Mungkin ramai yang masih belum terdedah dengan teknik urutan limfatik atau dikenali sebagai saliran limfatik manual (MLD).
Menurut Fisioterapi dan Pengamal Dr.Vodder's Manual Lymphatic Drainage, Alvin Lim, sistem limfatik adalah sebahagian daripada sistem imun kita, yang membantu mengeluarkan produk buangan dan toksin dari tisu badan. Ia juga membantu dalam mempertahankan tubuh daripada sebarang jangkitan penyakit.
MLD ialah teknik lembut dan berirama untuk membantu memperbaiki aliran cecair limfa di seluruh badan dengan menyasarkan sistem limfatik.
Urutan tersebut diasaskan oleh pasangan Vodder iaitu Dr. Emil Vodder dan isterinya, Estrid pada tahun 1936 di Paris untuk merawat nodus limfa yang bengkak.
"Fokus utama rawatan ni adalah untuk mengurangkan sakit dan buat anda rasa sihat. Sistem limfatik ada komponen yang boleh mengepam cecair limfa, sama macam otot atau jantung mengepam darah.
"Ia membantu mengeluarkan bahan-bahan yang menyebabkan keradangan dari tisu badan. Contohnya, prostaglandin iaitu sejenis bahan kimia.
"Dalam badan kita ada lebih kurang 600 nodus limfa, dari atas ke bawah. Ramai berfikiran nodus limfa ini hanya di ketiak atau leher, tapi sebenarnya ia ada di seluruh badan.
"Mesti anda pernah terlanggar meja atau kerusi dan secara semulajadi akan gosok di tempat yang sakit.
"Sebenarnya, tindakan menggosok tu secara tidak sedar sedang mengaktifkan teori pain gate atau pintu sakit yang mana ia menutup laluan isyarat sakit.
"Oleh sebab itu rasa sakit itu akan kurang selepas gosok,” katanya ketika ditemui SinarPlus pada majlis sambutan ulang tahun keempat Yoga For Mums.
Jelas beliau, bagi mereka yang baru menjalani MLD, disyorkan untuk memulakan dengan sesi mingguan untuk beberapa minggu pertama bagi merangsang sistem limfatik secara berkesan.
"Selepas itu, kekerapan boleh disesuaikan mengikut keperluan dan matlamat individu. Sesetengah orang mungkin mendapati sesi penyelenggaraan setiap dua hingga empat minggu sudah memadai,” ujarnya.
Lancarkan aliran limfatik dari rumah
Selain mendapatkan urutan, cara yang paling mampu milik untuk memastikan sistem limfatik anda sihat adalah dengan bersenam.
Bersenam secara teratur, seperti berjalan, berjoging, berenang atau yoga, boleh merangsang peredaran limfatik.
Selain itu, latihan pernafasan mendalam juga boleh melancarkan pergerakan limfa dalam badan.
Seterusnya, kekal terhidrat kerana air membantu mengekalkan keseimbangan cecair yang diperlukan untuk aliran limfa.
Pada masa yang sama, anda juga boleh melakukan dry brush pada kulit mengikut arah aliran limfa.
Malah, memakai pakaian ketat boleh bermanfaat bagi mereka yang mengalami bengkak atau limfedema.
"MLD sesuai untuk pelbagai golongan iaitu mereka yang mengalami bengkak (edema), selepas pembedahan atau kecederaan (penggantian lutut atau terseliuh buku lali), pesakit limfedema, atau mereka yang ingin meningkatkan kesejahteraan secara umum.
"Ia juga bermanfaat untuk individu dengan keadaan kronik seperti sinusitis kronik, migrain, vertigo, benign paroxysmal positional vertigo (BPPV), atau sindrom meniere."Namun ia tidak disyorkan atau perlu diberi perhatian dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan untuk keadaan tertentu seperti kegagalan jantung kongestif, kanser yang tidak dirawat, trombosis vena dalam yang tidak dirawat, jangkitan akut atau keradangan,” jelas beliau lagi.