BUKAN mudah untuk menempah nama dan kekal relevan selama 25 tahun dalam industri seni, tatkala perkara itu diajukan kepada penyanyi terkenal, Tomok, jujurnya beliau mengakui tiada sebarang tip atau rahsia.
Pun demikian, bapa kepada tiga cahaya mata itu memberikan persembahan yang terbaik dan seikhlas hati yang mungkin dan tidak menyakitkan hati orang lain.
"Bagi saya sendiri, penting kita sebagai artis untuk keluarkan lagu-lagu yang berkualiti dan terbaharu serta memberikan yang terbaik untuk kekalkan nama kita,” ujarnya.
Juara One In A Million (OIAM) musim ketiga itu ditemui penulis baru-baru ini berkongsi berita gembira buat peminatnya apabila bakal mengadakan konsert istimewa bersama penyanyi, Siti Nordiana atau Nana, sekali gus akan mengimbau kenangan silam. Konsert bertajuk Memori Mungkin Berulang itu dijadualkan pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
"Kami baru sahaja buat perbincangan awal senarai lagu, konsep dan juga beberapa perkara untuk konsert itu nanti. Mungkin ada konsep kejutan, tetapi masih dalam perbincangan awal.
"Saya percaya konsert ini bukan hanya tentang muzik, tetapi juga tentang perasaan dan kenangan yang kami ingin kongsi bersama peminat kelak,” jelas beliau.
Pada masa sama, beliau yang juga vokalis bagi New Boyz yang pernah menjadi kegilaan ramai turut berbangga dengan pencapaian kumpulan mereka selepas berjaya mengadakan konsert di negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei. Bagi beliau, bukan mudah untuk membuat konsert skala besar di Kota Singa itu sehingga mendapat sambutan cukup baik.
Selepas kejayaan konsert 25th Anniversary New Boyz Live in Singapore pada Oktober lalu, masing-masing bersetuju itu merupakan persembahan terakhir mereka sebelum berehat.
Malah Tomok optimis, New Boyz yang turut dianggotai oleh Lan, Jay dan Afiez (gitar), Zack (bes), Along dan Ristoe (dram) akan terus relevan dalam industri muzik serta dapat membuat kemunculan semula menerusi sokongan peminat setia.
"New Boyz tidak bubar... kami masih ada, cuma sekarang masing-masing bersetuju untuk berehat seketika. Selepas itu, kami akan kembali semula,” ujar Tomok lagi sebelum menutup perbualan mengenai kariernya.
Bicara kami seterusnya menjurus kepada kehidupan peribadinya sebagai suami dan ayah. Bak kata pepatah, manakan tumpah kuah kalau bukan ke nasi. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan situasi anak-anaknya yang bakal mengikut jejaknya.
Bagi yang mengikuti perkembangan Tomok sejak dahulu, pasti tahu beliau gemar berkongsi gelagat anak-anaknya, Arrian, Andra dan Khadijah yang sudah mula menunjukkan bakat dalam nyanyian.
Malah, beliau sebelum itu pernah mendedahkan bakat anak sulungnya yang berusia 12 tahun itu menerusi Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menerusi temu bual bersama SinarPlus baru-baru ini, pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail mengakui, tidak menghalang anak-anaknya jika mahu turut sama masuk ke bidang seni.
Kes buli
Pun demikian, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lebih mengutamakan pendidikan terlebih dahulu sebelum boleh terjun dalam dunia hiburan.
"Buat masa sekarang, saya tidaklah menggalakkan anak-anak untuk terlibat secara serius dalam bidang seni, tetapi hanya untuk suka-suka bolehlah. Mereka memang tahu saya sejak dahulu memang penyanyi. Jadi, darah seni itu tetap akan mengalir pada anak-anak. Namun, saya tetap utamakan pelajaran bagi mereka.
"Memang ada yang bertanyakan hal tersebut, sementelah penglibatan Arrian baru-baru ini dalam konsert, tetapi saya sudah tekankan, anak-anak kena utamakan pendidikan terlebih dahulu.
"Ilmu itu sangat penting. Jika mahu jadi penyanyi sekalipun, selain bakat harus ada ilmu. Ini bagi mengelakkan daripada diri kita mudah tertipu, sebab itu kita kena belajar.
"Bila sudah ada pengetahuan, terutamanya tentang muzik barulah berguna pada masa hadapan,” kata Tomok yang sentiasa seimbangkan cara didikan yang tidak terlalu garang dan lembut kepada anak-anaknya.
