TEMU bual SinarPlus bersama pelantun lagu Elegi Sepi itu berlangsung ketika beliau menghadiri satu majlis baru-baru ini.
Awalnya, penulis sudah dinasihatkan supaya tidak terlalu bertanyakan mengenai kisah penyakit kansernya. Bimbang beliau tidak dapat menahan emosi sedih.
Justeru, perbualan kami berlangsung dalam suasana santai sambil bergelak ketawa tentang hal anak-anaknya. Pun begitu, dek perasaan ingin tahu yang mendesak, penulis memberanikan diri bertanyakan mengenai penyakit yang dideritainya itu.
Nyata Azharina atau mesra disapa Nina seorang yang cukup kental dan tabah orangnya.
Biarpun di bibir menguntum senyuman, namun di hati siapa yang tahu. Perasaan takut, bimbang dan pelbagai rasa pasti ada, sementelah beliau diduga dengan penyakit yang digeruni ramai.
"Saya antara yang suka melakukan pemeriksaan kesihatan, tetapi ada masanya terbabas juga kerana sibuk dengan kerja. Tahun lepas, laporan untuk pemeriksaan kesihatan kurang memuaskan, tetapi saya tak mahu stres. Sehinggalah saya mengalami pendarahan tanpa henti selama tiga bulan.
"Bimbang dengan situasi tersebut, saya terus jumpa doktor memandangkan situasi makin teruk. Tenaga saya pun semakin merosot sehinggakan terpaksa mengambil vitamin. Selepas membuat pemeriksaan teliti, doktor sahkan saya menghidap kanser rahim tahap dua,” dedahnya dengan nada sebak.
Berita duka disahkan menghidap kanser rahim tersebut menjadi titik perubahan dalam diri anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu. Tiada kata-kata yang mampu diluahkan tuan punya badan.
"Bila didiagnos penyakit kanser, saya jadi hilang kata-kata. Tiga empat hari juga mendiamkan diri dan pada masa sama, saya merahsiakan penyakit tersebut dari pengetahuan ramai termasuklah keluarga dan anak-anak.
"Waima pengurus yang sudah 23 tahun dengan saya pun tidak tahu tentang hal tersebut. Sehinggalah saya melakukan pemeriksaan menyeluruh dan orang pertama yang saya beritahu adalah Ani (pengurus).
"Pun begitu sehingga ke hari ini, tiada pendedahan (penyakit) kepada keluarga termasuklah anak-anak. Mujurlah persekitaran sekolah anak-anak yang tidak banyak bercerita mengenai hal itu membuatkan mereka tidak tahu,” ujarnya yang enggan membebani keluarga dengan kisah duka tersebut.
Jadi petani di kampung
Berkongsi lanjut akan kondisi dirinya, selain kanser rahim, Nina juga mempunyai penyakit kronik lain.
"Saya membesar dalam keluarga yang ada sejarah kanser, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, jantung dan segala-galanya. Itu (penyakit) ibarat 'anugerah terindah' dan saya biasa lihat situasi tersebut pada arwah datuk, nenek dan ayah.
"Alhamdulillah, penyakit kanser saya masih peringkat awal dan walaupun begitu masih lagi perlukan rawatan susulan. Saya bersyukur kerana dapat kesan awal dan boleh bersedia untuk merawat.
Tambah beliau lagi, setiap orang kondisi diri berbeza-beza. Justeru, kena banyak membaca dan belajar terutama yang membabitkan hal-hal kesihatan diri.
"Sebab itu saya perlu menitikberatkan soal pengambilan makanan. Sebab itu saya mengamalkan minum jus. Setiap pagi saya ambil jus lobak, beri biru, epal hijau dan sebagainya.
"Memandangkan saya lahir daripada kampung, jadi sudah biasa bertani dan tanam sendiri sayur, saya tak kisah jadi petani demi kesihatan diri. Lagipun arwah nenek saya orang kampung jadi, bab-bab menjadi petani bukanlah perkara asing buat diri ini,”ujarnya.
Biarpun diri dirundung duka namun, beliau tidak mahu nampak lemah. Berkali-kali sesi temu bual terhenti seketika apabila empunya diri tidak mampu dapat menahan tangis.
"Semua orang tahu karakter saya yang suka bercakap, kan? Cuma entah kenapa air mata saya hari ini macam ‘bocor’ dan menjadi sedikit emosi. Saya minta maaf.
"Walaupun suka berkongsi perkembangan diri, namun bab sakit ini saya tak mahu tunjuk, bimbang dikata ingin menagih simpati. Cuma selepas didiagnos penyakit kanser, saya terpanggil untuk berkongsi kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.
"Saya mahu wanita di luar sana, buat pemeriksaan kesihatan walaupun betapa benci atau tak sukanya untuk berbuat demikian, jangan ambil mudah hal-hal begini sebab apabila kita dapat kesan awal, mudah untuk mengubati, kan,” ujarnya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut menitipkan ucapan terima kasih dan melahirkan rasa syukur kerana ramai yang mendoakannya selain berkongsi tip dan nasihat dalam menjaga kesihatan.
