Wanita bujang ada potensi menopaus awal! Penting dapatkan rawatan elak undang penyakit lain

Iklan

MENOPAUS ialah fenomena biologi semula jadi yang terjadi pada wanita.

MENOPAUS ialah fenomena biologi semula jadi yang terjadi pada wanita.

Iklan
Iklan

Menurut Pakar Kesihatan Wanita & Kesihatan Seksual di Femina Clinic, Dr Vaishini Thanabalam, menopaus berlaku apabila ovari berhenti berfungsi atau mengalami pengurangan fungsinya.

Apabila ovari tidak lagi menghasilkan kitaran haid yang normal, itulah yang dipanggil sebagai menopaus.

Iklan

Hormon seperti estrogen dan progesteron memainkan peranan penting dalam menopaus, terutamanya estrogen yang akan menurun secara mendadak. Ini akan menyebabkan pelbagai simptom menopaus."Di Malaysia, wanita biasanya mencapai menopaus pada usia selepas 45 tahun dengan purata usia sekitar 50 hingga 52 tahun.

Iklan

"Jika seseorang mempunyai penyakit kronik, menopaus boleh berlaku lebih awal, iaitu sebelum usia 45 tahun dan ini disebut perimenapous,” kata beliau.

Perimenopaus ialah fasa sebelum menopaus dan boleh bermula seawal usia 40 tahun, bergantung pada individu.

Antara tujuh tanda utama yang sering dialami ialah:

  • Haid tidak teratur
  • Perubahan emosi, seperti kemurungan
  • Intoleransi panas, atau hot flashesKekeringan pada bahagian faraj yang menyebabkan gatal
  • Penurunan libido
  • Masalah tidur, seperti insomnia
  • Masalah kencing, seperti terkucil
Selain itu, terdapat juga perubahan pada fizikal yang melibatkan kulit dan rambut yang kering, peningkatan berat badan, keletihan dan rambut yang semakin menipis.

Perimenapous

Dalam pada itu, menurut Dr Vaishini, terdapat faktor yang boleh mempercepatkan menopaus sebelum waktunya.

Misalnya, remaja yang melalui akil baligh lebih awal dalam usia lapan hingga sembilan tahun, jadi proses menopaus boleh dijangka lebih awal.

"Selain itu, gaya hidup, pemakanan yang tidak sihat, tahap stres yang tidak dijaga, serta pengambilan makanan diproses atau makanan segera boleh juga mempercepatkan menopaus.

"Jika seseorang menghidap penyakit kronik, khususnya yang memerlukan pembedahan seperti pembuangan rahim atau ovari akibat kanser atau masalah haid berterusan, ini juga boleh menyebabkan perimenopaus.

"Dalam kes sebegini, ia dipanggil menopaus secara perubatan (medical menopause) atau pembedahan (surgical menopause),” ulas pakar itu lagi.

Malah, ada kajian menunjukkan wanita bujang mungkin mencapai menopaus lebih awal, walaupun perbezaannya kecil, sekitar 0.7 peratus.

"Sebagai contoh, wanita yang hidup bujang mungkin mencapai menopaus pada usia 50 tahun, manakala mereka yang mempunyai pasangan mungkin mengalaminya sekitar umur 52 tahun.

"Kehadiran pasangan dikatakan membantu mengurangkan stres dan meningkatkan keseimbangan hormon, yang dapat melambatkan menopaus,” ujar Dr Vaishini.

Sehubungan itu, bagi melambatkan proses tersebut, perubahan gaya hidup seperti diet yang sihat, mengurangkan stres dan senaman fizikal yang kerap boleh membantu.

"Sementara itu, bagi ibu yang lepas bersalin yang menyusukan anak, penyusuan dapat mengurangkan risiko kanser payudara serta mengawal paras estrogen dalam tubuh.

"Faktor lain yang boleh menyumbang ialah kawalan berat badan, diet seimbang, dan senaman berkala, yang secara amnya membantu menstabilkan hormon dan melambatkan proses menopaus,” ujar beliau lagi.

Pakar itu turut berkongsi jenis rawatan menopaus yang boleh dibahagikan kepada hormon dan bukan hormon.

