BUKAN mudah untuk melihat sendiri aktiviti pelepasan anak penyu terus ke laut. Jika anda berpeluang menontonnya secara langsung, memang satu bonus!
Boleh jadi itu antara kelebihan buat Villa Bari Loft yang terletak di Lot 486, Kampung Telaga Putat, Terengganu kerana penginapan unik tersebut berhampiran Pantai Telaga Papan yang menjadi persinggahan penyu untuk bertelur.
Menariknya, pantai privasi di hadapan kawasan vila seluas 1.2 hektar tersebut menjadi pusat pemuliharaan penyu menjelang bulan April hingga September setiap tahun.
Pengasas Villa Bari Loft, Rizalmin Ibni berkata, aktiviti melihat anak penyu yang dilepaskan ke laut menjadi pakej laku keras buat pengunjung yang datang berlibur ke Terengganu.
"Tak perlu pergi jauh, hanya jalan kaki saja dan anda boleh lihat kawasan pantai yang digazetkan untuk pemeliharaan penyu di bawah pemantauan WWF Malaysia.
"Sebab itu kawasan ini kena tutup lampu supaya tak mengganggu habitat penyu untuk bertelur. Paling seronok, sudah tentu kanak-kanak sebab dapat lihat anak penyu secara langsung,” katanya kepada SinarPlus.
Berkongsi keunikan penginapan yang menerapkan nilai seni bina Nusantara dan Malaysia itu, anak jati Pahang berkenaan percaya setiap elemen lain daripada lain mampu memikat jiwa pengunjung.
"Rumah Sasak Lombok, misalnya merupakan rumah tradisional suku Sasak di Pulau Lombok dengan reka bentuk unik, dengan bumbungnya dibuat daripada jerami dan rumput alang-alang.
#sinarplus #idzhamismail #sinarplus #lifestylesinarharian
"Kami menyediakan dua unit untuk Rumah Sasak Lombok dan setiap dekorasi dalaman dibawa khas dari Indonesia khususnya Lombok serta Bali,” ceritanya yang menawarkan 15 jenis kamar secara keseluruhan.
Unit banglo lengkap kolam renang privasi antara opsyen paling laris, selain enam unit semi-D dengan jakuzi sendiri, empat unit teres lengkap tab mandi dan dua unit glamping.
Idea percutian
Tatkala ditanya bagaimana idea percutian itu tercetus? Jurutera berusia 41 tahun itu berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat mahu mencipta destinasi percutian dengan panorama indah dan mampu disinggahi semua lapisan masyarakat.
"Mungkin sudah menjadi jiwa saya yang suka membina sesuatu dan minat melancong. Jadi pada 2019, saya cari tapak yang sesuai untuk pelaburan hartanah.
"Pada mulanya memang agak susah nak cari idea, ditambah perubahan bajet sedia ada. Sudah puas buat tinjauan dekorasi hotel seluruh negara, akhirnya tercetuslah ilham Villa Bari Loft,” ujarnya yang memulakan operasi sejak Mei 2022.
Buat mereka yang menginap di sana, set sarapan pagi bakul terapung antara keunikan ditawarkan buat mereka yang inginkan pengalaman bercuti persis di Bali, Indonesia.
Tidak hanya bermain pasir tanpa sebarang gangguan, pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti island hopping, bersnorkel dan menyelam di Pulau Redang dengan kemudahan jeti pada jarak tujuh minit sahaja.
Anda juga boleh cuba aktiviti lasak seperti bermain ATV dan menerokai Taman Negeri Setiu Wetlands.