Iftar amal penuh makna, Mardhiyyah Hotel & Suites santuni 300 anak yatim & asnaf menerusi Nur Kasih Ramadan

Iklan

LANGIT Ramadan di Shah Alam seakan-akan lebih syahdu tatkala azan Maghrib bergema, mengundang rasa syukur dan kebersamaan. 

Dalam suasana penuh barakah itulah, Mardhiyyah Hotel & Suites sekali lagi meneruskan tradisi menyantuni komuniti menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Nur Kasih Ramadan.

Iklan
Iklan

Bukan sekadar majlis berbuka puasa biasa, Nur Kasih Ramadan yang berlangsung di Dewan Perdana hotel berkenaan menjadi simbol jalinan ukhuwah antara pihak korporat dan masyarakat setempat. 

Dianjurkan dengan kolaborasi bersama Yayasan Abadi, program tahunan ini memberi fokus kepada anak-anak yatim serta golongan asnaf agar mereka turut merasai kemeriahan dan kasih sayang sepanjang bulan mulia ini.

Iklan

Menurut Pengarah Urusan Mardhiyyah Hotel & Suites, Datuk Seri Mohamed Rafik Mohd Idris, inisiatif berkenaan bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial, sebaliknya membuka ruang kepada warga kerja hotel untuk bersama-sama menimba keberkatan Ramadan.

Iklan

“Setiap tahun kami merancang pelbagai pendekatan bagi memastikan program CSR ini memberi impak yang bermakna. 

"Ramadan adalah bulan untuk berkongsi rezeki dan memperkukuh silaturahim. Kami mahu golongan yang diraikan menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana selesa dan penuh kegembiraan,” ujarnya yang juga Pengerusi Yayasan Abadi.

Seramai 300 tetamu memeriahkan majlis tersebut, terdiri daripada anak-anak yatim, wakil keluarga asnaf, kumpulan masjid dan surau, rakan media serta kakitangan hotel bersama jawatankuasa Yayasan Abadi. 

Antara rumah kebajikan yang terlibat ialah Persatuan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai Kuang dan Pertubuhan Kebajikan Al Kausar Bangi.

Kehadiran mereka bukan sahaja disambut dengan senyuman mesra, malah diraikan dengan pelbagai hidangan istimewa yang disediakan pihak hotel. 

Dari sajian tradisional Melayu hingga menu moden, semuanya diolah rapi bagi memastikan setiap tetamu dapat menikmati pengalaman berbuka yang bermakna. 

Suasana di Dewan Perdana jelas memperlihatkan wajah-wajah ceria anak-anak kecil yang teruja menikmati juadah bersama rakan-rakan.

Lebih menyentuh hati, kumpulan yang diraikan turut menerima sumbangan dana kebajikan selain duit raya untuk anak-anak yatim. 

Bagi pihak penganjur, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban perbelanjaan serta memberi sinar kegembiraan menjelang Aidilfitri.

Majlis turut diserikan dengan sesi tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud. 

Pengisian rohani itu mengingatkan para hadirin tentang makna sebenar berpuasa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi mendidik jiwa supaya lebih empati, pemurah dan prihatin terhadap insan yang kurang bernasib baik.