KANSER nasofaring mungkin kurang dikenali berbanding jenis kanser lain, namun kesannya tidak boleh dipandang ringan.
Penyakit itu berkembang secara perlahan-lahan tanpa disedari kerana simptom awalnya menyerupai masalah biasa seperti selesema atau hidung tersumbat.
Disebabkan itu, ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila ia sudah berada di peringkat lebih serius.
Data yang dikeluarkan oleh Institut Kanser Negara (IKN) melalui penerbitan Ringkasan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, kanser nasofaring berada di kedudukan kelapan dalam senarai sepuluh kanser paling kerap dikesan di Malaysia, dengan 3.1 peratus daripada semua kes kanser yang dilaporkan.
Menerusi perkongsian Pakar Perunding Telinga, Hidung & Tekak dari Columbia Asia, Dr Khairul Anuar Jamaludin kepada SinarPlus, kira-kira lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan kes kanser di Malaysia adalah kanser nasofaring, atau singkatannya NPC (Nasopharyngeal Carcinoma).
Carcinoma merujuk kepada kanser, manakala nasofaring adalah kawasan yang terlibat. Dari segi kadar kematian akibat kanser, NPC juga tergolong antara yang tertinggi dalam kalangan lelaki, walaupun bukan nombor satu.
"NPC berlaku di kawasan nasofaring, iaitu bahagian yang terletak di belakang hidung dan atas tekak. 'Naso' merujuk kepada hidung, manakala 'faring' ialah tekak.
"Kawasan ini ialah simpang antara hidung dan tekak, menjadikannya sukar untuk didiagnosis kerana lokasinya yang tersorok,” kata beliau.
Selesema biasa
Simptom NPC sering kali menyerupai masalah hidung biasa. Antaranya:
- Hidung tersumbat – Pada peringkat awal, simptom ini mungkin kelihatan seperti selesema biasa, namun jika tumor membesar, ia boleh menyekat bahagian belakang hidung, menyebabkan hidung tersumbat secara berterusan.
- Hidung berdarah – Salah satu simptom yang kerap berlaku ialah pendarahan hidung yang ringan tetapi berulang.
- Masalah telinga – Disebabkan lokasi NPC berhampiran tiub Eustachian (saluran yang menghubungkan hidung dan telinga), pesakit mungkin mengalami:
- Tekanan dalam telinga – Rasa seperti telinga penuh atau tekanan yang tidak seimbang.
- Bunyi berdesing (tinnitus) – Pesakit mungkin mengalami bunyi berdengung atau berdesing dalam telinga.
- Pendengaran terjejas – Jika saluran ke telinga tersumbat, ia boleh menyebabkan masalah pendengaran.
- Pembengkakan kelenjar limfa di leher – Salah satu simptom paling biasa ialah kelenjar limfa di leher membengkak tanpa rasa sakit. Kelenjar ini berfungsi sebagai"pengawal keselamatan" badan yang cuba melawan sel-sel kanser, namun kerana sel kanser tidak boleh dimusnahkan, kelenjar tersebut terus membengkak.
- Sakit kepala yang teruk – Pada peringkat lanjut, NPC boleh menyerang saraf di bahagian kepala, menyebabkan sakit kepala kronik dan gangguan saraf lain.
Jika simptom tersebut berlarutan atau semakin teruk, dapatkan pemeriksaan awal bagi memastikan diagnosis yang tepat.
"Selalunya, pesakit akan datang dengan simptom. Jika pakar ENT mengesyaki sesuatu, kita akan melakukan pemeriksaan dengan memasukkan kamera ke dalam hidung iaitu endoskopi.
"Kita akan kebaskan hidung dengan semburan, kemudian memasukkan kamera untuk melihat kawasan belakang nasofaring.
"Sebanyak 98 peratus kes NPC bermula di satu kawasan spesifik di belakang hidung. Jika terdapat ketumbuhan atau bengkak, kita akan mengambil sampel (biopsi),” jelas beliau.
Bagi pesakit yang tidak selesa menjalani endoskopi, imbasan seperti imbasan CT boleh dilakukan.
Namun, ia hanya dapat mengesan kehadiran ketumbuhan dan tidak boleh mengesahkan NPC secara tepat. Untuk pengesahan menyeluruh, sampel biopsi perlu diambil.
