PERJALANAN seni anak muda bernama Ismail Izzani ini bermula pada tahun 2017.
Tatkala rakan seusianya sibuk menelaah pelajaran, beliau sudah membuka lembaran kerjaya sebagai penyanyi seawal usia 16 tahun.
Kemunculannya menerusi lagu Sabar mengundang perhatian ramai terutama anak-anak remaja.
Pejam celik, kini sudah memasuki sembilan tahun jejaka tinggi lampai itu bertapak dalam platform seni dengan mencanai portfolio sebagai penyanyi dan pelakon.
Namun, di sebalik kemasyuran dan glamor yang beliau kecapi, terpalit juga beberapa kontroversi yang sedikit sebanyak ‘mencacatkan’ perjalanan beliau dalam industri hiburan.
Apabila tuan punya badan memilih untuk menyepikan diri, kehilangannya dari radar seni selama dua tahun bagaimanapun dilihat seolah-olah mahu mengejukkan suasana yang tengah ‘panas’.
Ditebak akan persoalan tersebut, ini jawapan daripada pemilik nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri.
"Sepanjang dua tahun itu, saya cuba cipta momen indah bersama keluarga. Manakan tidak, bila diimbas kembali, rupa-rupanya sepanjang menjadi anak seni, masa saya banyak dihabiskan untuk menaikkan karier seawal usia 16 tahun dan keluar album single ketika umur 17 tahun.
"Sementelah, waktu itu, saya memilih untuk tinggal sendiri kerana buat studio di rumah. Justeru, saya tidak mahu mama atau ahli keluarga lain terganggu,” ujar anak jati Ampang, Selangor itu lagi.
Meneruskan perbualan, Ismail memberitahu, kehadiran anak saudara berjaya mengubah diari hidupnya.
"Saya bimbang nanti si kecil yang juga anak kakak saya itu tidak kenal pula siapa bapa saudaranya. Jadi, itu yang membuatkan saya memilih untuk meluangkan masa dengan keluarga.
"Pada masa sama, saya berbincang dengan pihak pengurusan memandangkan waktu itu kontrak dengan produksi lama sudah tamat,” ujar beliau yang kini bernaung di bawah syarikat Def Jam.
Sekadar makluman, Ismail merupakan anak kepada Datin Suliza Salam yang merupakan seorang penyanyi era 1980-an.
Hasil perkongsian hidup bersama Datuk Zainal Nazeri Zainuddin yang merupakan ahli perniagaan pada 11 Januari 1991, pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Pun demikian, jodoh pasangan tersebut tidak panjang apabila mereka mengambil keputusan untuk bercerai.
Waris lelaki
Akui anak bongsu yang juga satu-satunya waris lelaki dalam keluarga, selepas lebih dua tahun ibu bapanya memilih untuk berpisah, apa yang terjadi antara orang tuanya itu sedikit sebanyak memberi kesan pada dirinya.
"Sebagai anak, saya hormat dengan pilihan mereka walaupun nun jauh di sudut hati, saya sedih, namun sebagai seorang yang sudah dewasa, saya tidak boleh terlalu beremosi.
"Sementelah saya lelaki tunggal dalam keluarga. Justeru, saya bertanggungjawab melindungi dan memberi sokongan kepada ibu dan kakak-kakak saya.
"Cuma mungkin saya akan merindui momen seisi keluarga berkumpul lebih-lebih lagi dengan suasana raya,” ujarnya yang mengakui awalnya enggan berkongsi perihal tersebut dengan orang luar kerana menganggap ia terlalu privasi.
Pun begitu kata beliau, asalkan mamanya gembira, selamat dan boleh buat macam-macam benda yang dirinya mahu buat, sebagai anak, Ismail memberi sokongan tidak berbelah bagi.
Apatah lagi, beliau cukup rapat dengan mamanya itu dan menganggap wanita tersebut cinta hati dan cukup teristimewa pada dirinya. Bahkan, apabila ada yang mengatakan dirinya anak emak, beliau sedikit pun tidak menyangkal.
