URUTAN kiropraktik, terkenal dalam kalangan orang lelaki terutamanya ketika pergi memotong rambut. Malah, urutan ini sering menjadi pilihan orang ramai lebih-lebih lagi yang alami ketidakselesaan di bahagian leher atau tulang belakang.
Bagi yang belum tahu, kiropraktik adalah satu teknik tekanan (picit), urutan, penarikan dan tekanan pada vertical dapat memulihkan sendi- sendi yang terkehel dan meletakkan kembali tulang-tulang yang"dislokasi".
Namun begitu, ketika anda rasa berpuas hati dan lega rasa sengal itu menghilang selepas rawatan, ada pula yang dikatakan menjadi punca berdepan masalah lumpuh dan meragut nyawa!
Menurut perkongsian doktor perubatam dan juga pempengaruh, Dr Kamarul Ariffin di laman Facebooknya, rawatan ini tidak semestinya selamat untuk semua orang.
Ini antara sebabnya:
1. Boleh cedera lagi teruk
Kalau teknik tak betul, tulang belakang, cakera (disc), atau saraf boleh tercedera. Hasilnya? Kesakitan bertambah, kebas, kelemahan otot, atau lebih teruk, lumpuh sementara.
2. Tak sesuai untuk penyakit tertentu
Kalau ada osteoporosis, jangkitan tulang, atau kanser, manipulasi kasar boleh buat keadaan bertambah buruk. Jangan ambil risiko tanpa nasihat doktor dulu.
3. Siapa buat rawatan tu?
Ada yang buat rawatan kiropraktik tanpa latihan perubatan yang betul. Kalau tersalah langkah, bukan sihat, tapi tambah masalah.
4. Risiko strok
Manipulasi bahagian leher ada risiko serius – boleh menyebabkan strok akibat kerosakan saluran darah. Memang jarang berlaku, tapi kalau jadi, kesannya sangat besar.
5. Kelegaan sementara, risiko berpanjangan
Kadang-kadang rasa lega lepas rawatan tu, tapi masalah asal tak selesai. Kalau ulang rawatan, risiko kecederaan kekal makin tinggi.
"Kiropraktik nampak macam penyelesaian cepat, tapi tak semestinya sesuai untuk semua orang. Kalau nak cuba, pastikan dapat nasihat daripada doktor dulu dan pilih pakar yang berkelayakan.
"Jangan biar tulang belakang jadi eksperimen! Kesihatan itu tanggungjawab, bukan sekadar ikut trend," akhir kata dari Dr.
Bila tengok sebabnya, rasa ngeri pula kan? Sebaiknya rujuk pada yang lebih pakar pada bahagian yang kita sakit itu okay. Salah urut, buruk padahnya!'