"Ia bergantung kepada keperluan individu iaitu ada yang boleh bertoleransi dengan hormon dan ada juga yang lebih selesa dengan makanan tambahan semula jadi.

"Bagi mereka yang tidak ingin mengambil hormon, terdapat beberapa pilihan suplemen seperti minyak ikan omega, minyak evening primrose, dan suplemen lain di farmasi,” jelasnya.

Selain itu, Bioidentical Hormone Replacement Therapy yang lebih khusus dosnya dan juga rawatan herba yang menggunakan bahan semula jadi.

Pilihan rawatan lain termasuklah penggunaan gel pelembap atau soothing gel untuk disapu pada faraj bagi mengurangkan masalah kekeringan.

Terdapat juga rawatan laser yang boleh membantu masalah prolaps, kekeringan, terkucil atau kelonggaran tisu yang mungkin menyebabkan masalah seperti tombong atau kebocoran air kencing.

Suntikan untuk rejuvenasi vulva dan meningkatkan libido, seperti suntikan stem cell atau PRP (Platelet-Rich Plasma), turut menjadi pilihan bukan hormon.

Membuang rahim

Sementara itu, terdapat juga rawatan terapi hormon yang boleh digunakan.

Ia merangkumi estrogen sahaja atau bersama-sama dengan progestin yang mana berkesan dalam mengurangkan pelbagai simptom menopaus.

Terapi estrogen misalnya, sesuai untuk wanita tanpa rahim, manakala terapi estrogen progesteron pula digunakan untuk mereka yang mempunyai rahim.

Jika tidak sesuai dengan ubat sistemik, rawatan akan disesuaikan mengikut simptom, contohnya krim hormon untuk kekeringan faraj.

Untuk wanita berusia sekitar atau daripada umur 60 tahun, terdapat juga pilihan seperti tibolone, yang mengurangkan risiko menghidapi kanser.

Alternatif lain termasuklah gel berasaskan asid hyaluronik seperti Hyal Gel atau gel stem cell yang boleh disapu pada vulva atau faraj.

Selain itu, minyak kelapa atau minyak zaitun juga boleh digunakan sebagai pelembap sementara walaupun ia tidak menyerap ke dalam sel.

Kongsi Dr Vaishini lagi, pendekatan rawatan juga akan bergantung kepada simptom yang dihadapi pesakit.

"Jika pesakit mengalami gejala yang lebih serius seperti hot flash, kesukaran tidur, emosi yang terganggu, atau kekeringan faraj, rawatan hormon mungkin diperlukan untuk mengurangkan risiko jangka panjang seperti kanser, penyakit jantung, kolesterol tinggi, diabetes, atau osteoporosis.

"Namun begitu, rawatan dari segi ubat-ubatan hanya perlu diambil ketika fasa menopaus sahaja dan ia bergantung kepada individu yang memerlukannya selepas postmenopaus,” ungkapnya.

Malah kata pakar itu lagi, setiap peralihan fasa itu juga mengambil masa lebih kurang 10 tahun daripada perimenopaus, menopaus dan postmenopaus sehingga akhir hayat.

Selain rawatan, gaya hidup sihat yang meliputi diet seimbang, senaman berkala, dan penjagaan stres, amat penting untuk kesihatan wanita selepas menopaus.

"Jika ada perubahan pelik pada tubuh, eloklah berjumpa dengan doktor. Pemahaman yang tepat membolehkan mereka menguruskan kesihatan anda dengan lebih baik,” nasihat Dr Vaishini.

Menopaus adalah fasa yang memerlukan pemahaman dan penjagaan yang teliti bagi mengurangkan ketidakselesaan fizikal dan emosi bagi menikmati kualiti hidup yang baik.

Komuniti beri sokongan wanita menopaus

BAGI kebanyakan wanita, menopaus sering dikaitkan dengan proses penuaan yang tidak diingini.

Menurut jurulatih komuniti menopaus daripada Alias Women in Midlife, Karen Tan, yang telah melalui pengalaman sendiri, ia mengakui itu merupakan fasa yang mana seseorang wanita memerlukan sokongan, pemahaman, dan pendekatan holistik untuk menjaga kesihatan diri.

Menurut beliau, ramai yang menganggap proses tersebut hanya dialami oleh golongan berusia sahaja, sedangkan wanita seawal usia 35 tahun sudah boleh menunjukkan simptom berkenaan.