Alang-alang berbual mengenai anak-anaknya, penulis mengambil kesempatan bertanyakan kepada suami kesayangan Siti Rahayu Abas itu berkenaan isu buli yang dilihat tiada kesudahan ketika ini.
Sebagai anak kepada selebriti terkenal, lebih-lebih dengan kes buli semakin memburuk, apa agaknya pendekatan yang diambil oleh Tomok buat kesayangannya itu?
Kata tuan punya badan, sejak awal-awal lagi, beliau sudah berpesan kepada anak-anak, jika berlaku sebarang masalah, terus berjumpa dengan cikgu dan elak daripada mengambil keputusan atau menyelesaikan masalah tersebut secara bersendirian.
"Mereka ini masih budak, kadangkala kawan-kawan selalu cakap bukan-bukan. Kita pun sedia maklum, perangai budak-budak adakalanya tidak matang dalam buat keputusan, jadi penting untuk mereka tahu bagaimana mendapatkan bantuan. Jika ada masalah terus jumpa dengan cikgu, jangan biarkan benda ini berlarutan.
"Kalau diikutkan, zaman dahulu dengan sekarang memang berbeza, bahkan sekarang memang ada sahaja kes buli yang dilaporkan. Bukan kata dulu tiada, cuma tidaklah seteruk seperti sekarang. Justeru, kita sebagai ibu bapa kena pastikan keselamatan anak-anak dan sentiasa nasihatkan mereka supya melaporkan jika ada sebarang masalah, jangan berdiam diri,” katanya sambil mengakui tidak pernah menjadi mangsa buli.
Tanam rambut
Penulis juga turut bertanyakan pandangan Tomok mengenai isu keretakan dan pergolakan dalam rumah tangga selebriti yang banyak berlaku sejak kebelakangan.
Bagi Tomok, mustahil dalam sesebuah perhubungan suami isteri tidak berlaku pertelingkahan. Pun begitu katanya, apa yang penting bagaimana cara untuk menanganinya dengan baik.
"Suami isteri perlu banyak bertolak ansur, berbual dan berkongsi apa sahaja cerita serta masalah yang berlaku. Apapun, berbalik pada kita punya didikan dan agama. Solat sama-sama, mengaji dan rapat dengan anak-anak,” jawab Tomok.
Tambah beliau, bekerja bersama penyanyi wanita lain seperti Nana misalnya, bukan menjadi satu masalah kerana sejak awal-awal lagi sudah mendapat kepercayaan penuh daripada isterinya.
"Saya dan Nana dah lama kenal dan berkawan. Macam isteri saya, dia sangat faham kami kerja atas dasar profesional dan tanggungjawab sebagai seorang penyanyi. Paling penting saya sendiri perlu tahu batas-batas dalam pergaulan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, penulis turut menyelitkan persoalan mengenai imej beliau kini.
Jika suatu ketika dahulu, beliau yang pernah menjadi fenomena dan kegilaan wanita dengan membawa imej rambut sisir tengah pada zaman muda remaja, kini Tomok nampaknya memilih imej kepala botak.
Akui pelantun lagu Sejarah Mungkin Berulang itu lagi, beliau pernah terfikir dan teringin untuk mengubah semula imej berambut. Pun begitu, akuinya kini lebih selesa dengan imej sekarang dan mengharapkan peminat menerima imej tersebut seadanya.
Diusik dengan pertanyaan, tidakkah teringin mahu cuba rawatan tanam rambut, cepat-cepat Tomok menolak. Sambil ketawa kecil, beliau berseloroh dirinya takut dengan jarum.
Dalam pada itu, memasuki usia 40 tahun, beliau bagaimana pun bersyukur dan gembira dengan kehidupan yang ada sekarang.
Justeru, Tomok gemar berada di rumah bersama keluarga. Dedahnya, tiada lagi apa-apa yang perlu dikejar saat ini, sebaliknya hanya kekalkan apa yang ada sekarang.
"Jika kita mahukan sesuatu kena lah berusaha, kan. Namun, dalam usia sekarang, saya rasa lebih suka bersantai. Jika tiada apa-apa aktiviti, saya akan bermain bola dengan kawan-kawan.
"Itu adalah aktiviti semua individu yang bergelar ayah pada usia ini,” tambah Tomok lagi yang kini turut menjaga pemakanannya.