"Ya, saya memang anak emak. Mama bukan sahaja sumber inspirasi, bahkan segala-galanya buat saya. Bila mereka (ibu bapa) memilih untuk bercerai, memang berat dan sukar untuk terima, tetapi saya mengaku, apa yang berlaku ada alasannya.
"Cuma saya masih mencari apa alasan tersebut dan mungkin juga saya sudah dapat jawapan, cuma tak perasan atau terlepas pandang.
"Jadi, saya cuba mengisi 'kotak kosong' yang saya terlepas pandang itu. Contohnya, sebelum ini saya selalu cakap, mama memang sentiasa ada dengan saya dan sebagainya, tetapi pada masa sama, saya juga kena luangkan masa dengan bapa selain kawan-kawan dan sebagainya.
"Sebab itu, kini, saya cuba kehidupan yang lebih sihat dengan aktif ke gim, jogging, sertai maraton, berbasikal dan berada di sekeliling mereka yang positif,” ujarnya lagi.
Dalam kesempatan itu, SinarPlus turut mengajukan pertanyaan perihal jodoh kepada pemuda berusia 24 tahun itu.
Sambil ketawa kecil, Ismail mengakui belum memikirkan hal tersebut kerana mahu memberi fokus sepenuhnya kepada mengembangkan kerjaya seninya.
"Saya rasa perjalanan (perkahwinan) itu masih jauh lagi. Lagipun, sebelum ini saya terlepas pandang terutama tidak fokus diri sendiri.
"Memang sekarang kalau diikutkan penuh dengan keseronokan kerana masih muda, namun makin lama usia makin bertambah. Jadi, berbanding lepak sana sini, baik saya mahu habiskan masa bersama keluarga,” ulas beliau lagi.
Iman cinta hati
Tutup bicara akan sisi peribadinya, perbualan kami kemudiannya menjurus kepada perkembangan kerjayanya.
Selain mama yang menjadi cinta hatinya, kemunculan wanita bernama Iman menjadi tanda tanya.
Jangan salah sangka, itu bukan teman wanita atau bakal suri dalam hidupnya.
Untuk makluman, Iman adalah naskhah terbaharu hasil karya penyanyi rap terkenal Joe Flizzow bersama SonaOne, Alexender Oghenetejiri dan Deekid.
Dedah Ismail, Iman merupakan naratif tentang seorang wanita yang memikat hati seorang pemuda.
"Lagu Iman ini membawa erti yang cukup besar dan peribadi untuk diri saya. Selain memberi nafas segar, ia juga memberi vibe yang berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Ia juga menceritakan tentang cinta yang mendalam serta keinginan untuk memperbaiki diri akibat kesilapan masa lalu.
"Malah, lirik lagu ini juga ditulis dengan penuh simbolik dan makna yang tersirat. Justeru, terpulang kepada pendengar untuk mentafsirkannya.
"Lagipun tak selamanya tampil dengan lagu berentak R&B dan hip hop. Seiring dengan pertambahan usia, saya mahu meneroka dunia baharu,” ungkap pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta itu lagi.
Empunya diri juga turut mengakui tidak mahu sekadar menjadi penyanyi semata-mata, sebaliknya, beliau memasang impian untuk terbang lebih jauh.
Sokongan padu peminat antara penanda aras untuk beliau terus memberikan yang terbaik.
"Sebelum ini, memang pernah terdetik di hati sampai bila saya nak hiburkan dan hasilkan lagu, kan? Namun, sokongan peminat membangkitkan aura dan semangat.
"Malah, salah satu alasan yang membuatkan saya gembira adalah apabila melihat ramai yang enjoy dengan persembahan saya. Sebab itu saya tidak meletak limit sampai bila akan berada dalam industri ini dan memilih untuk fokus lebih kepada menyanyi berbanding berlakon,” ujarnya.
Ismail berkongsi hal itu ketika ditemui pada majlis bersama peminat di Undefeated, The Exchange baru-baru ini.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut mengambil peluang beramah mesra bersama peminatnya. Mereka yang hadir berpeluang menerima poster ditandatangani secara eksklusif oleh penyanyi itu sendiri.