Nampak kecil, tetapi boleh sebabkan amputasi, doktor jelaskan cara selamatkan kaki pesakit diabetes

Iklan

PERNAHKAH anda terfikir, sekadar luka kecil akibat terlanggar bucu meja atau melecet memakai kasut baharu mampu menjadi mimpi ngeri buat penghidap kencing manis?

Bagi individu sihat, kesan calar itu mungkin sembuh dalam beberapa hari. Namun bagi pesakit diabetes, setiap detik yang berlalu tanpa rawatan tepat boleh mengundang komplikasi serius sehingga mengancam nyawa dan anggota badan.

Iklan
Iklan

Realitinya, ramai dalam kalangan kita masih bersikap ‘tunggu dan lihat’. Ada yang hanya menyapu ubat tradisional atau membiarkan sahaja luka tersebut dengan anggapan ia akan kering sendiri.

Malangnya, apabila tisu mula mati dan jangkitan kuman merebak ke dalam tulang, pilihan terakhir yang sering dibentangkan di hadapan mata adalah amputasi atau pemotongan anggota badan.

Iklan

Namun, menurut Pengarah Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam, Dr Raymond Rony Pav, tidak semua luka kronik perlu berakhir dengan kehilangan anggota tubuh. Setiap kes mempunyai jalan cerita berbeza dan masih ada ruang untuk menyelamatkan kaki pesakit bergantung kepada tahap kerosakan tisu, kawalan jangkitan serta kelancaran aliran darah.

Berbekalkan latar belakang dalam bidang ortopedik serta pembedahan plastik dan rekonstruktif ketika berkhidmat di hospital kerajaan, Dr Raymond melihat penjagaan luka kompleks bukan sekadar mencuci bahagian luar semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan menyeluruh dengan merungkai punca sebenar mengapa luka tersebut gagal sembuh.

Iklan

“Apabila pesakit datang dengan luka diabetes, langkah pertama adalah menilai tahap kerosakan tisu, risiko jangkitan dan keadaan salur darah mereka.

"Jika terdapat tisu yang sudah mati, prosedur debridement perlu dilakukan bagi membuang bahagian rosak supaya sel baharu dapat tumbuh dengan sihat.

"Matlamat utama kami adalah mempertahankan sebanyak mungkin anggota badan yang masih boleh diselamatkan tanpa mengabaikan keselamatan pesakit,” jelasnya.

Secara saintifiknya, paras gula yang tinggi dalam darah merosakkan saraf (neuropati) sehingga pesakit tidak berasa sakit walaupun kaki sudah terluka.

Pada masa sama, penyempitan salur darah menyekat bekalan oksigen dan nutrien penting ke kawasan terjejas, sekali gus melumpuhkan sistem pertahanan semula jadi tubuh untuk melawan kuman.

Justeru, proses pemulihan memerlukan strategi berperingkat. Selain rawatan klinikal dan antibiotik untuk mengawal jangkitan, pesakit wajib mengawal paras glukosa, menjaga pemakanan seimbang serta memastikan aliran darah ke kaki berada pada tahap optimum.

Dalam keadaan tertentu, teknologi moden seperti terapi oksigen turut digunakan sebagai rawatan sokongan bagi mempercepatkan pembentukan tisu baharu, namun ia tetap perlu digandingkan dengan penjagaan asas yang konsisten.

Melawan penyakit kronik

Apa yang lebih menyentuh hati, perjalanan melawan penyakit kronik ini turut menuntut kekuatan emosi. Kisah seorang pesakit berusia 60 tahun, Tan Chin Chuan, membuktikan bahawa harapan sentiasa ada bagi mereka yang tidak berputus asa.

Sebelum ini, beliau pernah disarankan menjalani pembedahan memotong bahagian betis akibat jangkitan kuman yang teruk.

Namun selepas mendapatkan penilaian lanjut dan menjalani rawatan pemeliharaan luka secara berkala bersama Dr Raymond pada awal tahun ini, keadaan kakinya beransur pulih.

Daripada bergantung sepenuhnya kepada tongkat, beliau kini mampu melangkah semula dengan yakin, sekali gus mengembalikan kualiti hidup yang hampir hilang.

Bagi Dr Raymond, kepuasan sebenar seorang pengamal perubatan bukan hanya diukur pada cantuman kulit yang kembali bertaut, tetapi melihat pesakit mampu pulang ke pangkuan keluarga dan meneruskan kehidupan harian seperti sedia kala.

Pesannya cukup ringkas namun bermakna, jangan sesekali memandang remeh sebarang perubahan pada kaki seperti lepuh, bengkak atau perubahan warna kulit. Pemeriksaan awal dan disiplin penjagaan diri adalah kunci utama untuk menyelamatkan langkah anda pada masa hadapan.