Warga emas berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik boleh menikmati vaksin influenza secara percuma bermula 18 Februari ini.
Antara penyakit kronik termasuklah diabetes, penyakit respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia atau penyakit buah pinggang kronik.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan pada Isnin berkata, program vaksinasi secara sukarela ini adalah langkah progresif yang bakal memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi.
"Perluasan program imunisasi ini bertujuan untuk melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada mendapat komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Janji temu untuk mendapatkan vaksin boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Februari 2025. Namun ini tertakluk kepada status agihan vaksin ke seluruh negara yang dibuat secara berfasa.
"Kematian mengejut pelakon Taiwan, Barbie Hsu akibat pneumonia terkait influenza telah mengejutkan masyarakat Asia Timur, seterusnya meningkatkan permintaan orang ramai terhadap vaksin influenza.
"Trend ini telah menyebabkan kekurangan stok vaksin influenza dalam pasaran tempatan,” jelas kenyataan itu lagi.
Namun begitu, KKM menegaskan, kekurangan stok vaksin influenza ketika ini hanyalah bersifat sementara.
Jelasnya, bekalan vaksin untuk jangka sederhana juga adalah mencukupi bagi tujuan pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada termasuk untuk jemaah haji dan umrah.
Di samping itu juga, Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bekalan vaksin di pasaran swasta tempatan pulih secepat mungkin.
Di Malaysia, waktu terbaik untuk mengambil vaksin influenza adalah pada bulan Mac atau September, selari dengan kesiapsiagaan bagi menghadapi gelombang musim sejuk di hemisfera selatan pada Mei hingga Julai, dan gelombang musim sejuk di hemisfera utara pada November hingga Januari.
Warga emas berpenyakit dapat vaksin influenza percuma mulai 18 Februari ini!
Iklan