SENTIASA tersenyum manis dan lembut dalam berkata-kata bila berhadapan dengan orang ramai, itulah figura yang tak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia dakwah di Malaysia ini.
Empunya diri, Ustazah Asma’ Harun cukup dikenali sebagai individu yang sentiasa memberi contoh yang baik kepada masyarakat.
Bukan sahaja memberi ceramah untuk kebaikan sejagat, malah ustazah juga sedaya upaya menjadi model dalam pembentukan generasi milenial melalui contoh pendidikan kepada anak-anaknya sendiri.
Jarang sekali kita melihat beliau memperlihatkan kemesraan dan kisah peribadi di media sosial. Temu bual secara peribadi dengan wanita tersebut dapat merungkai di sebalik kehidupannya yang selama ini kita melihat di dunia maya sahaja.
Bicara awal penulis pastinya mengenai sisi beliau sebagai seorang ibu.
Apabila ditanya tentang anak-anak, setiap ibu pasti seronok hendak bercerita tentang perkara itu. Sebagai bonda kepada tujuh orang anak, wanita kecil molek itu tidak menafikan pelbagai cabaran dan pengajaran perlu dilalui untuk mendidik mereka menjadi insan berguna di dunia dan akhirat.
"Sebagai suami isteri yang sentiasa sibuk dalam urusan berdakwah, alhamdulillah kami dikurniakan anak-anak yang sangat memahami. Cuma anak yang bongsu masih kecil, jadi belum faham apa yang kami lakukan.
"Bila baru balik rumah kemudian kena keluar semula untuk menjalankan tugas, dia mula bertanya kenapa kena keluar lagi? Ada juga yang merajuk nak ikut kami. Bagi saya, itu semua lumrah yang perlu dihadapi oleh ibu bapa.
"Pendekatan yang kami lakukan adalah ajak mereka ke majlis ilmu yang kami sertai, tetapi bergantung kepada keadaan. Kadang-kadang kami bawa semua, selagi tidak menjejaskan pelajaran sebab mereka juga perlu ulang kaji dan lakukan kerja sekolah yang diberikan oleh guru” ujarnya panjang lebar.
Pelbagai ragam anak
Memegang status ibu bapa kepada anak yang ramai bukanlah satu tanggungjawab yang mudah, namun setiap masalah yang timbul adalah proses dalam membentuk keperibadian mereka.
Kata Ustazah Asma, setiap anak dianugerahkan dengan perangai dan perwatakan yang berbeza. Jadi, sebagai ibu bapa memang perlu meraikan perbezaan ini dan bukan menjadikannya sebagai beban.
"Kami sebenarnya memberi tumpuan kepada kajian karekter. Ada anak lebih suka dengan sentuhan.
"Masa bercakap dengan dia kena peluk, sentuh dan cium. Ada juga yang tak suka dimanjakan.
"Ada anak jenis teliti. jadi boleh berikan dia tugasan susun buku atau kemas bilik tidur,” ungkap beliau.
Kongsi Ustazah Asma' lagi, bagi anak yang aktif suka berpeluh, boleh berikan tugas-tugas yang kasar bersesuaian dengan usianya.
"Antara kesilapan ibu bapa yang meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa anak-anak adalah apabila kita membuat perbandingan.
"Cara anak-anak memberikan kasih sayang kepada ibu bapa juga berbeza. Kita mahu anak-anak menerima seadanya maka kita juga perlu lakukan sebegitu kepada mereka,” ujar penerima anugerah Nona Motivator Award 2022.
Aktiviti menyambut RamadanPerbualan kami kemudiannya menjurus pula kepada sambutan Ramadan seisi keluarga.
Kongsi anak kelahiran Terengganu itu, selain melipatgandakan amal ibadah, awal-awal lagi, mereka anak-beranak akan bergotong royong membersihkan kediaman.
"Bagi menyambut kedatangan Ramadan ini, saya dan anak-anak telah pun membuat operasi mengemas rumah dua atau tiga minggu sebelum ini. Lebih awal lebih baik.
"Anak-anak akan keluarkan semua baju dan barang-barang peribadi. Kemudian, kami akan asingkan mana yang masih berguna boleh dipakai semula dan yang masih elok tapi tak mahu pakai, kami akan hadiahkan kepada orang lain,” jelasnya.
Beliau turut menambah, aktiviti mengemas rumah amat digalakkan kepada anak-anaknya.
"Ini kerana apabila kita suka menyimpan barang-barang yang tak digunakan lagi ia juga menjadi asbab hati kita gusar dan tak tenang.
"Kebiasaannya orang berkemas bila nak masuk Syawal tapi sebenarnya keperluan mengemas itu adalah di bulan Ramadan kerana ia bulan yang mulia,” ujarnya.
Ditanya mengenai menu untuk juadah sahur, anak-anaknya amat menggemari air tangan beliau iaitu bubur nasi berlauk.
Masakan ini amat disukai sehinggakan ada menambah dua atau tiga mangkuk ketika bersahur.
Sementara juadah berbuka puasa pula, kadang-kadang Ustazah Asma' dan suami suka mengajak anak untuk ke bazar bagi membeli makanan yang bersesuaian. Masak sendiri adalah lebih baik tetapi beliau suka mengajar anak-anak dengan cara berbeza.
Setiap kali pergi ke bazar, beliau akan bekalkan kepada anak-anak wang ringgit yang cukup contohnya RM10 setiap seorang dan mereka boleh beli apa sahaja yang diingini.
"Dari segi pengajaran, saya terapkan dalam diri anak-anak untuk sentiasa menjaga mata dan mulut. Bila menyapa orang yang lebih tua terutama lelaki lebih elok panggil encik.
"Selepas membeli biasakan ucap terima kasih dan mendoakan orang lain. Contohnya semoga ALLAH memberkati perniagaan encik.
"Saya sendiri suka melakukan begitu bila berhadapan dengan orang ramai. Bila bergambar atau pun bersalaman saya akan mendoakan mereka sekali kerana itu adalah amalan yang mulia,” katanya sambil diiringi dengan senyuman.
Perubahan dunia dakwahMenyingkap kerjaya beliau sebagai pendakwah, Ustazah Asma' sendiri mengakui cukup aktif berdakwah dalam akaun TikTok peribadinya.
Katanya ia lebih berkesan kerana semua peringkat usia boleh mendengar ilmu tersebut sambil membuat kerja di rumah atau pun pejabat.
Mengakui tentang perubahan dalam dunia dakwah, isteri kesayangan, Ustaz Tengku Fazli Tengku Yahya itu baru-baru ini bekerjasama dengan pihak Dermalene yang menjurus kepada medi spa dan rawatan kulit wajah.
Selaku penasihat syariah, beliau bertanggungjawab memberi kesedaran tentang apa yang boleh dan patut dielakkan apabila melakukan rawatan wajah. Baginya, itu salah satu bentuk dakwah cara baharu.