Jangan abai pemakaian pelindung matahari! Boleh jadi punca penuaan sebelum usia, kanser kulit

Iklan

PEMAKAIAN pelindung matahari (sunscreen) amat penting bagi melindungi kulit daripada sinaran Ultraviolet (UV) yang berbahaya.

PEMAKAIAN pelindung matahari (sunscreen) amat penting bagi melindungi kulit daripada sinaran Ultraviolet (UV) yang berbahaya.

Usaha ini demi mengekalkan kesihatan kulit dalam jangka masa panjang lebih-lebih lagi negara kita ini beriklim tropika.

Iklan
Iklan

Lebih membimbangkan, kajian baru-baru ini mendedahkan bahawa, hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak menggunakannya dengan kerap.

Keadaan ini boleh mengundang kepada pelbagai masalah kulit seperti terbakar, penuaan pramatang (kulit menua sebelum usia sebenar) serta kanser kulit.

Iklan

Jabatan Registri Kanser Kebangsaan (NCR) melaporkan terdapat peningkatan kadar insiden kanser kulit. Oleh itu, penting menyebarkan tentang kesedaran dan langkah pencegahan untuk menangani masalah ini.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Nur Ashikin Ahmad, pelindung matahari seharusnya menjadi sebahagian penting dalam rutin harian setiap individu tanpa mengira sama ada mereka berada di luar atau dalam rumah.

Iklan

"Ini kerana Sinar UVA boleh menembusi tingkap lalu menembus ke dalam kulit serta menyumbang kepada penuaan kulit pramatang dan pigmentasi.

"Selain itu, terdapat juga sinaran UVC yang mana sebahagian besarnya ditapis oleh lapisan ozon dan sinaran UVB kekal menjadi kebimbangan kerana ia merupakan punca utama masalah kulit terbakar dan kanser kulit berlaku," kata beliau.

Dalam pada masa yang sama, Dr Ashikin juga mengingatkan kita tentang bahaya blue light yang terdapat daripada peranti digital. Terdapat kajian mengatakan bahawa cahaya ini boleh menembusi lebih dalam ke kulit berbanding sinaran UVB, seterusnya mempercepatkan penuaan kulit.

"SPF atau faktor perlindungan matahari (sun protection factor) mengukur keberkesanan pelindung matahari dalam menghalang kemerahan kulit disebabkan oleh UVB.

"Dalam iklim tropika Malaysia, SPF minimum yang disyorkan untuk kegunaan harian ialah SPF 30," ujar Dr Ashikin.

Pemilihan pelindung matahari dengan SPF yang lebih tinggi seperti SPF 75 atau SPF 100 mungkin dianggap pilihan yang terbaik, tetapi ia sebenarnya tidak menawarkan perlindungan yang jauh berbeza daripada SPF 30 atau SPF 50.

Justeru, Dr Ashikin mencadangkan pelindung matahari SPF 50 lebih sesuai digunakan jika anda berada di luar seperti di pantai, menyertai aktiviti sukan atau bersiar-siar untuk tempoh yang lama.

Malah, anda juga digalakkan memakainya dalam masa 15 hingga 30 minit sebelum terdedah kepada sinaran matahari atau melakukan sebarang aktiviti.

Pemakaian semula pelindung matahari juga harus dilakukan setiap dua hingga empat jam, terutamanya selepas berpeluh atau berenang.

Ini kerana peluh, geseran, dan mencuci muka dengan air boleh mengganggu keberkesanan pelindung matahari dan mengurangkan SPF.

Sementelah itu, terdapat dua jenis pelindung matahari, iaitu fizikal dan kimia. Jenis fizikal biasanya mengandungi zink atau titanium oksida sebagai bahan utama dan berfungsi membentuk penghalang yang dapat memantulkan sinaran UV.

Pelindung jenis fizikal sesuai untuk mereka yang memiliki kulit sensitif tetapi mungkin meninggalkan kesan putih (white cast), terutamanya pada warna kulit yang lebih gelap.

Sementara itu, jenis kimia pula selalunya mengandungi bahan seperti avobenzone, oxybenzone dan octinoxate. Ia berfungsi untuk menyerap sinaran UV dan menukarnya kepada haba.

Warna kulit

Walaupun cahaya matahari penting untuk Vitamin D, pendedahan berlebihan tanpa sebarang perlindungan atau yang tidak mencukupi boleh membawa kepada kesan berbahaya.

Dr Ashikin mencadangkan pendedahan matahari pada awal pagi atau lewat petang untuk sintesis Vitamin D yang optimum.

"Individu berkulit cerah mungkin memerlukan pendedahan langsung kepada matahari selama 10 hingga 20 minit.

"Manakala bagi mereka yang berkulit gelap memerlukan pendedahan matahari boleh berbuat demikian antara lima hingga 30 minit kerana melanin mengurangkan keupayaan kulit untuk menghasilkan Vitamin D.

"Ada yang berpendapat, warna kulit gelap tidak memerlukan pelindung matahari kerana melanin mempunyai fungsi perlindungan kulit adalah tidak tepat sepenuhnya. Ini kerana ia hanya memberikan perlindungan separa," tambah Dr Ashikin.

Walau bagaimanapun, pelindung matahari masih diperlukan kerana fungsi perlindungan semula jadi melanin jauh di bawah SPF 30 yang disyorkan untuk perlindungan berkesan terhadap kerosakan matahari.

Dalam pada itu, Dr Ashikin turut beri penekanan kepentingan melindungi kawasan kulit lain yang berisiko rosak disebabkan sinaran matahari.

Lengan dan kaki juga merupakan antara kawasan biasa untuk pembentukan melanoma dan kanser kulit.

Selain itu, penggunaan pelindung matahari yang kerap pada kawasan ini juga dapat membantu mengekalkan tona kulit yang sekata serta keanjalan kulit.