang mengagumkan.
- Keajaiban alam semula jadi sepanjang laluan termasuklah Köprülü Canyon, Çandır Yazılı Canyon, Taman Negara Tasik Kovada, Tasik Eğirdir dan Hutan Oak Davraz Kasnak.
- Sambil memerhatikan hidupan liar, anda boleh berakit dan memanjat batu-batuan.
4. Laluan Hittite
- Empayar yang berusia 450 tahun yang terkenal dengan inovasi dalam sejarah tamadun manusia.
- Meliputi jarak kira-kira 380 kilometer yang menghubungkan ibu kota Hittite purba iaitu Hattusa, Alacahöyük dan Şapinuva.
- Hattusa yang memiliki lebih 30,000 kepingan tanah liat bertulis disenaraikan sebagai Tapak Warisan Budaya Dunia dan Memori Dunia UNESCO.
5. Laluan Phrygia
- Masyarakat Phrygia bangkit selepas keruntuhan Hittite pada abad ke-12 sebelum Masihi, merangkumi wilayah Ankara, Afyonkarahisar, Eskişehir dan Kütahya.
- Mempunyai contoh monumen batuan Phrygia yang hebat, jejak ritual keagamaan dan kehidupan sosial masyarakat Phrygia.
- Wilayah Pergunungan Phrygia yang meliputi Kütahya, Afyon dan Eskişehir dimasukkan dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO sejak 2015.
- Bandar purba Gordion dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia ke-20 Türkiye pada tahun 2023.
Kalau diperhatikan satu persatu, banyak tarikan lain yang boleh mengumpan kalian yang sukakan seni artifak untuk berkunjung ke Turkiye.
Lagi satu, terdapat bangunan gergasi dengan ukiran seni pahat singa yang luar biasa, memang mengagumkan.
Lihat saja foto yang dikongsikan sudah kagum, bagaimana pula kalau tengok depan-depan, kan?
Jadi, apa tunggu lagi? Cepat kumpul duit dan penuhkan bucket list kalian untuk menerokai dunia. Okey! Selamat berhujung minggu.