TRAGIS dan memilukan, insiden khianat simbah asid melibatkan tonggak utama Selangor FC, Faisal Halim menyentuh hati. Lebih menggerunkan apabila siasatan mendapati bahan yang digunakan suspek adalah asid sulfurik pekat yang sangat mengakis!
Asid berkenaan adalah sejenis asid mineral yang kuat. Mempunyai formula kimia H2SO4, ia banyak digunakan dalam banyak industri penghasilan bahan kimia, bahan letupan, gam, penapisan petroleum dan bateri kereta berasaskan plumbum.
Pendedahan kepada bahan ini sama ada terhidu, tersentuh, termakan atau terminum akan memberikan kesan yang buruk. Malah ia juga boleh mengakibatkan kehilangan atau perubahan penglihatan jika terkena pada mata.
Pengamal perubatan, Dr Aliff Zaki menjelaskan kelecuran boleh berlaku disebabkan oleh beberapa punca termasuk terdedah kepada api atau suhu, elektrik dan petir, radiasi dan banyak lagi.
Dalam kes pemain pasukan Kuning Merah ini, kelecuran tahap empat yang dialami boleh melibatkan tulang dan otot.
Menerusi perkongsian di laman sosial TikTok, beliau menjelaskan asid sangat berbahaya dan berkemungkinan boleh menyebabkan proses penghakisan berterusan yang menyebabkan mangsa yang awalnya mengalami melecur tahap dua beralih ke tahap empat.
"Ini klasifikasinya, melecur tahap empat melibatkan keseluruhan ketebalan kulit, otot dan juga tulang. Kerosakan saraf juga menyebabkan seseorang kehilangan rasa sepenuhnya. Maksudnya memang terkena otot, tulang dan hilang segala saraf sebab memang dah rentung ia bukan sekadar melecur.
"Anda boleh lihat (gambar rajah beberapa jenis tahap melecur), jika melecur tahap ketiga hanya melibatkan lapisan kulit sahaja, otot dan tulang okay.
Menurut Dr Aliff, sesetengah kes akan melalui prosedur pembedahan bagi menggantikan kulit yang tercedera sama ada menggunakan kulit pada bahagian badan yang lain seperti paha.
Bersimpati dengan keadaan yang menimpa Faisal, Dr Aliff berkongsi berkemungkinan pemain berusia 26 tahun itu memerlukan pelbagai pembedahan bagi merawat kecederaan yang dialaminya.
Baca juga: Ulang tahun ke-25 Akhyar Rashid tragis disamun 2 perompak, Eyka Farhana setia temani di hospital
"Tengok bajunya (Faisal Halim) cair, rambut pun cair, Allahuakbar. Harap Faisal sembuh segera, segala urusan dipermudahkan dan suspek ditangkap oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Terdahulu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden menimpa Faisal yang cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dan dilaporkan mengalami kelecuran tahap dua di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara pada petang Ahad.
Media melaporkan bapa kepada seorang cahaya mata itu mengalami kecederaan teruk pada muka, pipi, hidung, mulut, badan hingga pergerakan dan percakapannya terbatas.
Lebih menyedihkan, beliau tidak dapat ‘merasa’ lengan kirinya.
Untuk rekod, dalam tragedi itu, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal tersebut didakwa turut mengucapkan ‘good luck’ kepada Faisal sebelum menyimbah cecair kimia tersebut ke arah pemain tersebut
Polis Diraja Malaysia bagaimanapun telah menahan dua suspek berhubung kes berkenaan dan mengesahkan suspek pertama yang ditahan bukan pelaku.
Sama-sama kita doakan rawatan Faisal berjalan lancar dan beliau segera sembuh.
Sumber: TikTok Alpha Zaki
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!