HASRAT murni Muhammad Shakir Zufayri Md Rafiqul yang mahu menyenangkan hidup kedua-dua ibu bapanya hingga akhir hayat tidak kesampaian apabila ditimpa musibah penyakit yang tak disangka-sangka.
Pemuda berusia 22 tahun itu disahkan menghidap kanser leukemia limfoblastik akut (ALL) pada Februari tahun lalu, sekali gus mengubah 360 darjah hidupnya.
Kepada SinarPlus, Muhammad Shakir Zufayri atau mesra disapa Shakir itu memberitahu, dunianya sudah tidak seperti dahulu apabila terlantar sakit dan memerlukan bantuan untuk bergerak.
"Saya baru saja discaj dari hospital disebabkan masalah itu. Kini, saya perlukan rehat sebelum rawatan susulan setiap dua minggu,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Ampang, Kuala Lumpur.
Saat ditanya bagaimana penyakit tersebut dikesan? Anak sulung daripada tiga beradik itu sebenarnya tidak menduga demam yang datang dan pergi, selain gusi kerap berdarah rupa-rupanya satu petanda buruk.
"Sepanjang saya hidup, tak pernah sakit macam itu sekali sehingga satu hari saya tak boleh bangun langsung. Rasa pening sangat-sangat dan tak boleh bernafas,” katanya yang kemudian terus dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur.
Shakir ditempatkan di zon kritikal sebelum dibawa ke unit rawatan rapi selepas ujian darah menunjukkan sel darah putih terlalu tinggi dan memerlukan bantuan pernafasan.
Hasil ujian biopsi sumsum tulang yang dilakukan doktor pakar cukup memeranjatkan apabila lelaki itu disahkan menghidap kanser darah sebelum dipindahkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
"Memang niat saya sebagai anak sulung, nak bantu keluarga sebab adik-adik masih belajar, namun tak sangka jadi begini,” kata Shakir yang kini menetap di rumah sewa bersama keluarga di Setapak, Kuala Lumpur.Bantuan
Bersembang dengan pemuda cekal itu merungkaikan satu lagi kisah sedih apabila ayahnya, Md Rafiqul Abu Talib, 50, tidak mampu bekerja selepas diserang strok separuh badan.
Ibunya, Marliana Mohd Kassim, 47, pula menghidap sakit buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu.
"Cuma sekarang ini, saya perlu pantau sel darah putih setiap dua minggu sekali dan makan ubat bagi menstabilkan sel tersebut sepanjang hayat,” katanya kepada penulis.
Hilang punca pendapatan membuatkan anak jati Kuala Lumpur itu buntu memikirkan kos rawatan yang perlu ditanggung, sementelah duit simpanan semakin susut.
"Pada masa sama, adik yang bongsu terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai makan, manakala seorang lagi adik sanggup buat Grab ketika cuti semester untuk tanggung kos termasuk sewa rumah RM1,400 sebulan,” ceritanya dengan nada sebak.
Meski menerima bantuan Baitulmal untuk meringankan beban rawatan ibunya, namun Shakir akui, ia masih belum cukup untuk menampung keperluan perubatan lain yang masih ditanggung.
"Hanya ALLAH sahaja yang dapat membalas jasa semua,” katanya menutup perbualan.Orang ramai yang prihatin, sumbangan dana boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 014132428284 atas nama Muhammad Shakir Zufayri Bin Md Rafiqul.