Childfree makan diri, boleh undang penyakit kanser!

Iklan

SEJAK kebelakangan ini, trend childfree semakin meluas dalam kalangan masyarakat khususnya bagi pasangan muda yang baharu berkahwin. Perkara itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat lantaran kesannya dilihat dalam jangka masa panjang yang bukan sahaja mengubah struktur sosial setempat malah turut memberi impak secara global.

Iklan
Iklan

SEJAK kebelakangan ini, trend childfree semakin meluas dalam kalangan masyarakat khususnya bagi pasangan muda yang baharu berkahwin. Perkara itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat lantaran kesannya dilihat dalam jangka masa panjang yang bukan sahaja mengubah struktur sosial setempat malah turut memberi impak secara global.

Memetik laporan portal cnbcindonesia.com, Rachel Chrastil menyatakan childfree pada era awal tahun 1500-an didefinisikan sebagai para wanita sama ada sudah berkahwin atau belum yang tidak mahu membesarkan anak.

Iklan

Perkara itu menjadi kelaziman penduduk desa dan kota di Eropah sekitar tahun berkenaan terutamanya kaum Hawa yang memilih untuk berkerjaya berbanding berkahwin muda seperti kebiasaan wanita zaman berkenaan.

Dalam bukunya bertajuk How To Be Childless: A History and Philosophy of Live Without Children, Chrastil menyatakan, gaya hidup tanpa anak meletus di Barat sejak tahun 1970-an lagi. Trend itu dikatakan kembali popular kini.

Iklan

Menurut Pendaftar Sakit Puan, Metro IVF, Dr Deephashni Thulasiraman, childfree adalah satu istilah yang digunakan apabila seseorang atau pasangan itu membuat keputusan untuk tidak mempunyai anak setelah berkahwin.

Berbeza dengan childless, ia adalah keadaan yang mana pasangan tidak boleh mempunyai anak disebabkan oleh masalah kesihatan atau kesuburan.

Tambah beliau, kebanyakan mereka yang memilih untuk childfree bukan bermakna mereka tidak suka pada kehadiran anak, bahkan ada yang sangat baik dengan kanak-kanak. Namun, mereka memilih untuk berbuat demikian disebabkan oleh beberapa faktor.

Antaranya:

1 Fokus pada kerjaya: Tidak kira suami atau isteri, masing-masing memilih untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka. Oleh kerana itu, mereka memilih untuk fokus pada kerjaya berbanding soal anak. Justeru, masa yang diberikan kepada anak akan memberi kesan kepada kerjaya mereka.

2 Keperluan kewangan: Dunia masa kini, duit adalah segala-segalanya terutama bagi golongan muda yang baharu sahaja memulakan kehidupan mereka. Oleh itu, mereka membuat keputusan untuk tidak mempunyai anak kerana beranggapan si kecil akan menambahkan perbelanjaan.

3 Mahukan kebebasan atau tiada kongkongan: Kebanyakan yang bekerjaya, apabila pulang ke rumah, mereka mahukan hanyalah ketenangan dan rehat dari kesibukan kerja. Mereka mahukan ruang dan kebebasan serta bercuti tanpa perlu memikirkan tanggungjawab terhadap anak.

4 Beri perhatian penuh dengan hubungan suami isteri: Apabila tiada anak, boleh menggunakan masa sepenuhnya bersama-sama. Melakukan aktiviti luar, fleksibiliti gaya hidup dan buat apa sahaja. Malah, mereka rasakan ini boleh menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan mental mereka. Boleh fokus untuk kerja, rumah dan diri sendiri.

5 Peka terhadap alam sekitar: Populasi dunia masa kini semakin meningkat. Apabila mereka dikurniakan anak, mereka harus memikirkan bagaimana keadaan cahaya mata dalam masa 20 hingga 30 tahun akan datang. Terutama jika ketika itu berlaku peperangan atau berdepan dengan kemiskinan seperti makanan tidak mencukupi, tiada bahan sumber utama seperti petrol dan minyak menyebabkan anak mengalami kesusahan.

Menurut Dr Deepashni lagi, apa yang membimbangkan, konsep childfree itu menular secara trend atau gerakan. Malah, Ia juga menjurus kepada egosentrik berbanding sosiosentrik.

"Berdasarkan faktor-faktor yang disebutkan tadi, mereka lebih kepada mengikut trend kerana mahukan kebebasan.

"Malah, perkongsian yang dimuat naik menerusi media sosial, walaupun berbentuk gurauan tentang perbezaan kehidupan yang bertungkus lumus menguruskan anak dengan tiada anak, situasi tersebut boleh mengelirukan golongan muda," jelas beliau.

Childfree undang penyakit kanser

Dalam pada itu, bagi golongan yang betul-betul tidak mahu mempunyai anak, mereka telah membuat persediaan daripada awal seperti mengambil pil perancang, cucuk ubat hormon, meletakkan alat atau penggunaan kondom. Dalam erti kata lain, semua jenis kaedah perancang yang ada akan cuba digunakan.

