ANAK-anak ini pantang duduk sekali, ada sahaja benda yang nak digaduhkan. Pening mak ayah nak melayan! Bila tanya punca, tiada jawapan atau masing-masing diam membatu.
Sebagai ibu bapa, melihat anak-anak bergaduh mungkin perkara biasa. Tetapi apabila pergaduhan itu semakin serius hingga mengganggu keharmonian rumah tangga, kita perlu mula memikirkan puncanya.
Boleh jadi, anak-anak bersifat begitu disebabkan oleh kesilapan kita sebagai ibu ayah ketika mendidik mereka.
Itulah yang dikongsikan oleh Dr Taufiq Razif di Facebooknya. Melalui perkongsiannya itu, beliau turut senaraikan beberapa sebab anak-anak bergaduh sesama mereka. Antaranya:
1. Terlalu banyak kritik anak. Anak pendam dan terlampias dalam bentuk pergaduhan sesama mereka.
2. Lupa nak ajar mereka ilmu 'conflict resolution'. Salah faham itu normal, yang tak normal adalah pergaduhan berpanjangan yang tak selesai selesai.
3. Terlalu guna kekerasan untuk bagi anak diam dari bergaduh. Jadi di belakang kita, mereka bergaduh dengan lebih teruk.
4. Anak pendam iri hati sesama mereka. Benda ni tak nampak dari luar tapi sampai satu masa akan kelihatan pada pergaduhan, bermasam muka dan lost contact sesama mereka. Ni cara nak urus iri hati dalam diri anak.
5. Survival mode anak terlalu aktif. Anak yang selalu dimarahi, dibentak atau diugut ni biasanya survival mode mereka selalu on. Kena bina 'safe space' dalam rumah bila benda ni berlaku. Biar anak rasa tenang, selamat dan damai dengan kita dulu.
6. Tangki emosi anak masing masing dah mula kering. Tangki emosi anak ni juga bergantung pada tangki emosi si ibu. Sebab tu pasangan tak boleh berkira untuk penuhkan tangki emosi si ibu sebab benda ni boleh efek anak anak juga. Tangki yang kering dan kosong takkan boleh isi tangki-tangki yang lain.
Mungkin antara yang disenaraikan ini ada berkait dengan cara kita melayan atau ajar mereka. Oleh itu, cuba untuk jernihkan semula keadaan dengan perbetul cara didikan terhadap anak-anak.
Menguruskan anak-anak memerlukan kesabaran dan ilmu. Dengan sedikit usaha memperbaiki cara komunikasi dan mendidik mereka, pergaduhan boleh dikurangkan, dan hubungan adik-beradik menjadi lebih erat.