SAKIT sendi sering disalah anggap sebagai tanda biasa penuaan, namun adakah anda tahu ia juga boleh menjadi petanda kepada penyakit autoimun yang kronik?
Artritis reumatoid (RA) bukan sahaja menjejaskan orang tua, malah boleh menyerang sesiapa sahaja, tanpa mengira usia.
Pada tahun 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih daripada 18 juta orang di seluruh dunia hidup dengan penyakit ini, lantas menekankan prevalensinya di peringkat global.
Di Malaysia, kajian menunjukkan bahawa artritis reumatoid menjejaskan lima daripada setiap 1,000 orang di seluruh negara.
Namun begitu, Pakar Perunding Rheumatologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Cheah Chee Ken berkata, hanya 20 peratus daripada populasi umum mendapatkan bantuan daripada penyedia penjagaan primer apabila mereka mengalami penyakit muskuloskeletal kronik. Dalam pada itu, hanya 50 peratus pesakit artritis reumatoid meneruskan rawatan setahun selepas gejala bermula.
Walaupun begitu, kesedaran tentang RA adalah terhad dan masih banyak kes yang tidak atau salah didiagnosis.
"Secara umumnya, artritis reumatoid dijelaskan sebagai radang autoimun yang mana sistem imun tubuh menyerang sendi. Individu dengan kecenderungan genetik atau mereka yang mengalami trauma fizikal, seperti kemalangan kereta, mungkin lebih terdedah kepada aktiviti imun yang tidak normal.
"Hal ini menyebabkan keradangan di lapisan sendi, yang dikenali sebagai sinovium. Keradangan ini boleh mencetuskan gejala seperti sakit sendi, bengkak dan kekakuan pada waktu pagi,” kata beliau.
Pencetus artritis reumatoid masih dalam kajian, namun begitu beberapa faktor telah dikenal pasti boleh meningkatkan risiko.
Kemurungan
Menurut Dr Chee Ken, kebarangkalian wanita untuk mendapat penyakit tersebut adalah dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding lelaki.
Selain dipengaruhi oleh jantina dan sejarah keluarga, faktor penyumbang kepada penyakit ini boleh dibahagikan kepada dua kategori:
- Faktor langsung yang berkait secara terus dengan keadaan seperti epigenetik, hormon, reproduktif, neuroendokrin dan lain-lain.
- Faktor persekitaran atau berkaitan gaya hidup seperti merokok, pendedahan kepada asap rokok pasif, agen udara atau berjangkit, tabiat kebersihan mulut yang buruk, periodontitis kronik, jangkitan gusi dan banyak lagi.
"RA boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, tetapi ia paling kerap terjadi pada usia antara 30 hingga 50 tahun. Selain itu, perokok dan individu yang mengalami obesiti mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat RA, malah mereka juga cenderung untuk memberi reaksi yang kurang efektif terhadap rawatan,” tambah Dr Chee Ken.
Bukan itu sahaja, hidup dengan artritis reumatoid memerlukan pengurusan sepanjang hayat kerana pada masa ini masih tiada penawar yang dapat mengubatinya.
Namun begitu, seseorang pesakit perlu berdepan dengan rawatan merangkumi pengambilan ubat-ubatan, terapi fizikal dan adakalanya memerlukan pembedahan untuk menggantikan lutut atau pinggul.
Rawatan tersebut boleh menelan perbelanjaan perubatan yang tinggi serta membebankan kewangan keluarga, terutamanya jika pesakit atau penjaga terpaksa mengurangkan waktu kerja mereka atau berhenti sepenuhnya.
Pada masa sama, sifat penyakit tersebut juga sukar dijangka yang mana pesakit bakal berdepan dengan flare-up yang muncul dengan tiba-tiba, selain berpotensi untuk mengalami kecacatan jangka panjang dan juga boleh memberi kesan kepada psikologi seseorang.
"Kesihatan mental pesakit dan keluarga mereka juga akan sering tercabar, contohnya mengalami kebimbangan atau kemurungan. Justeru, mereka amat memerlukan sokongan emosi dan ilmu untuk lebih memahami serta menguruskan artritis reumatoid.
"Terdapat juga kumpulan sokongan seperti Persatuan Artritis Malaysia (AFM) yang menawarkan jaringan sokongan penting yang mana individu boleh berkongsi pengalaman, nasihat praktikal dan dorongan, sekali gus membantu mereka mengatasi beban fizikal dan emosi dalam menghadapi keadaan ini,” ujar Dr Chee Ken.
Berbeza dengan penyakit lain, diagnosis RA adalah mencabar kerana kekurangan ujian tertentu sehingga menjadikan proses itu lebih kompleks.
Tanda dan gejala awal RA sering menyerupai penyakit lain, yang boleh menyebabkan kelewatan dan kesukaran dalam membuat diagnosis yang tepat.
Imun pesakit
Oleh sebab itu, pihak perubatan cuba mendapatkan sejarah terperinci pesakit, termasuk permulaan gejala, perkembangan penyakit dan sebarang tanda yang berkaitan dengan RA.
Ia diikuti dengan pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda khas seperti kesakitan sendi, bengkak, kekakuan, atau pergerakan terbatas.
Selain itu, pengimejan ultrasound muskuloskeletal juga dilakukan untuk mengenal pasti keradangan, kerosakan sendi, keadaan lapisan sinovial, dan kehadiran efusi sendi.
"Pada peringkat awal artritis reumatoid, pesakit biasanya akan menerima ubat anti radang, sama ada ubat tahan sakit bukan steroid atau rawatan steroid, untuk meredakan keradangan dengan cepat.
"Bagi mengubah perkembangan RA, ubat-ubatan yang boleh mengubah imun pesakit seperti disease-modifying antirheumatic drugs (DMARDs) adalah penting. Ia boleh dibahagikan kepada DMARDs sintetik konvensional atau DMARDs biologi.
"Pesakit yang didiagnosis awal sering memberi respons yang lebih baik kepada DMARDs sintetik konvensional, manakala penyesuaian mungkin diperlukan bagi mereka yang tidak memberi respons dengan baik terhadap rawatan.
"Ia boleh merangkumi terapi lanjutan seperti DMARDs biologi dan molekul kecil oral.
"Terapi lanjutan ini menyasarkan molekul radang tertentu yang terlibat dalam aktiviti RA, sekali gus menawarkan keberkesanan yang lebih baik dan kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding rawatan tradisional,” hurai Dr Chee Ken.
Selain mendapatkan rawatan konvensional, terdapat juga segelintir pesakit yang cenderung untuk beralih kepada perubatan alternatif. Pandangan beliau, kemungkinan mereka yang beralih itu khuatir bahawa rawatan konvensional boleh menyebabkan kesan sampingan atau bertoksik.
Oleh itu, mereka mengelak daripada mendapatkan nasihat perubatan yang tepat pada peringkat awal sehingga berpotensi memburukkan lagi keadaan kesihatan mereka.
Jika tidak diurus dengan baik, kesannya pesakit bakal berdepan dengan komplikasi yang tidak boleh dipulihkan. Ia akan mempengaruhi sendi dan bahagian tubuh yang lain seperti paru-paru, jantung dan tulang belakang yang boleh menyebabkan masalah mobiliti.
Kesedaran awal dan rawatan yang tepat adalah kunci untuk mengawal RA. Jika anda mengalami gejala seperti sakit sendi yang berterusan, jangan berlengah untuk mendapatkan nasihat perubatan. Ingat, setiap langkah kecil ke arah kesihatan yang lebih baik membawa perubahan besar.