KEJADIAN ngeri membabitkan pelakon terkenal Bollywood, Saif Ali Khan ditikam rupanya didalangi 'orang dalam'.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang lelaki didapati memasuki kediaman aktor berkenaan yang terletak di tingkat pada jam 2.33 pagi, Khamis.
Memakai kemeja T rona gelap, berseluar denim dengan kain selempang pada bahu, lelaki berkenaan dilihat menggalas sebuah beg sandang memandang tepat ke arah CCTV sambil menuruni tangga kondominium 12 tingkat itu.
Namun hasil semakan mendapati tidak kelihatan individu asing masuk atau keluar dari premis berkenaan.
Begitupun, selepas penelitian polis mendapati suspekbersembunyi di tangga kondominium terbabit.
Difahamkan, perompak terdahulu mengugut pembantu rumah, Eliyama Philip, yang ketika itu bersama dua anak Saif iaitu Taimur Ali, 8, Khan dan Jeh Ali Khan, 4.
"Saya mendapati ada seseorang menghampiri bilik Jeh dan Taimur. Pada mulanya saya ingatkan itu Kareena. Saya kembali ke bilik tidur mendapati ada sesuatu yang tidak kena apabila ada seorang lelaki keluar dari bilik mereka," katanya.
Ujarnya, ketika itu penyerang berkenaan meminta wang sebanyak 1 crore (kira-kira RM519,878.40) agar dua kanak-kanak terbabit tidak dicederakan.
Mendengar jeritan wanita terbabit, Saif pun bergegas ke bilik tidur anak lelakinya dan berlaku pergelutan hingga Saif ditikam pisau bertubi-tubi.
Demi melindungi keluarga dan diri, Saif sanggup menyabung nyawa melawan penceroboh bersenjata itu hingga mengalami kecederaan pada tangan kiri, lehernya dan tusukan pada tulang belakangnya.
Polis mengesyaki ia adalah perbuatan 'orang dalam' memandangkan siasatan awal mendapati penyerang berkenaan berkemungkinan menyelinap masuk ke dalam rumah Saif pada awal malam.
Polis telah menubuhkan tujuh kumpulan bagi menyiasat cubaan rompakan tidak menjadi ini turut meminta media dan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.
Pelakon Kal Ho Naa Ho itu terdahulu dikejarkan oleh anak lelakinya, Ibrahim ke Hospital Lilavati, India pada pukul 3.30 pagi selamat menjalani pembedahan namun masih dalam pemantauan doktor.
Lebih membimbangkan, Pegawai ksekutif hospital, Niraj Uttamani berkata, terdapat objek asing iaitu bahagian pisau yang patah sepanjang 2.5 inci ditemui berhampiran tulang belakang pelakon bintang Dil Chahta Hai itu.
Menurut doktor, pembedahan tersebut membabitkan usaha mengeluarkan pisau dan memperbaiki cairan tulang belakang yang bocor.
Manakala dua luka lagi pada leher kiri dan kanan Saif yang membabitkan pembedahan plastik.
Buat masa ini, pelakon berkenaan stabil dan sudah ditempatkan di wad pemulihan.
Sumber: NDTV, Hindustan Times