RAMAI antara kita yang menganggap tekanan darah tinggi ini perkara biasa sebab ia tidak nampak di mata kasar dan tiada tanda amaran awal.
Sering kali, kita hanya nampak ia sekadar angka yang keluar di skrin mesin penilai tanpa memikirkan kesannya terhadap organ dalaman badan.
Di Malaysia sendiri, dianggarkan hampir satu daripada tiga orang dewasa sebenarnya menghidap hipertensi, tetapi malangnya ramai yang masih bebas menjalani hidup tanpa menyedari mereka sedang membawa 'silent killer' ini.
Musuh senyap ini mula merosakkan fungsi organ dalaman secara perlahan-lahan sehinggakan kita tidak menyedari jantung mereka sedang bekerja dalam tekanan yang tinggi secara berterusan.
Sempena Hari Hipertensi Sedunia, Pakar Kardiologi dan Elektrofisiologi dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Gary Lee tampil berkongsi tentang betapa pentingnya untuk kita faham tentang bahaya tekanan darah tinggi ini demi melindungi jantung.
"Jantung kita berfungsi bagai pam dan saluran darah pula menjadi laluannya untuk menghantar oksigen ke seluruh badan.
"Apabila tekanan darah sentiasa tinggi untuk tempoh yang lama, jantung terpaksa mengepam dengan lebih kuat dan bekerja keras di luar kemampuan normalnya," ujar Dr Gary.
Kongsi beliau lagi, pada peringkat awal, organ tersebut mungkin masih boleh menyesuaikan diri dengan tekanan yang tinggi itu. Namun begitu, keadaan ini sebenarnya amat berbahaya untuk jangka masa panjang.
Membentuk darah beku
Beliau menjelaskan, tekanan darah tinggi yang berterusan menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan akhirnya mengurangkan keupayaannya untuk mengepam darah dengan cekap.
"Apabila dinding ini semakin menebal, ruang untuk darah diisi menjadi semakin sempit dan jantung sendiri akan kekurangan bekalan oksigen yang cukup.
"Apa yang menakutkan, perubahan struktur jantung ini boleh berlaku tanpa sebarang simptom dan biasanya hanya boleh dikesan melalui ujian ekokardiogram oleh doktor pakar," jelas Dr Gary.
Ramai pesakit hanya menyedari kerosakan ini apabila keadaan sudah terlambat kerana badan kita masih mampu bertahan pada peringkat awal.
Tanda-tanda seperti sakit dada, sesak nafas, pening, atau jantung berdegup laju sering kali kita abaikan dan dianggap sekadar penat bekerja atau masalah angin dalam badan.
Selain merosakkan jantung, hipertensi juga berkait rapat dengan masalah irama jantung seperti fibrilasi atrium yang boleh membentuk darah beku dan meningkatkan risiko komplikasi seperti strok.
Lebih membimbangkan, trend penyakit itu kini mula menyerang golongan muda di negara ini akibat faktor gaya hidup moden yang tidak sihat, tekanan kerja, kurang tidur, kurang bersenam serta tabiat merokok dan pemakanan yang tinggi garam.
Dr Gary mendedahkan realiti ini berdasarkan pengalaman beliau sendiri di hospital.
"Walau bagaimanapun, keadaan ini masih boleh diubah sekiranya kita melakukan saringan kesihatan lebih awal terutamanya apabila usia sudah mencecah 20-an.
"Pengesanan awal membolehkan pengurusan kesihatan dilakukan dengan lebih baik melalui ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup yang betul, sekali gus membantu membantu mengurangkan risiko komplikasi lanjut
"Lebih awal anda mengesan keadaan tekanan darah tinggi, lebih tinggi peluang untuk melindungi jantung anda," katanya lagi.