NAMA Abang Viva pasti akan disebut-sebut setiap kali berlaku bencana banjir.
Terkenal dengan misi menyelamat dan bantuan banjir, Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar menyatakan kebimbangan melihat situasi banjir di Pantai Timur yang dikatakan lebih buruk berbanding tahun 2014.
Ujarnya, beliau akan ke sana jika kos untuk ke negeri Pantai Timur mencukupi bagi memberikan bantuan untuk mangsa yang sedang memerlukan.
"Pantai Timur semakin memburuk. Adakah jadi mcam 2014? Insya-ALLAH saya akan turun ke sana jika kos mencukupi.
Jelas Azwan, beliau sedang mengumpul modal dan sukarelawan untuk sama-sama bergerak ke sana bagi misi bantuan banjir kali ini.
Beliau mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak menerusi Pertubuhan Kebajikan Abang V-Va yang dikendalikan oleh pihaknya.
"Tiada paksaan untuk mana-mana pihak. Jujurnya saya sedang mengumpulkan orang dan modal untuk ke sana.
Hantaran berkenaan menerima perhatian warga maya. Rata-rata mendoakan agar urusan Abang Viva itu dipermudah dan berharap supaya ramai yang membantu dalam bentuk wang mahupun tenaga dan masa.
Sekadar info, Abang Viva menerima kurniaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada 2022 atas jasanya membantu mangsa banjir di negara ini sejak Disember 2021.
Artikel berkaitan:
- Angkut bot dari Melaka ke Selangor selamatkan mangsa banjir, berikut 10 info Abang Viva viral
- Abang Viva terima sijil ‘Adiwira Prihatin Musibah’ dari APM buat warga maya sebak
- Hadir ke istana bersama ibu, hero banjir, Abang Viva terima Pingat Jasa Kebaktian
Mengangkut bot dari Melaka ke negeri-negeri yang terjejas banjir, nama Abang Viva menjadi perhatian masyarakat.
Azwan terdahulu tular di pelbagai platform media sosial selepas memandu kereta Perodua Viva membawa bot getah ke Selangor dari Melaka demi membantu kakaknya di Puchong Selangor dan seterusnya mangsa banjir di sekitar Selangor dengan berbekalkan RM50 pada Disember 2021.
Media melaporkan mangsa banjir di Pantai Timur melonjak kepada kepada 60,000 orang pada jam 7 malam tadi dan dijangka akan meningkat.
Pihak Meteorologi Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara juga sudah mengeluarkan amaran dan meminta orang ramai berwaspada lebih-lebih lagi yang tinggal di kawasan berisiko untuk sentiasa mengambil tahu keadaan cuaca setempat bagi bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan banjir.