SELEPAS lima tahun menerbitkan video muzik serta kandungan komersil, penyanyi dan pelakon Ayda Jebat melebarkan langkah menghasilkan drama serta telefilem untuk siaran televisyen.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 34, berkata AJNM Entertainment yang ditubuhkan bersama suaminya, Nabil Mahir menyahut cabaran menerbitkan drama bermula akhir tahun ini selepas yakin terhadap potensi karya mereka.
“Selama ini kami lebih banyak menghasilkan video muzik, iklan dan jingle untuk pelbagai jenama terkenal. Namun, kali ini kami mahu mencuba sesuatu yang berbeza dengan meneroka penerbitan untuk televisyen.
“Alhamdulillah, projek pertama kami sudah pun ditayangkan menerusi RTM. Insya-Allah, bulan depan kami akan memulakan penggambaran sebuah drama dan sebuah lagi telefilem,” katanya lagi.
Bagi projek drama terbaharu syarikat milik bersama itu, Ayda berkaitan kerja penggambaran dijadualkan bermula bulan depan dengan menampilkan beberapa pelakon termasuk model dan pelakon, Amber Chia.
Pada masa sama, Ayda mengakui penerbit dan pelakon berpengalaman, Sheila Rusly merupakan antara individu yang menjadi sumber inspirasinya mendalami bidang penerbitan.
"Saya banyak memerhati cara beliau mengendalikan produksi, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, penelitian skrip dan pemilihan jalan cerita.
“Saya sangat mengaguminya. Saya suka semua cerita yang dihasilkan Sheila serta suaminya, Jinggo kerana jalan cerita berkualiti selain ketelitian dalam menguruskan bajet.
"Dulu beliau selalu telefon saya suruh datang rumah. Ketika itulah saya dapat melihat sendiri caranya meneliti dan mengkaji skrip. Secara tidak langsung, banyak perkara saya belajar daripadanya,” tambahnya.
Mengenai pembahagian tugas bersama suaminya, Ayda berkata, Nabil menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, manakala dia sendiri memberi tumpuan terhadap kerja belakang tabir serta pengurusan.
Meski menyimpan hasrat untuk duduk di kerusi sutradara, pelakon drama Mandul Bukan Pilihan itu enggan terburu-buru merealisasikan impian tersebut kerana menyedari bidang berkenaan memerlukan ilmu serta pengalaman mencukupi.
“Saya rasa perlu menimba ilmu terlebih dahulu. Bukan tidak boleh buat, tetapi saya mahu belajar daripada orang yang lebih berpengalaman, termasuk mereka yang rapat dengan saya.
“Kami tidak mahu terus terjun tanpa persediaan kerana banyak perkara perlu difahami. Saya mahu tahu bagaimana menguruskan produksi dengan betul sebelum melangkah lebih jauh,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ayda turut berkongsi minatnya terhadap jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset yang disifatkan mempunyai perkembangan cukup memberangsangkan.
Mengakui sudah lama mengenali jenama berkenaan, pelakon itu berkata, koleksi pakaian Bayu Somerset sering menjadi pilihannya terutama ketika menghadiri mesyuarat, urusan rasmi dan kemunculan di kaca televisyen.
Baginya, keupayaan sesebuah jenama untuk berkembang pesat sambil mengekalkan kualiti produk merupakan satu pencapaian yang wajar dibanggakan.
“Saya memang suka cara mereka berkembang dengan cepat tetapi kualiti tetap terjaga. Saya sendiri sudah lama memakai pakaian Bayu Somerset, malah hampir setiap Jumaat atau ketika ada urusan rasmi, saya memilih koleksi ini.
“Tahniah kepada pemiliknya yang turut menyuntik inspirasi kepada saya sebagai pengusaha bisnes. Harap mereka terus maju dan menghasilkan lebih banyak koleksi termasuk pakaian bayi seperti koleksi romper daripada fabrik kapas,” katanya.