PILU! Pemergian wanita di Paya Terubong, George Town pada malam Ahad meruntun hati.
Lebih menyayat perasaan wanita berusia 37 tahun itu ditemui meninggal dunia di tempat duduk pemandu dalam sebuah kereta berkunci yang dipenuhi pelbagai barangan di sebuah stesen minyak!
Memetik Sinar Harian, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem MERS 999 pada jam 7.48 malam untuk membantu membuka pintu kereta yang terkunci.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dan tiba pada jam 8.03 malam.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja membuka pintu kereta jenis Perodua Myvi menggunakan peralatan khas dan mendapati seorang wanita tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Jelasnya, jasad mangsa berusia 37 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi menyelamat itu diketuai oleh seorang komander dan melibatkan lapan anggota termasuk seorang penyelia. Tiada pegawai kanan lain dilaporkan hadir di lokasi.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.43 malam selepas anggota bomba memastikan tiada kemudaratan lain di kawasan kejadian,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, operasi turut melibatkan satu jentera LFRT P1-09 PTG dan satu EMRS PTG P2-03 dengan bantuan agensi luar iaitu PDRM serta KKM.
Sumber: Sinar Harian