"Saya bersyukur penyakit ini banyak bawa perubahan. Kalau dahulu hidup asyik bersandarkan warna hitam, namun selepas didiagnos kanser, doktor sarankan supaya ubah, warnai dunia saya keran katanya warna boleh membawa kegembiraan dan mood yang baik.
"Betul juga, kalau asyik pakai hitam macam sedih dan serius sahaja 24 jam, kan. Personaliti dan keyakinan diri saya juga semakin bertambah,” ungkap Nina lagi sambil tertawa.
Bergaya ke hospital
Dedahnya lagi, setiap kali berkunjung ke hospital untuk rawatan susulan, beliau akan berdandan seolah-olah hadir ke minggu fesyen atau membuat persembahan.
"Walaupun sekadar ke klinik untuk mendapatkan rawatan, saya tetap dengan topi, bulu, beg dan kasut yang bergaya. Saya nak gembirakan diri dan tak mahu nampak seperti orang sakit atau lemah.
"Saya perlu ambil berat akan diri sendiri dan berfikiran positif kerana ada ramai yang perlu dijaga termasuklah, ibu, anak-anak terutamanya dan juga pekerja. Malah saya tak kisah orang pandang hairan, nak pergi pasar pun nak bergaya walaupun sekadar memakai lipstik.
"Namun, ada harinya saya tidak bermaya selepas rawatan atau makan ubat. Jadi, saya pilih menonton bersama anak-anak di rumah, sambil terbaring boleh habiskan masa dengan mereka,” dedahnya yang tidak mahu membiarkan permata hidupnya itu turut berada dalam kesedihan.
Ditanya, apakah beliau hanya ‘mengizinkan’ diri untuk sentiasa gembira setiap hari, empunya diri terdiam sambil meminta izin untuk bertenang seketika sambil mengelap air mata yang tidak henti-henti menuruni pipinya.
"Bohonglah andai kata asyik ketawa sepanjang masa, kan! Jangan tipu sebab itu benda normal yang dialami oleh semua orang. Ada hari-harinya menangis juga, tetapi esoknya saya sudah kembali ceria. Begitulah saya positifkan diri untuk memastikan diri kuat dalam berhadapan dengan kanser,” ungkapnya dengan nada penuh semangat.
Peminat Salman Khan
Lebih dua dekad melayari kehidupan sebagai anak seni, juara Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu mengakui enggan membiarkan penyakit itu menjadi penghalang untuk dirinya terus menghayun langkah dalam industri nyanyian.
Pemilik nama sebenar Azharina Azhar yang menerima jolokan Queen Of Soul itu mahu terus menempa nama dalam bidang tersebut selagi suaranya ditagih peminat.
Dalam pada itu, beliau turut ditebak dengan persoalan, sampai bila mahu hidup solo sedangkan usianya baharu 38 tahun?
"Selepas 17 tahun hidup sendirian, bukan tiada keinginan mencari pengganti. Semua orang mahu hidup bahagia, kan. Namun, pada saya ia hadir dalam pelbagai cara.
"Kebahagian saya adalah anak-anak dan mereka mengisi kekosongan diri. Ditambah kerjaya yang baik dan masih menyanyi dan diterima ramai,” ujarnya.
Menyambung lagi bicara tentang sisi dirinya sebagai ibu tunggal, Nina tidak menolak andai satu hari nanti ada insan bergelar lelaki yang hadir dalam dirinya dan anak-anak.
"Kadang-kadang sunyi juga tidur sorang-sorang. Bayangkan waktu dalam sakit-sakit tu, saya terfikir alangkah bagusnya ada suami di sisi, boleh bawa pergi ke hospital atau jadi tempat meluahkan rasa.
"Saya nak cakap yang diri ini penat sangat dan tak mahu bekerja lagi. Namun saya tak boleh berbuat sedemikian. Kesian dengan mereka yang jaga saya selama ini. Sebab itu saya terpaksa bersabar dan belum masanya lagi untuk berhenti.
"Soal jodoh bukan kata tidak mencari, cuma belum bertemu dengan yang betul-betul setia. Memang ada yang kenal tapi belum bertemu jodoh. Mungkinkah jodoh saya dengan Salman Khan?" guraunya sambil disambut dengan deraian tawa.
Rupa-rupanya beliau cukup meminati aktor Bollywood tersebut.
"Saya memang minat Salman sejak kecil lagi. Pernah saya katakan pada arwah ayah, jika tidak bertemu jodoh selepas usia 40 tahun, minta dia pinangkan Salman. Nampaknya hasrat tersebut tak kesampaian sebab arwah sudah tiada,” ujarnya sebelum menutup bicara bersama penulis.