MENURUT Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), dianggarkan 3.6 juta rakyat Malaysia atau 15.6 peratus daripada populasi dewasa menghidap diabetes. Angka ini tidak termasuk mereka yang berkemungkinan menghidap diabetes.
Diabetes yang tidak dikawal boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan secara menyeluruh serta menyebabkan komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan saraf atau buah pinggang. Justeru, perubahan kecil dalam gaya hidup boleh membawa kesan besar dalam pengurusan diabetes dan kesihatan secara menyeluruh.
Oleh itu, sesuai dengan Bulan Kesedaran Diabetes, Abbott melancarkan kempen Glucerna® #StartsWithYou yang bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengurus diabetes dengan lebih baik dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengarah Perubatan Pemakanan Abbott Malaysia, Dr Nina Mazera Mohd Said berkata, kadar penyakit diabetes yang tinggi di Malaysia menunjukkan betapa pentingnya untuk memupuk kesedaran individu tentang pengurusan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat.
"Program Perubahan Gaya Hidup Glucerna® ini telah membantu ramai penghidap diabetes menguruskan tahap glukosa mereka melalui perubahan gaya hidup termasuk pemakanan seimbang dan senaman.
"Hari ini, kami berbesar hati untuk memaparkan beberapa kisah kejayaan bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk membina tabiat kesihatan yang baik," tambah beliau.
Kempen tersebut menampilkan kisah kejayaan rakyat Malaysia yang menyertai program intervensi gaya hidup iaitu Program Perubahan gaya Hidup Glucerna® (GLCP) selama empat minggu termasuk pemakanan seimbang dan senaman fizikal.
Menerusi program berkenaan., mereka diberi pendidikan mengenai pengurusan diabetes oleh para doktor dan pakar diet yang terlatih. Lebih 200 peserta telah menyertai program ini dan berjaya memperbaiki pengurusan diabetes mereka.
Menurut Ketua Unit Endokrin di Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussein, ramai rakyat Malaysia yang menghidap diabetes mempunyai masalah obesiti atau berat badan berlebihan. Oleh itu, intervensi gaya hidup yang terancang, pengurusan pemakanan dan sistem sokongan yang kukuh boleh membantu mengawal berat badan dan status kesihatan mereka.
"Pendekatan yang menyeluruh menerusi program GLCP juga membolehkan penghidap diabetes menguruskan kesihatan mereka dengan lebih baik dan secara tidak langsung memperbaiki kualiti hidup mereka," katanya.
Dalam pada itu, Pakar Perunding Diet, Indra Balaratnam, faktor pemakanan adalah sangat penting dalam pengurusan diabetes. Penghidap diabetes perlu lebih sedar akan tabiat pemakanan mereka dan membuat pilihan yang bijak. Sama ada melalui perancangan makanan, snek berkhasiat atau memasak di rumah menggunakan ramuan segar, mereka perlu mengamalkan pemakanan seimbang yang merangkumi sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, dan protein tanpa lemak," jelasnya.
Dilancarkan pada 2021, GLCP merangkumi panduan tentang pengurusan diabetes, perkongsian maklumat mengenai diet seimbang, formula pemakanan khusus diabetes, senaman serta kepentingan pemantauan glukosa secara berkala. Peserta juga berpeluang mempelajari cara menangani keletihan akibat diabetes termasuk cabaran lain yang boleh mengganggu komitmen mereka dalam mencegah penyakit tersebut.
Salah seorang yang menyertai, Ainaa Munirah Pang yang merupakan seorang Chef berkongsi pengalamannya mencapai tahap glukosa yang sihat dengan bantuan GLPC.
Ainaa menerima diagnosis diabetes jenis 2 pada usia 27 tahun dan menghadapi cabaran untuk mematuhi rejim yang sihat dan konsisten disebabkan pemakanan yang tidak sihat di tempat kerja.
Program itu katanya membantu ke arah kesihatan yang lebih baik dengan sokongan daripada peserta lain yang sehaluan, serta perkongsian matlamat, cabaran dan sumber untuk membantu menguruskan diabetes mereka.
"Penyertaan saya dalam program ini adalah satu perubahan hidup kepada saya.
''Bukan sekadar mengawal paras glukosa, tetapi saya juga menerima sokongan dalam komuniti serta mampu membuat perubahan kecil yang memberi impak besar," kata Aina.