LULUH hati seorang remaja selepas kehilangan lima ahli keluarga serentak dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak.
Kini hanya tinggal datuk, Nur Irsalina Syahirah, 17, berkata kejadian tanah runtuh yang menimpa ibu, nenek dan tiga adiknya yang masing-masing berusia lapan, 11 dan 16 tahun berlaku dalam masa yang singkat.
Imbas kembali detik cemas pada 3 pagi Rabu itu, Irsalina berada di ruang tamu bersama dengan ibunya, Sazarena Arabi, 41, dan adik-beradik.
Dalam kekalutan, beliau sempat melihat wanita itu memeluk adiknya untuk membawa mereka keluar ketika tanah runtuh menimbus rumah mereka.
"Masa kejadian itu berlaku, saya sedang bermain permainan video sambil ditemani ibu dan adik-adik manakala nenek sedang tidur di dalam bilik.
"Segalanya bermula apabila ibu mendengar bunyi benda jatuh (dentuman kuat). Saya juga dengar bunyi yang sama.
"Oleh kerana takut, ibu segera berlari memeluk adik yang kecil untuk dibawa lari manakala saya sendiri pun terus bangun dan duduk.
"Saya tertolak hingga keluar dinding ke arah tempat meletak motosikal.
"Bagaimanapun, belum sempat saya bergerak, tanah terus runtuh tetapi saya masih sedar dan tidak pengsan,” katanya.
Menurut Irsalina, timbunan tanah runtuh di dalam kawasan rumah telah menyukarkannya untuk keluar menyelamatkan diri.
"Saya cuba alih tanah sedikit supaya dapat bergerak, kemudian datuk saya datang jumpa saya dan tolong alihkan tanah untuk saya.
"Tidak lama kemudian, bomba pun datang untuk tolong keluarkan saya dari tempat kejadian.
"Saya bersyukur masih selamat tetapi bawah lutut saya sakit kerana kena hempap dan kuku kaki saya juga patah,” ujarnya
Berkongsi lanjut, Nur Irsalina berkata semasa operasi menyelamat dia menyedari hanya kakinya sahaja cedera.
"Anggota bomba memberikan semangat untuk saya berusaha mengeluarkan kaki di bawah runtuhan dan setelah berjaya saya dihantar ke hospital menaiki ambulans,” ujarnya.
Sayu hati apabila jenazah lima sekeluarga yang terkorban disemadikan dalam satu liang lahad. Mereka adalah Sazarena Arabi, 41; Fatimah Dawi, 71; dua kanak-kanak perempuan, Nur Raisyah Syahirah, 8 dan Nur Rania Syafiqah, 11 serta remaja lelaki, Irsyad Syairah, 16.
Jenazah mereka dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Pujut 5, pada petang Khamis.
Selain keluarga berkenaan, lima penghuni sebuah lagi rumah yang terbabit dalam kejadian itu pula terselamat iaitu Nur Afiqah, 29; Nur Athirah Nabinah, 29, Nur Aqilah Nadirah, 18; Muhammad Mahmud, 60 manakala Massahan Mustafa, 58, mengalami cedera ringan di kaki kiri.
Kampung Lereng Bukit menyaksikan bencana yang sama 16 tahun lalu.
Dalam kejadian awal pagi 16 Januari 2009, dua pekerja stesen minyak terkorban apabila mereka tertimbus dalam runtuhan yang turut meranapkan stesen minyak terbabit.
Pada 23 Januari 2014, satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan berdekatan sehingga memaksa 16 penghuni rumah meninggalkan kediaman mereka.
Sumber: TV Sarawak 1, 2, Suara Sarawak, Harian Metro