BEBERAPA hari menjelang Ramadan, pelakon jelita Eyka Farhana mengambil peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah bersama keluarga tersayang.
Apa yang lebih istimewa, tunang kepada bintang bola sepak kebangsaan Akhyar Rashid itu turut ditemani bakal mentua, menjadikan perjalanan rohani itu lebih bermakna buatnya.
"Alhamdulillah Ya ALLAH atas jemputan kali ini. Terlalu bermakna dapat umrah bersama keluarga sendiri dan keluarga baru, mak serta abah.
Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Wan Sarmizi, juga tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila doanya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci akhirnya dimakbulkan.
"ALLAH mudahkan segala urusan dari Malaysia hingga ke sini, semuanya dipermudahkan. Lain rasanya bila buat umrah dengan orang-orang yang saya sayang.
Terima kasih Ya ALLAH mendengar doa kami untuk ke sini bersama-sama,” luahnya penuh syukur menerusi Instagram Story.
Untuk rekod, Eyka mengumumkan beliau sudah bergelar tunangan Akhyar sejak 4 Nov 2024.
Semoga perjalanan umrah Eyka dan keluarga dipermudah dan membawa keberkatan dalam kehidupannya!