KULIT berkeruping, kemerahan dan gatal-gatal, berkemungkinan petanda seseorang itu mengalami psoriasis.
Bagi mereka yang menghidapinya, ia bukan sahaja memberi kesan pada fizikal, tapi juga boleh menjejaskan psikologi dan ekonomi pesakit.
Psoriasis sering disalah anggap sebagai ekzema, tetapi kedua-dua keadaan kulit itu berbeza.
Psoriasis boleh menjejaskan bahagian badan seperti kulit kepala, lutut, siku, dan kuku, malah sering dikaitkan dengan komorbiditi seperti arthritis, obesiti, dan diabetes.
Sebaliknya, ekzema pula biasanya disebabkan oleh alahan atau keradangan kulit yang berlebihan dengan simptom seperti gatal dan kekeringan, tetapi tanpa melibatkan autoimun.
Memetik laporan Malaysian Psoriasis Registry (MPR) dari tahun 2020 hingga 2022, seramai 8,813 pesakit psoriasis telah direkodkan iaitu terdiri daripada 93.6 peratus dewasa dan 6.4 peratus kanak-kanak.
Majoriti pesakit adalah warganegara Malaysia iaitu sebanyak 99.4 peratus.
Menurut Pegawai Perubatan dan Estetik di U.n.i Klinik Semabok Perdana serta Elegant Aesthetic, Dr Syed Aliff Fauzan Syed Mohamad, psoriasis adalah penyakit kulit kronik yang berlaku akibat gangguan sistem imun badan.
Ia menyebabkan pembahagian sel kulit berlaku lebih cepat daripada biasa, mengakibatkan sel kulit mati terkumpul dan membentuk tompokan bersisik.
Tanda-tanda berlakunya psoriasis terhadap seseorang termasuklah kulit kemerahan akibat keradangan, tompokan bersisik putih atau berwarna perak, malah ia juga sering kali disertai dengan rasa gatal yang mengganggu.
Kesannya, kulit menjadi kering, merekah dan kadangkala berdarah. Selain itu, ia juga boleh mempengaruhi kuku pesakit dengan menjadikannya lebih tebal, rapuh, atau berlubang.
Dalam kes yang lebih serius, penyakit berkenaan boleh menyebabkan sakit pada sendi, dikenali sebagai psoriatic arthritis.
"Boleh jadi psoriasis ini terjadi disebabkan oleh kombinasi faktor genetik dan persekitaran. Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit ini berisiko lebih tinggi untuk mendapatkannya.
"Walau bagaimanapun, faktor luaran seperti tekanan emosi, jangkitan streptokokus, cuaca kering atau sejuk, serta penggunaan ubat tertentu seperti beta-blocker atau anti-malaria juga boleh mencetuskan penyakit ini,” kata Dr Aliff.
Usia lanjut
Namun begitu, penyakit ini tidaklah berjangkit. Jika ada ahli keluarga yang mengalami penyakit tersebut, berkemungkinan disebabkan oleh faktor genetik atau persekitaran yang serupa.
Malah, ia juga boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau jantina seseorang.
Ia boleh muncul seawal usia kanak-kanak atau hanya setelah seseorang mencapai usia lanjut.
Ditambah pula dengan faktor seperti sistem imun yang lemah, gaya hidup tidak sihat dan perubahan hormon boleh mempengaruhi keparahan penyakit berkenaan.
"Bagi wanita, perubahan hormon seperti kehamilan, menopaus atau kitaran haid boleh mempengaruhi keadaan kulit mereka dan meningkatkan risiko psoriasis.
"Lelaki pula terjejas oleh faktor gaya hidup seperti merokok, pengambilan alkohol atau obesiti,” jelasnya.
Tambah Dr Aliff, psoriasis tidak dapat disembuhkan sepenuhnya, tetapi ia boleh dikawal melalui rawatan yang betul.
Pengurusan yang tepat membolehkan pesakit untuk mengurangkan simptom dan menjalani kehidupan yang normal.
