SEMPENA cuti sekolah tak lama lagi, pasti ramai para ibu bapa sudah merancang untuk berlibur sakan bersama anak-anak.
Tak perlu pergi jauh untuk berendam di dalam kolam luas dan bermain gelongsor gergasi jika di The Curve, Mutiara Damansara, Selangor miliki sesuatu yang wajib dicuba.
Keunikan Slide The Curve yang julung kali dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-20 pusat membeli-belah terkemuka itu menarik perhatian ramai.
Mana tidaknya, gelongsor air gergasi (dewasa) dengan dua slide kecil untuk kanak-kanak, selain kolam renang mudah alih boleh memberi keterujaan buat si kecil.
Ketua Pegawai Operasi Boustead Properties Berhad the Curve, Jazmi Kamarudin berkata, pihaknya teruja dengan sambutan yang diberikan dan menyasarkan lebih 10,000 pengunjung untuk tempoh 20 hari.
"The Curve sudah terkenal sebagai pusat tumpuan gaya hidup selain menghimpunkan pelbagai jenis makanan yang pasti membuatkan ramai rambang mata.
"Justeru, tambahan kelainan Slide The Curve diharapkan dapat meramaikan lagi pengunjung sempena cuti sekolah tidak lama lagi,” katanya kepada SinarPlus.
Selain Slide The Curve, tinjauan SinarPlus mendapati, terdapat tarikan berkonsepkan gelongsor gergasi yang lebih kurang sama menjadi pilihan ramai untuk beriadah.
Pasangan adik-beradik kembar iaitu Muhammad Amin dan Muhammad Abid bersama Che Sayang Kitchen telah menterjemahkan jiwa patriotik mereka kepada sebuah kek.
Berikut empat lagi pilihan destinasi yang boleh kalian pertimbangkan untuk percutian singkat bersama si kecil:
1. Taman Tema Escape Pulau Pinang
- Gelongsor air gergasi sepanjang 1.140 kilometer mencatatkan sejarahnya tersendiri dengan pengiktirafan Guinness World Record.
- Water slide yang dibina dengan kos RM5 juta itu dibuka kepada orang awam bermula pertengahan Oktober 2019.
2. Adventure Waterpark Desaru Coast
- Uji keberanian dengan The Tempest, terowong gergasi seluas 16.7 meter (m) dengan ketinggian 7.32m, selain Kraken's Revenge Watercoaster dengan terjunan setinggi 27m.
- Jangan lepaskan peluang untuk bermain ombak di Pantai Tidal Wave yang juga dikenali sebagai salah satu kolam ombak terbesar di Asia Tenggara!
3. Lost World of Tambun
- Uniknya kawasan taman tema air dikelilingi hutan tropika, mata air panas semula jadi, bukit batu kapur berusia 400 juta tahun dan 88 tarikan dari 10 taman yang menakjubkan.
- Cliff Racer antara tarikan wajib dicuba untuk mereka yang mahukan cabaran gelongsor air.
4. Splash Out Langkawi
- Taman air pertama di Pulau Lagenda seluas 4 hektar dengan 12 tarikan seperti Wild Water, Sprinkle Island, River of Life, Ragin' Racers, Splash Twister, Poseidon's Revenge, Perfect Storm, Splash-Tacular, Shipwreck Falls, Rainbow Rider, Splash-Python dan Big Splash Kingdom.
- Rasai lonjakan adrenalin di Perfect Storm, perjalanan mengujakan berbentuk corong parabola 40 darjah di atas rakit!
Ayuh, apa tunggu lagi? Banyak lagi tempat yang menawarkan kemudahan slide gergasi yang boleh kalian kunjungi dengan bajet sesuai. Selamat berlibur!