Menurut pakar itu lagi, rawatan awal untuk kanser berkenaan tidak membabitkan pembedahan, sebaliknya hanya radioterapi.
"Namun, jika penyakit berada pada tahap lebih lanjut, radioterapi akan digabungkan dengan kemoterapi.
"Selepas rawatan pertama kanser itu kembali dalam tempoh dua hingga empat tahun, barulah pembedahan dipertimbangkan.
"Pembedahan biasanya dilakukan untuk kes yang berulang, namun ada juga yang mencuba radioterapi sekali lagi,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, jika kanser masih terhad di bahagian belakang hidung, ia dianggap berada pada peringkat awal.
"Justeru, andai dikesan lebih awal, mengikut statistik, peluang untuk bertahan selama lima tahun adalah sekitar 80 peratus yang dianggap tinggi.
"Ada juga pesakit yang datang hanya dengan simptom ringan seperti sedikit pendarahan hidung.
"Tetapi jika kanser sudah merebak ke kelenjar atau bahagian lain, itu menandakan ia sudah berada di tahap lebih serius,” ungkap pakar tersebut.
Secara keseluruhannya, rawatan utama tetap radioterapi, diikuti dengan kemoterapi jika perlu. Pembedahan pula adalah pilihan terakhir bagi kes berulang.
Perkembangan rawatan
Faktor risiko utama bagi kanser nasofaring ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:
Faktor genetik
- Genetik memainkan peranan penting. Dalam kajian, terdapat kaitan antara gen tertentu, khususnya dalam kumpulan gen HLA (Human Leukocyte Antigen), dengan risiko NPC.
- Keturunan juga memainkan peranan, dan statistik menunjukkan bahawa kaum Kantonis dan Hokkien memiliki risiko tertinggi untuk NPC. Walaupun begitu, kaum Melayu dan India juga tidak terkecuali.
- Jangkitan Virus Epstein-Barr (EBV)EBV adalah virus biasa yang menjangkiti ramai individu sejak kecil.
- Hampir 80 peratus orang dewasa mempunyai EBV dalam tubuh mereka, tetapi dalam kebanyakan kes, virus ini tidak menyebabkan masalah serius.
- Walaupun EBV selalunya menyebabkan simptom ringan seperti selesema atau sakit tekak, dalam kes tertentu, ia boleh mencetuskan pertumbuhan sel kanser dalam nasofaring.
- Makanan yang mengandungi nitrosamin seperti ikan masin dan jeruk, telah dikaitkan dengan risiko NPC.
- Walaupun kajian lanjut masih dijalankan, diet tinggi bahan pengawet ini dipercayai boleh meningkatkan risiko kanser nasofaring.
Faktor persekitaran dan pekerjaan
- Pekerjaan yang melibatkan pendedahan kepada habuk, asap, atau bahan kimia seperti di kilang papan boleh meningkatkan risiko NPC.
- Pekerja yang sering terdedah kepada udara tercemar dalam persekitaran tertutup juga berisiko lebih tinggi.
- Walaupun kaitannya dengan NPC tidak sekuat faktor lain, merokok dan alkohol tetap dianggap sebagai faktor tambahan yang boleh menyumbang kepada risiko kanser.
Para penyelidik telah menemui DNA EBV dalam sel kanser, menunjukkan kemungkinan kaitan antara virus ini dengan pertumbuhan kanser.
Walaupun masih belum ada kepastian, kajian sedang dijalankan untuk membangunkan imunoterapi yang dapat menyerang EBV.
Ini kerana EBV mempunyai gen yang boleh merangsang pertumbuhan sel kanser. Jika terapi ini berjaya, ia berpotensi menjadi rawatan yang lebih berkesan.
Selain itu, terdapat juga kajian mengenai vaksin untuk EBV, namun vaksin ini masih dalam peringkat percubaan dan belum tersedia untuk kegunaan umum.
Buat masa ini, semua kajian masih berjalan untuk menentukan keberkesanan dan keselamatannya.
Oleh yang demikian, segeralah lakukan pemeriksaan jika mengalami simptom yang berulang.
Terutamanya bagi yang mengalami hidung berdarah, leher bengkak atau sebarang tanda yang berlarutan lebih dari seminggu atau dua minggu.
Amalkan sikap jangan berlengah dan dapatkan pemeriksaan segera.