Bagi pesakit yang mengalami psoriasis tahap ringan, rawatan utama yang diberikan ialah kortikosteroid yang boleh didapati dalam bentuk krim atau pil.
Namun begitu, jenis krim lebih kerap digunakan kerana efektif untuk mengurangkan keradangan dan rasa gatal.
Selain itu, bahan seperti asid salisilik (salicylic acid) atau vitamin D analog turut digunakan untuk membantu mengurangkan keradangan, gatal-gatal dan menghilangkan sisik pada kulit.
Bukan itu sahaja, pelembap juga merupakan elemen penting dalam rawatan kerana salah satu punca psoriasis terjadi disebabkan kulit kering.
Pelembab membantu mengekalkan kelembapan dan mengelakkan kulit kering disebabkan cuaca panas.
Pertumbuhan sel
Bagi kes lebih serius, rawatan seperti fototerapi yang menggunakan UVB boleh digunakan untuk memperlahankan pertumbuhan sel kulit.
Selain itu, ubat methotrexate atau cyclosporine, serta suntikan biologik seperti adalimumab, boleh digunakan bagi kes-kes kronik.
Ubat itu biasanya diperuntukkan kepada pesakit yang tidak memberi tindak balas kepada rawatan asas atau mengalami psoriasis pada tahap yang lebih teruk.
Oleh itu, pemilihan rawatan bergantung kepada tahap keparahan penyakit dan keadaan pesakit secara keseluruhan.
Pendekatan yang betul memberi sinar buat pesakit untuk menikmati kulit yang lebih sihat dan bebas daripada ketidakselesaan yang serius.
Selain itu, rawatan alternatif sering menjadi pilihan sesetengah individu yang ingin mencuba pendekatan lain bagi mengurangkan simptom psoriasis.
Contohnya, penggunaan bahan semula jadi seperti minyak aloe vera, minyak kelapa atau tea tree oil mungkin membantu melembapkan kulit dan mengurangkan kekeringan.
"Namun begitu, walaupun rawatan alternatif boleh memberikan kelegaan, ia tidak menggantikan rawatan klinikal yang diiktiraf.
"Oleh itu, pesakit perlu berhati-hati terhadap kemungkinan alahan dan mendapatkan nasihat doktor sebelum mencuba rawatan sebegini terutamanya yang mungkin mempunyai alergi atau keadaan kesihatan lain.
"Sebagai langkah terbaik, pastikan rawatan yang dicuba adalah pelengkap kepada rawatan klinikal, bukan pengganti,” ujar pakar itu lagi.
Mengawal simptomDalam pada itu, Dr Aliff turut menyarankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah utama dalam menguruskan penyakit berkenaan.
"Meskipun penyakit ini tidak boleh diubati, anda masih boleh mengawalnya dengan bersenam, berhenti merokok, serta menguruskan tekanan dengan baik.
"Dari segi pemakanan, belum ada kajian yang menunjukkan kaitan langsung antara psoriasis dengan diet. Namun begitu, pengambilan makanan berminyak, tinggi gula dan makanan diproses boleh mencetuskan simptom kepada pesakit.
"Oleh itu, anda disarankan untuk mengambil makanan seperti ikan salmon, kacang, buah-buahan dan sayur-sayuran kerana sifatnya yang anti-radang,” ulas Dr Aliff.
Sebelum menutup perbualan, pakar itu menasihatkan pesakit supaya tidak berputus asa dalam berusaha untuk mengubati penyakit.
"Rawatan yang betul bukan sahaja membantu mengawal simptom tetapi juga meningkatkan kualiti hidup pesakit. Cuma, setiap individu memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza.
"Penyakit ini mungkin menjadi cabaran besar bagi mereka yang menghidapinya, tetapi dengan kesedaran, rawatan dan sokongan yang tepat, ia boleh dikawal dengan baik,” jelasnya lagi.
Justeru, jangan ragu-ragu untuk mendapatkan bantuan pakar jika anda atau orang tersayang menunjukkan simptom-simptom yang mencurigakan terutamanya melibatkan kulit.