USAHA pelakon dan pengacara popular, Lisa Surihani ini wajar dijadikan inspirasi. Tidak hanya hijrahnya dalam agama, meniti usia 38 tahun, isteri kesayangan Yusri Abdul Halim itu sedang berusaha mendapatkan berat badan ideal.
Menerusi penstriman langsung di laman sosial TikTok, pelakon Istanbul Aku Datang dan Ombak Rindu itu mendedahkan beliau melakukannya demi menjaga kesihatan diri agar dapat melaksanakan ibadah dengan lebih baik.
"Saya amalkan bersenam di gimnasium sebanyak empat kali seminggu dan intermittent fasting sejak sebulan yang lalu.
"Niat saya adalah untuk sihat, kuat dan apabila sudah berumur tidak menyusahkan anak-anak. Apabila ada kekuatan, maka ibadah boleh dilakukan dengan baik," kongsinya.
Dikelilingi rakan-rakan yang memahami misi dan menyokong usahanya membuatkan Lisa bersyukur.
"Saya bersyukur kerana di gimnasium yang dikunjungi ada rakan-rakan wanita yang sangat memberikan sokongan.
"Jadi, saya sangat kagum dengan perkara itu tetapi ia bergantung kepada jenis senaman.
Terdahulu, pelakon itu pernah berkongsi tentang diet yang dilakukan pada 2017 selepas bersalinkan anak kedua.
Empat tip turunkan berat cara Lisa Surihani antaranya ialah bertukar kepada beras herba ponni, mengurangkan gula dalam makanan dan minuman, intermittent fasting 16:8 dan melakukan senaman.
Beliau amat menekankan penurunan berat pada kadar selamat dan tidak terlalu drastik. Dalam masa setahun, ketika itu Lisa berjaya mendapatkan berat badan sebelum hamil iaitu 53 kilogram.
Untuk rekod, pelakon Manisnya Cinta di Cappadoccia itu mendirikan rumah tangga dengan berkahwin dengan Yusry pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.