Siti Nurhaliza akui rindu, pasang niat mahu ke Tanah Suci Ramadan ini. 'Selalu berdoa bukan umrah terakhir...'

Iklan

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui hatinya sudah lama merindui Tanah Suci dan berharap dapat menunaikan umrah sekali lagi pada bulan Ramadan tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurut Siti, suasana menyambut bulan puasa di Mekah begitu istimewa dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

"Saya sendiri pun susah nak terangkan. Sesiapa yang pernah ke sana pasti faham perasaan rindu terhadap Tanah Suci. Suasana di Mekah ketika Ramadan memang luar biasa.

Iklan

"Walaupun cuaca panas dan orang ramai berpusu-pusu, nikmatnya tak terhingga. Sebab itu, saya selalu rindukan suasana di sana. Dari dulu, saya memang dah terbiasa. Setiap kali hujung Ramadan, saya akan menunaikan umrah.

"Cuma tahun lepas saya tak berkesempatan sebab ada urusan yang perlu diselesaikan. Jadi, harap tahun ini saya dapat pergi," katanya kepada SinarPlus.

Iklan

Penyanyi tersohor itu juga berpendapat tidak salah jika seseorang ingin menunaikan umrah berkali-kali kerana setiap individu mempunyai niat dan matlamat tersendiri.

"Memang benar, sesiapa yang pernah ke sana pasti akan rindu. Sebab itu waktu Tawaf Wada', saya selalu berdoa agar ini bukan umrah terakhir kita. Kita mohon ALLAH jemput lagi.

"Ada yang tanya kenapa saya nak pergi lagi setiap kali Ramadan, jawapannya mudah, kerinduan itu tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Setiap kali di sana, kita dapat kejar nikmat 10 malam terakhir dan mencari lailatul qadar.

"Gandaan pahala di Mekah dan Madinah tak sama seperti di tempat lain," jelasnya lagi.

Sebagai ibu kepada dua cahaya mata dan individu yang sibuk dengan kerjaya seni, Siti menganggap umrah sebagai ruang untuk mencari ketenangan dan mendekatkan diri dengan Sang Pencipta.

"Bila di sana, kita lupa soal kerja. Waktu solat, kita turun ke masjid tanpa fikir hal lain. Suasana Ramadan di Mekah memang berbeza.

"Di sini, kita selalu sibuk dengan kerja, tapi di sana saya anggap sebagai masa untuk diri sendiri. Peluang untuk muhasabah diri dan perbaiki kekurangan yang ada," katanya.