Malah, gejalanya bukan sahaja melibatkan seperti yang diketahui umu, tetapi terdapat lebih daripada itu.

"Antaranya sakit sendi, mata kering, telinga berdengung, dan rasa seperti ada serangga merayap di kulit atau yang disebut formikasi.

"Sebenarnya terdapat lebih 50 simptom menopaus telah didokumentasikan," kata wanita berusia 55 tahun itu lagi.

Dalam pada itu, Karen mengatakan wanita Asia lebih cenderung mengalami osteoporosis, sakit sendi, dan masalah ingatan. Sementara wanita bukan Asia pula sering mengalami simptom 'hot flashes' yang lebih teruk.

"Ini kerana tubuh dan makanan kita berbeza dengan orang di negara lain. Sedihnya, ramai wanita berisiko patah tulang kerana kurang kesedaran mengenai nutrisi yang perlu diambil untuk menjaga kesihatan tulang," tambah beliau lagi.

Sementelah itu, Karen juga menyentuh soal stigma segelintir wanita tentang menopaus. Ada yang memilih untuk menyembunyikan simptom mereka atau menganggapnya sebagai perkara biasa.

"Ramai berfikiran menopaus ini satu fasa yang berlalu begitu saja. Realitinya, risiko penyakit jantung, osteoporosis, dan masalah kognitif meningkat selepas menopaus," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kisah kehilangan seorang rakan yang mengalami serangan jantung pada usia 54 tahun, dipercayai berpunca daripada tekanan kerja.

Demi mengelakkan kejadian sama berlaku pada orang lain dan menyokomg wanita yang mengalami menopaus, wanita ini telah menubuhkan kumpulan sokongan berkenaan yang menyediakan maklumat secara percuma.

"Sokongan komuniti sangat penting. Kewujudan kumpulan ini menjadikan wanita dapat bersama-sama berkongsi pengalaman dan belajar tentang penjagaan diri," ulasnya.

Pada masa yang sama, beliau yang pernah menjalani pembedahan histerektomi menyarankan supaya wanita melakukan perubahan dalam diet dan gaya hidup untuk mengawal simptom menopaus.

Karen menekankan pendekatan holistik dalam menghadapi menopaus. Rawatan secara semula jadi melalui herba atau produk berasaskan tumbuhan dirasakan lebih sesuai untuk tubuh wanita.

"Setiap kilogram berat badan memerlukan 1.5 gram protein daripada tumbuhan untuk membantu mengawal rasa lapar kerana estrogen yang rendah menjadikan kita mudah berasa lapar.

"Ini menyebabkan wanita cenderung mengumpul lemak di perut yang memberi tekanan kepada jantung," katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan meditasi, senaman pernafasan dan waktu sendiri setiap hari sebagai sebahagian daripada penjagaan mental dan fizikal.

Karen yang juga pengasas produk makanan tambahan untukb masalah tersebut menggunakan ilmu tentang herba Cina untuk mengurangkan simptom-simptom seperti kulit kering, masalah ingatan dan kemurungan.

"Saya percaya sains perubahtan telah berkembang pesat dan terdapat manfaa daripada Terapi Penggantian Hormon (HRT). Namun, tidak semua wanita sesuai untuk FRT.

" Oleh itu, semakin banyak suplemen berasaskan tumbuhan yang berlandaskan Perubatan Tradisional CIna dan Perubatan Ayurveda kini diterima dan diiktiraf oleh komuniti perubatan," ujar beliau.

Mengakhiri perkongsiannya, Karen menyampaikan mesej kepada semua wanita yang menghadapi menopaus.

"Jangan hanya dengar apa yang saya atau doktor katakan. Dengarlah tubuh anda dan buat keputusan yang terbaik.”

"Anda tidak bersendirian, jutaan wanita melalui perkara yang sama dan ada bantuan untuk anda.

"Anda perlu tahu untuk menyuarakan keperluan diri. Jika kita tidak tahu masalah yang kita alami, kita tidak akan tahu cara untuk mendapatkan bantuan yang betul," pesannya.

Bagi mereka yang mahu mengikuti kelas webinar secara percuma, boleh layari laman web ini webinar percuma