BAGI segelintir wanita, masa ke salon sering dianggap sebagai “me time” yang paling ditunggu.
Di situlah ruang untuk berehat seketika daripada rutin harian, memanjakan diri dan keluar dengan rasa lebih yakin.
Berbeza pula buat wanita Muslimah, pengalaman ke salon bukan sekadar soal kecantikan, tetapi turut melibatkan privasi, keselesaan dan pematuhan kepada nilai yang dipegang.
Memahami keperluan ini, Hairkunst tampil dengan satu konsep eksklusif menerusi pembukaan Hairkunst Hijabis Luxe di Bandar Baru Bangi.
Hairkunst, jenama salon profesional yang semakin kukuh namanya dalam industri kecantikan, melakar satu lagi pencapaian penting dengan memperkenalkan salon khusus untuk wanita Muslimah yang menepati standard premium dan patuh syariah.
Pembukaan cawangan ini bukan sahaja memperluaskan empayar Hairkunst, malah mencerminkan kesungguhan jenama ini dalam menyantuni gaya hidup wanita moden yang mementingkan keseimbangan antara penampilan dan pegangan agama.
Menurut Pengasas Bersama Hairkunst, En. Bambang Soteto, idea penubuhan Hairkunst Hijabis Luxe lahir daripada kesedaran terhadap realiti yang dihadapi wanita Muslimah hari ini.
Masih ramai yang terpaksa berkompromi antara keinginan menjaga penampilan dan keperluan menjaga aurat.
Justeru, salon ini diwujudkan sebagai satu solusi menyeluruh dengan menyediakan ruang rawatan rambut yang tertutup sepenuhnya, selesa dan eksklusif untuk wanita sahaja.
Konsep privasi dan keselesaan ini turut diperkukuhkan dengan pemilihan produk yang teliti. Menurut rakan kongsi Hairkunst, Puan Yuskiahniza Md Yusof, sehingga 95 peratus produk yang digunakan di Hairkunst Hijabis Luxe adalah berasaskan vegan.
Antaranya termasuk pewarna rambut vegan telus air, rawatan rambut organik, keratin, rebonding serta rawatan kulit kepala.
Setiap produk dan prosedur dinilai bukan sahaja dari aspek keselamatan dan keberkesanan, malah kesesuaiannya dengan keperluan ibadah Muslimah.
Bagi memastikan pengalaman pelanggan setaraf salon antarabangsa, Hairkunst Hijabis Luxe turut menggunakan peralatan profesional berjenama seperti Dyson dan GHD.
Dari sudut susun atur, salon ini tampil dengan rekaan eksklusif yang merangkumi ruang VIP, VIP manicure dan pedicure, perkhidmatan valet serta ruang menunggu khas untuk suami dan ahli keluarga yang direka berkonsepkan ‘glass house’.
Pendekatan tersebut menjadikan kunjungan ke salon lebih teratur, selesa dan mesra keluarga.
Dari segi pelaburan, hampir RM700,000 diperuntukkan bagi merealisasikan pembukaan Hairkunst Hijabis Luxe.
Kos ini merangkumi reka bentuk dalaman tertutup dan patuh syariah, kelengkapan profesional bertaraf premium, pemilihan produk vegan berkualiti tinggi serta pembangunan sistem operasi yang menyokong pengalaman pelanggan eksklusif.
Di sebalik pembukaan salon ini, Hairkunst turut berdepan cabaran tersendiri. Antaranya termasuk kos pelaburan awal yang tinggi.
Ini bagi memastikan setiap ruang memenuhi keperluan privasi dan keselesaan, selain keperluan melatih serta mengekalkan tenaga kerja wanita yang mahir, profesional dan memahami adab serta nilai salon muslimah.
Cabaran lain adalah mendidik pasaran agar memahami nilai sebenar salon muslimah premium yang bukan sekadar berasaskan harga, tetapi turut menitikberatkan keselamatan aurat, ketenangan suasana, servis peribadi dan kualiti produk.
Pemilihan Bandar Baru Bangi sebagai lokasi cawangan kedua dilihat sangat strategik, selari dengan identitinya sebagai Bandar Ilmu yang dihuni majoriti komuniti Muslim, golongan profesional dan keluarga berpendidikan yang mementingkan penjagaan diri serta gaya hidup berkualiti.
Pembukaan Hairkunst Hijabis Luxe bukan sekadar peluasan perniagaan, sebaliknya satu langkah menetapkan penanda aras baharu dalam industri salon muslimah di Malaysia, seiring perubahan gaya hidup wanita Muslimah yang semakin yakin, moden dan berprinsip.