SESETENGAH orang mungkin pernah mengalami ruam pada kulit akibat peluh berpanjangan terutama ketika cuaca panas.
Situasi tersebut menyebabkan kulit menjadi semakin gatal dan menimbulkan ketidakselesaan.
Ruam panas atau dikenali sebagai ruam miang atau miliaria sering berlaku kepada bayi seawal usia sebulan. Malah, ia juga boleh terjadi kepada orang dewasa terutama dalam keadaan atau cuaca panas dan lembap seperti di Malaysia.
Menurut Pakar Estetik Radiant Clinique, Dr Syairah Nadia Mohamad, keadaan itu terjadi apabila kelenjar peluh tersumbat atau mengalami keradangan menyebabkan peluh terperangkap di bawah kulit. Ia akan menyebabkan ruam merah dan kegatalan.
"Ruam panas ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja termasuklah orang dewasa. Namun, situasi tersebut kerap berlaku kepada bayi yang baru lahir disebabkan kelenjar peluh mereka yang tidak matang lagi.
"Oleh sebab itu, si kecil sering mengalami ruam panas terutama di bahagian leher, bahu dan dada. Ia juga boleh muncul di ketiak, lipatan siku dan kawasan celah paha," ujarnya.
Kongsi pakar itu lagi, orang dewasa pula biasanya mengalami ruam panas di lipatan kulit dan di tempat pakaian bergesel dengan kulit.
Tambah Dr Syairah, situasi lain yang turut menyumbang kepada berlakunya masalah tersebut adalah apabila pergi bercuti di tempat yang mengalami cuaca panas.
Contohnya, pelancong luar yang pertama kali merasai perubahan cuaca di Malaysia kawasan beriklim tropika yang panas. Keadaan itu membuatkan mereka berpeluh dengan banyak dan menimbulkan masalah ruam panas.
Selain itu, individu yang melakukan aktiviti senaman tanpa memakai pakaian serap peluh atau pesakit terbaring di hospital dalam tempoh lama dengan lapik kalis air.
Keadaan sedemikian membuatkan peluh tersumbat dan akhirnya menyebabkan berlakunya ruam panas.
Tidak kurang juga berlaku kepada mereka yang mengalami demam. Ini kerana apabila seseorang itu tidak sihat, badan akan menghasilkan lebih banyak peluh, sekali gus menyebabkan risiko mendapat ruam panas.
Jenis-jenis ruam panas diklasifikasikan kepada ciri-ciri atau simptom seperti berikut, antaranya:
Miliaria kristal - Ruam panas yang paling ringan. Ia berlaku apabila kelenjar peluh tersumbat. Ruam jenis ini selalunya menghasilkan benjolan kecil, jernih, dipenuhi cecair dan mudah pecah.
Miliaria rubra - Berlaku lebih dalam di bahagian lapisan kulit. Kadangkala dipanggil ruam miang. Tanda dan gejalanya termasuk benjolan kecil yang meradang seperti lepuh dan gatal atau rasa miang di kawasan terjejas.
Miliaria pustulosa - Benjolan yang meradang akibat miliaria rubra akan diisi dengan nanah.
Miliaria profunda - Satu bentuk ruam panas yang jarang berlaku. Ia menjejaskan lapisan kulit paling dalam (dermis). Ia menyebabkan benjolan meradang yang keras, sakit atau gatal dan mungkin pecah.
Jangkitan sekunderAntara keempat-empat jenis ruam berkenaan, miliaria rubra adalah jenis yang paling kerap berlaku.
"Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan memastikan anda berada dalam bilik yang sejuk seperti menggunakan penyaman udara atau elakkan tempat terlalu panas yang boleh menyebabkan berpeluh.
"Pilih pakaian daripada bahan jenis kapas yang memberikan pengudaraan lebih baik. Elak memakai pakaian ketat," ujarnya.
Selain itu, dari segi penjagaan, doktor akan nasihatkan untuk menggunakan sabun mandi yang lembut, tidak kasar dan tidak mengeringkan kulit.
"Jika cuaca sangat panas, sudah tentu kita boleh mandi dengan air sejuk untuk menyejukkan kulit dan mengurangkan rasa panas serta peluh," ulas beliau.
Namun begitu, ada sesetengah kes yang memerlukan perhatian perubatan seperti ruam panas menjadi sangat teruk, merah atau gatal, doktor akan memberikan ubat kepada pesakit. Contohnya, krim dan ubat makan untuk mengurangkan gatal dan keradangan.
"Bagi mereka yang terkena ruam panas, ada risiko untuk mengalami jangkitan sekunder atau jangkitan kuman pada kulit.
"Jika keadaan ini berlaku dan doktor mendapati ada jangkitan sekunder, mereka akan merawatnya dengan antibiotik.
"Oleh itu, jika ruam panas tersebut tidak sembuh atau tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan, ambil langkah segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," ujar beliau lagi.
Mungkin ada ibu bapa yang khuatir dengan keadaan bayi mengalami masalah bintik-bintik merah timbul dan menganggapnya sebagai ekzema, namun rupa-rupanya ruam panas yang akan hilang dalam tempoh satu bulan pertama apabila kelenjar peluh sudah matang.
Nasihat pakar itu lagi, ibu bapa perlu elak memakaikan bayi dengan pakaian tidak sesuai atau tinggal di tempat yang panas sehingga menyebabkan si manja berpeluh dengan banyak.
Situasi tersebut boleh mengundang masalah ruam berulang lagi.