PERKAHWINAN penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian dan Mahalini menjadi kontroversi apabila dikatakan tidak sah sebagai suami isteri..
Ikatan mereka diijabkabulkan pada Mei lalu diputuskan tidak sah oleh Pengadilan Agama Jakarta Selatan. gara-gara tidak penuhi salah satu rukun nikah.
Menurut portal Kapan Lagi, jurucakap Pengadilan Agama Jakarta Selatan, H Suryana berkata, wali yang menikahkan pasangan ini bukan wali yang berhak dan faktor itu menjadi sebab pihak majlis hakim mengambil keputusan tersebut.
Katanya lanjut, hasil pemeriksaan mendapati satu syarat sah atau rukun nikah tidak dipenuhi.
"Salah satunya wali yang menikahkan bukan wali yang berhak,” katanya.
Suryana juga berkata, masalah berkaitan wali itu timbul apabila Mahalini selaku mualaf yang baru memeluk agama Islam dua hari sebelum nikah tidak mempunyai wali kerana bapa kandungnya bukan beragama Islam.
"Setelah mualaf, dia nikah, automatik kerana orang tuanya bukan Muslim, di situ bererti walinya bukan orang tuanya,” katanya lagi.
Difahamkan bahawa wali yang digunakan ialah seorang ustaz dan ustaz tersebut menikahkan pasangan ini atas nama wali hakim.
Artikel berkaitan:
Terima kepingan emas sebagai mas kahwin, Mahalini sah milik Rizky Febian dengan sekali lafaz
Hal berkenaan menyebabkan pihak mahkamah memutuskan bahawa pernikahan pasangan ini tidak sah secara hukum.
Katanya lagi, Rizky Febian dan Mahalini terpaksa bernikah semula kerana tidak memenuhi rukun nikah.
Pasangan ini juga kembali dipanggil untuk mendaftarkan pernikahan mereka di Kantor Urusan Agama (KUA) setempat agar pernikahan itu disahkan dari segi agama dan negara.
Dua nama besar industri muzik itu terdahulu disatukan dalam upacara tertutup di Hotel Raffles, Jakarta Selatan pada 23 Mei lalu.
Rizky menyerahkan jongkong emas seberat 20 gram dan 24 gram serta wang tunai sebanyak 10 juta rupiah sebagai mas kahwin.
Rizky dan Mahalini atau nama penuhnya Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja binti I Gede Suraharja sebelum ini menjalinkan hubungan cinta dan mengumumkan kepada umum secara rasmi pada 7 Februari 2022.
Sumber: Tribunews