Tambah Dr Deepashni, pelbagai kajian telah dan sedang dijalankan yang mana buat masa ini didapati, terdapat beberapa kesan buruk pada kesihatan terutama bagi wanita yang memilih untuk tidak mempunyai anak.

Masalah kesihatan yang dihadapi adalah dari segi kanser reproduktif iaitu kanser payudara, kanser rahim dan kanser ovari. Walaupun risiko keseluruhan kanser reproduktif tersebut tidak sebegitu tinggi, namun keadaan itu cukup membimbangkan.

Pun begitu, punca utama masalah itu boleh berlaku adalah bergantung kepada perubahan hormon kaum Hawa.

"Setiap kitaran haid kita mempunyai ovulasi. Kajian mendapati, semakin banyak kitaran ovulasi seseorang wanita, pendedahan kepada hormon meningkat, situasi itu akan menyebabkan semakin tinggi risiko untuk mendapat kanser. Kitaran ovulasi berkurang apabila seseorang wanita itu hamil dan menyusukan bayi.

"Wanita yang tidak pernah melahirkan bayi hidup seumur hidupnya, digelar sebagai Nullipara. Ia mempunyai 20 hingga 40 peratus lebih tinggi risiko untuk dapat kanser reproduktif selepas menapous daripada wanita yang pernah dapat anak sebelum usia 25 tahun. Malah, wanita yang pernah ada sekurang-kurangnya lima orang anak mempunyai rendah dari 50 peratus risiko untuk mendapat kanser," tambah beliau.

Selain itu, ada juga kajian yang menyatakan wanita yang tidak mempunyai anak boleh berhadapan dengan masalah osteoporosis atau tulang lemah dan penyakit kardiovaskular. Malah, bagi lelaki bakal berhadapan dengan masalah diabetes dan jantung sekiranya mereka tidak mempunyai anak.

"Mungkin buat masa ini anda merasakan tiada kepentingan mempunyai anak kerana masih muda dan aktif. Namun, selepas menjangkau umur tertentu, anda mungkin mula rasa kesunyian. Bila kalian sangat uzur, pilihan selanjutnya mungkin anda perlu duduk di rumah orang tua dan tidak mempunyai keluarga untuk melawat. Justeru, keputusan untuk tidak membina sebuah keluarga tidak seharusnya dikesali pada waktu itu.

"Mungkin ada yang mengajak anda untuk sertai komuniti childfree. Perlu anda fahami bahawa mereka tidak semestinya sentiasa ada. Lebih-lebih lagi ketika berseorangan dan kesakitan, tiada jaminan komuniti tersebut boleh menghulurkan bantuan. Jadi, hal sedemikian yang anda harus fikir dengan lebih mendalam," ujar beliau.

Dalam pada itu, sekiranya ramai yang memilih untuk childfree, berkemungkinan sekitar 20 hingga 30 tahun akan datang, negara akan berdepan dengan situasi lebih ramai golongan warga tua berbanding orang muda.

Semakin berusia, masalah kesihatan dalam kalangan warga tua semakin ketara dan beban sektor kesihatan kian meningkat. Kekurangan tenaga kerja muda untuk berbakti boleh menjejaskan kemajuan dalam bidang perubatan. Oleh itu, generasi muda harus terus berkembang supaya ada pemikiran baharu dalam kalangan muda untuk terus berkontribusi. Jika ramai yang memilih tidak mempunyai anak, sesebuah negara bakal menemui jalan buntu untuk terus menerajui kemajuan.

Sedar sebelum terlambat

Jika ada segelintir memilih untuk tidak memiliki anak, namun ada pasangan lain ternanti-nanti kehadiran si kecil dalam rumah tangga mereka. Pelbagai ikhtiar dilakukan demi untuk menimang zuriat sendiri.

Bercakap hal tersebut, Dr Deepashni memberitahu, untuk pasangan yang inginkan anak perlu menjalani pemeriksaan kesuburan.

"Teknologi terkini menerusi rawatan IVF atau persenyawaan In Vitro (IVF) atau bayi tabung uji antaranya memberi manfaat besar dalam membantu orang ramai untuk meneruskan legasi mereka melalui anak-anak.

"Walaupun umum tahu selepas 35 tahun kesuburan wanita sudah mula menurun, namun tidak salah mencuba dan mendapatkan nasihat dari pakar kesuburan untuk mereka lakukan pemeriksaan dan dapat anak dengan secepat mungkin," ujarnya.

Justeru, beliau menitipkan pesanan kepada mereka yang ingin mengamalkan childfree supaya pertimbang semula keputusan tersebut.

Amati kebaikan dan keburukan daripada keputusan berkenaan, jangan disebabkan mengikut trend sehingga tersalah memilih untuk tidak mahu memiliki cahaya mata sendiri.

Lihat semula kepentingan institusi kekeluargaan dengan memiliki zuriat dan implikasi masa hadapan yang bakal terjadi. Malah sudah terbukti dalam kajian tentang faktor risiko kesihatan jika anda teruskan amalan childfree ini.