Jangan pandang enteng situasi tercekik! kena ada ilmu demi selamatkan nyawa

Iklan

TERCEKIK salah satu kejadian yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Situasi kecemasan itu mampu mengancam nyawa.

TERCEKIK salah satu kejadian yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Situasi kecemasan itu mampu mengancam nyawa.

Iklan
Iklan

Insiden tercekik lebih kerap berlaku dengan makanan yang keras, kenyal, kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat di saluran pernafasan.

Baru-baru ini seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan kejadian menimpa seorang kanak-kanak 10 tahun yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal.

Iklan

Kejadian itu telah menimbulkan polemik besar di negara ini terutama dengan isu keselamatan makanan.

Ramai yang meminta supaya makanan tersebut diharamkan untuk dijual dinegara ini.

Iklan

Malah ada yang meminta supaya kawalan jualan makanan ringan di kawasan sekolah perlu diketatkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) memaklumkan saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983.

Namun bagi 'konfeksi jeli terkawal' dengan saiz dan bentuk yang berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendaklah dilabel dengan 'amaran: boleh menyebabkan risiko tercekik' dan perkataan 'tidak sesuai bagi kanak-kanak di bawah umur tiga tahun'.

Siasatan mendapati produk tersebut menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281].

Selepas insiden menyayat hati itu, orang ramai mulai cakna tentang bahaya makanan tersebut terhadap kanak-kanak.

Ini sekali gus mengambil tahu dan mempelajari tindakan yang dibuat jika berada dalam situasi berkenaan.

Mengambil pandangan pegawai perubatan dan pempengaruh sosial media, Dr Irma Izzati Abd Malek, secara umumnya, pengetahuan tentang bantuan kecemasan dalam kalangan masyarakat di negara ini masih rendah.

Oleh itu, lebih banyak kelas dan latihan bantuan kecemasan perlu diperkenalkan kepada orang awam.

Ini bagi meningkatkan kesedaran dan kebolehan mereka dalam menangani situasi kecemasan seperti tercekik.

Tambah beliau, kanak-kanak lebih berisiko tercekik kerana anatomi organ mereka yang lebih kecil berbanding orang dewasa.

Ini kerana, saluran pemakanan dan trakea lebih sempit, membuatkan mereka lebih mudah mengalami halangan ketika makan.

"Ibu bapa sebaiknya pantau dan perlu lebih berhati-hati dalam menyediakan makanan kepada anak-anak kecil.

"Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya keadaan yang tidak diingini berlaku.

"Oleh itu, sebarang makanan pejal yang saiznya lebih besar daripada lubang saluran trakea dan esofagus boleh meningkatkan risiko tercekik,” kata beliau.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko tercekik dalam kalangan anak-anak, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa seperti:

  • Potong makanan pejal dengan betul supaya lebih mudah dikunyah dan ditelan.
  • Ajar kanak-kanak untuk mengunyah makanan dengan baik sebelum menelan.
  • Larang anak berlari atau bermain ketika ada makanan di dalam mulut.

Perlu kekal tenang

Namun begitu, jika anda berhadapan dengan situasi cemas ini, perkara utama yang ibu ayah perlu lakukan adalah kekal tenang dan periksa mulut anak.

Jika ada makanan yang boleh dilihat dengan mata kasar, barulah keluarkan dengan berhati-hati.

"Jangan cuba memasukkan jari atau menjolok makanan yang tidak kelihatan.

"Ini adalah kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan makanan masuk lebih jauh dan menyekat saluran trakea secara total.

"Jika anak masih boleh batuk dengan kuat, ibu bapa sepatutnya tepuk belakang dan galakkan anak untuk terus batuk bagi mengeluarkan makanan tersebut,” kongsi beliau beliau lagi.

Pun demikian, pakar itu turut menitip pesanan supaya jika anak-anak mengalami batuk yang semakin lemah, senyap atau wajah bertukar biru, segera lakukan:

  • Back blow (untuk bayi atau anak kecil)
  • Heimlich maneuver (untuk kanak-kanak yang lebih besar atau orang dewasa)
  • Hubungi ambulans segera. Dalam masa yang sama, minta orang sekeliling menghubungi bantuan kecemasan.
  • Jika anak tiada respons, mulakan CPR dengan kadar segera.

Kecacatan otak

Sekiranya langkah-langkah kecemasan tidak dilakukan dengan betul atau bantuan tiba lewat, tercekik boleh menyebabkan komplikasi serius.

Misalnya seperti kecacatan otak dan kematian akibat kekurangan oksigen.

Oleh sebab itu, kejadian sebegini tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak lebih-lebih lagi ibu bapa.

Pada masa sama, perlu ada ilmu untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

"Apabila saluran pernafasan tersumbat sepenuhnya, bekalan oksigen ke otak terhenti, yang boleh menyebabkan kerosakan otak kekal atau kematian dalam masa beberapa minit.

"Selain itu, jika objek atau makanan yang tercekik memasuki saluran pernafasan dan sampai ke paru-paru, ia juga mengundang jangkitan serius dikenali sebagai pneumonia aspirasi,” ujarnya.

Oleh itu, penting untuk mengambil langkah pencegahan dan mengetahui cara memberikan pertolongan cemas yang betul dalam situasi tercekik.

"Malah, jika seseorang mengalami kejadian tercekik berulang kali, ia mungkin merupakan petanda kepada masalah kesihatan tertentu.

"Contohnya, masalah menelan makanan (dysphagia) boleh berpunca daripada gangguan pada isyarat otak atau organ saluran trakea dan esofagus itu sendiri,” tambah Dr Irma.

Justeru, tindakan pantas penting selain perlu tahu langkah pencegahan dan cara yang betul dalam memberikan pertolongan cemas.

Ini bagi mengelakkan sebarang komplikasi serius atau kematian.